Thursday, February 24, 2011

Pakatan tiada isu di Kerdau?

Bagi Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi

Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang kawasan Kerdau itu, tiada isu besar yang boleh dicanangkan oleh pembangkang.

“Yang ada hanyalah isu setempat berkaitan tanah dan isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air, yang semuanya akan diselesaikan secepat mungkin” katanya.


Adnan berkata BN akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui dan menyelesaikan masalah mereka.

Kerusi Kerdau dahulunya dikenali sebagai Sanggang dan terletak dalam kawasan Parlimen Mentakab. Selepas persempadanan semula pada 2004, Kerdau diletakkan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau.

Ketika menjawab soalan pemberita mengenai isu “isyarat tangan” yang dianggap lucah yang dikaitkan dengan beliau semasa kempen

PRK Sanggang pada tahun 2000, Adnan secara sinis berkata PAS dialu-alukan menggunakan “isu lama” itu.

Secara berseloroh, Adnan berkata beliau sendiri sanggup membantu PAS menampal gambar beliau menunjukkan “isyarat tangan” itu di pokok-pokok sekitar Kerdau.

Dalam PRK pada 6 Mac ini, BN akan diwakili Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau dan juga Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang.

Berdasarkan calon BN yang disifatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang “bukan sahaja boleh menang tapi cemerlang itu”, Syed Ibrahim, dilihat tidak akan menerima “serangan peribadi” daripada parti lawan.

Keputusan terbaik

Dalam tinjauan rambang Bernama, beberapa penduduk dan pengundi menyifatkan pemilihan Syed Ibrahim sebagai keputusan terbaik memandangkan beliau bukanlah nama asing bagi penduduk kawasan berkenaan.

Malah beliau dilihat dekat di hati warga peneroka terutamanya di tiga
kawasan Felda – Felda Jengka 22, 23, dan 24, yang hampir separuh pengundi di kawasan Dun itu datangnya dari kawasan berkenaan.

Syed Ibrahim sering mengadakan ceramah agama di masjid-masjid di Kerdau sekaligus memperlihatkan beliau seorang yang berkualiti sebagai pemimpin akar umbi.

Naib Ketua Umno Cawangan Kerdau, Abdul Rahman Abdul Rashid, juga menegaskan tiada isu besar di Kerdau kerana kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di situ sejak dahulu lagi.

Beliau berkata semua kampung tradisonal termasuk kawasan Felda mempunyai rangkaian jalan bertar, balai raya, dewan, masjid dan surau.

Malah, sebuah perkampungan Orang Asli disitu juga telah dibekalkan dengan kemudahan elektrik dan air paip 24 jam.

Mengenai pemilihan Syed Ibrahim, Abdul Rahman berkata ia adalah pilihan tepat kerana Syed Ibrahim mampu menjadi wakil rakyat yang baik untuk membantu penduduk di situ.

Setiausaha PAS Pahang Roslan Zainal berkata sekalipun Kerdau dilihat sebagai kubu kuat BN, PAS yakin akan mendapat sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

“PAS telah menyenaraikan tujuh nama untuk dicalonkan, dan sebahagian besar adalah anak tempatan berkelulusan dalam pelbagai bidang, antaranya bekas pensyarah dan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata sekalipun BN beranggapan PAS tidak dapat membangkitkan isu-isu tempatan, parti itu akan mengutarakan beberapa isu nasional untuk menarik pengundi.

“Berdasarkan trend politik sekarang serta penambahan pengundi baru, PAS yakin akan tetap mendapat sokongan pengundi kawasan berkenaan. Apa pun kita tidak akan memberi laluan mudah kepada BN,” kata Roslan.

Kerusi Kerdau kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, daripada BN pada 12 Feb lepas. Dalam pilihan raya umum lepas, beliau menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Penamaan calon ialah pada Sabtu ini.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails