Tuesday, February 8, 2011

Pelajar Mesir : Jangan hanya gimik politik

Sidiqin Omar

Tindakan kerajaan Barisan Nasional hanya akan dianggap sebagai gimik politik semata-mata, sekiranya mereka gagal menyelesaikan masalah sebenar penuntut Malaysia yang baru pulang dari Mesir, kata Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang.

Beliau berkata, ‘acara menyambut kepulangan’ secara besar-besaran kumpulan mahasiswa dari Mesir itu tidak bermakna, sekiranya kerumitan utama mereka tidak diselesaikan oleh kerajaan.

“Bagaimana dengan masa depan pelajar ini? Bagaimana caranya hendak diteruskan pengajian mereka? Adakah kerajaan telah memikirkan sama ada mahu menyerapkan mereka ke Universiti tempatan? Apakah kerajaan hanya mahu glamour politik?


“Apa yang akan terjadi dengan fakulti-fakulti di universiti tempatan, yang berkaitan dengan kursus pengajian Universiti di Mesir. Mengapa sekarang sunyi sepi?” soal Abbas, merujuk kepada sikap pasif kerajaan dalam menangani masalah tersebut.

Beliau menjelaskan demikan pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, hari ini.

Abbas menambah, tugas kritikal ini perlu diselesaikan segera oleh Kementerian berkenaan, kerana ramai diantara ribuan pelajar tersebut, termasuk yang berada di Universiti tempatan berada di tahun akhir pengajian.

Beliau bimbang, proses pembelajaran para penuntut itu terganggu. Justeru, Abbas mendesak kerajaan untuk membentuk satu jawatankuasa khas bagi memastikan mahasiswa ini tidak tercicir dan dapat meneruskan pengajian mereka.

Terdahulu sebelum itu, Ketua Penerangan, Dr Muhammad Nur Manuty mengumumkan pelantikannya ke jawatan Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN.

Beliau yang berpengalaman luas di dalam sektor perguruan dan pentadbiran, diamanahkan untuk mengendalikan Biro Pendidikan KEADILAN, berkuatkuasa serta merta.

Jawatan akhir yang disandang oleh Abbas sebelum menceburi bidang politik secara sepenuh masa adalah Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Abbas juga merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Pahang dan Ketua Keadilan Cabang Bera.


Keadilandaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails