Wednesday, February 9, 2011

My Balik Pulau.. Memang Risalah Kerajaan Negeri, tapi...



GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa Kerajaan Negeri bawah tampuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum Mac 2008 yang menaja risalah ‘My Balik Pulau’.

Menurutnya, risalah itu ditaja oleh Kerajaan Negeri lama dan juga jabatan Pelancongan Pulau Pinang bawah kepimpinan BN. Ia tiada kaitan langsung dengan Kerajaan Negeri bawah Pakatan Rakyat sekarang.


“Saya dapati kerajaan dulu yang luluskan risalah itu pada tahun 2007 iaitu sebelum PR ambil alih. Saya difahamkan risalah itu diterbitkan pada 2010 selepas dana mencukupi,” katanya.

Guan Eng berkata, apabila isu ini tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri PR, sudah jelas terbukti ini adalah tindakan daripada kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang dulu.

Beliau turut kesal dengan tindakan sesetengah pihak khususnya pro-Kerajaan Pusat dan orang UMNO yang menghebohkan pelbagai fitnah terhadap Kerajaan Negeri PR bahawa ‘Hina Melayu, Lupa Sejarah’.

“Kerajaan Negeri selama ini banyak bersabar dengan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohamad Farid Saad. Namun tindakan beliau kali ini adalah melampau.

:“Disebabkan itu, walaupun isu melibatkan 10 orang bukan Melayu dan hanya seorang Melayu, dia akan tuduh Kerajaan Negeri menganiaya orang Melayu, padahal ia sebenarnya melibatkan isu sosial sahaja,” katanya.

Guan Eng berkata, sehingga hari ini, Farid tidak meminta maaf dan menarik balik kenyataan beliau.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan bincang perkara ini dalam mesyuarat Exco esok (hari ini) untuk tindakan selanjutnya kerana perkara ini bukan melibatkan imej seorang individu malah ia melibatkan imej sebuah Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Muhamad Farid mendakwa risalah tersebut diedarkan oleh pihak tertentu yang berniat untuk mengaburi mata rakyat tentang sejarah kawasan yang dihuni majoriti penduduk Melayu.

Berikutan itu, Guan Eng memberi tempoh seminggu kepada beliau untuk menarik balik kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka atas sikap perkauman dan fitnah yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails