Wednesday, February 23, 2011

Negara akan sengsara tanpa Tol - Mahathir

KUALA LUMPUR - Gagasan menjadikan lebuh raya milik negara bukan sahaja merupakan keputusan perniagaan yang tidak bijak malah akan menjadi beban kewangan kepada kerajaan, yang boleh mengakibatkan negara menjadi lebih miskin dan kurang maju.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan itu bukan sahaja melibatkan kos mengambil alih lebuh raya dibiayai melalui wang rakyat, Malah perbelanjaan untuk menyenggara lebuh raya akan juga dibiayai melalui dana disatukan.

“Oleh kerana tiada tol akan dikenakan, kerajaan tidak akan mendapat wang daripadanya dan juga tiada cukai dipungut daripada syarikat swasta yang mengendalikan operasi jalan raya kerana mereka tidak akan ada sumber pendapatan.


“Saya rasa kualiti lebuh raya juga akan merosot (lama kelamaan),” katanya sebagai mengulas saranan agar tol dihapuskan dan kerajaan mengambil alih operasi lebuh raya di Malaysia.

"Dengan memiliknegarakan lebuh raya, kerajaan juga perlu membayar upah kepada pekerja untuk menyenggara jalan raya.

“Kerajaan tidak akan meraih apa-apa daripada langkah menjadikan prasarana ini milik negara, malah dana disatukannya akan terus menguncup,” katanya dalam ucapan pembukaannya pada Kongres Dunia Pertama dan Pameran Pengurusan Aset Prasarana, di sini, semalam.

Menurutnya, sebagai satu tindak balas saiklik, perkhidmatan dan projek lain akan terjejas disebabkan pengurangan pembiayaan kerana wang yang ada disalurkan kepada pengendalian dan penyenggaraan lebuh raya ini yang tinggi kosnya,

"Pendek kata, kerajaan akan kekurangan wang untuk dibelanjakan bagi pembangunan lain, yang bererti pertumbuhan negara ini akan menjadi lembap dan rakyat akan menjadi lebih miskin.

“Rakyat juga perlu menurunkan mutu kehidupan. Kita boleh lupakan Wawasan 2020 serta cita-cita untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi serta kekal sebagai negara dunia ketiga,” katanya.

Mahathir berkata, sama ada sesebuah negara itu ada sumber alam atau tidak, kemahiran pengurusan kerajaanlah yang menentukan prestasi negara itu.

"Rakyat juga mesti memahami secukupnya tentang perjalanan ekonomi dan bahawa kerajaan bukanlah pertubuhan amal dan mempunyai amat banyak wang yang boleh dibelanjakan tanpa had.

“Jika sesebuah kerajaan itu memilih untuk menjadi popular dan mengetepikan perkara-perkara penting tentang pengurusan yang baik, terutamanya pengurusan prasarana, kita tidak harus hairan jika negara itu gagal berkembang,” katanya.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails