Wednesday, February 2, 2011

Mesir, Mubarak, Merdeka!!!

Oleh Fahmi Fadzil


Ketika saya menyiapkan rencana ini, rakyat Mesir tetap dengan intifadah mereka. Hampir seminggu khabar dari Kaherah bercerita tak lain tak bukan: kisah protes jalanan yang tak henti-henti.

Memang kita mendengar betapa peritnya perjalanan perubahan yang harus ditempuhi rakyat Mesir: sudah puluhan yang terkorban; bursa saham Mesir merudum sekitar 16% dalam dua hari pertama protes 25 Januari yang lalu dan matawang Pound Mesir juga kian tergugat nilainya; dan buat pertama kali dalam sejarah Internet, kerajaan Hosni Mubarak telah menutup segala akses maklumat masuk dan keluar dari Mesir. Ini semua cabaran. Ini semua dugaaan. Ini semua rintangan.



Dan kelihatan seperti rakyat Mesir tidak getar, masih keras kepala, masih berdegil mahukan kebebasan dan pendemokrasian yang lebih tulen dari yang sedang disaji rejim sedia ada.


Amatlah penting yang tempat berkumpul rakyat dalam gerakan perubahan ini ialah di Midan El-Tahreer (Liberation Square, atau Dataran Merdeka versi Mesir), kerana secara simboliknya inilah gerakan rakyat yang cuba memerdekakan Mesir dari cengkaman "penjajahan" Presiden Mubarak yang telah berkuasa sejak tahun 1981 (soalan korollari: Apakah kita juga punya "penjajah" sebegini di mana-mana negeri lain di Malaysia?). Dan kelihatan apparatus kerajaan yakni polis dan tentera tidak mungkin memecah masuk dataran tersebut, kerana walaupun perintah berkurung berlangsung rakyat Mesir tidak berganjak dari situ malah menjemput Dr.El-Baradei (tokoh Nobel) untuk berucap!

Maka seminggu berlalu dan ribuan malah ratusan ribu rakyat Mesir masih berarak di Kaherah, Alexandria, Suez dan bandar-bandar lain yang turut serta. Adakah rejim diktator lapuk akan mengalahkan usaha demokratik jujur pimpinan anak-anak muda ini? Cuma masa menyimpan kata akhir jalan cerita.

Bagi tempoh yang terdekat, rakyat negara jiran mungkin meminjam semangat (rakyat Yemen juga mulai bangkit, mengikut khabar berita) manakala pengamat ekonomi resah dengan ketidaktentuan arah tuju politik yang pasti meninggalkan kesan - Adakah kerajaan pengganti yang bakal muncul akan bersikap populis untuk menangani krisis ekonomi dalaman yang makin meruncing, bila mana KDNK per kapita Mesir 2009 hanyalah USD2,270 (Malaysia adalah tiga kali ganda nilai ini)?

Turut resah adalah para politikus Amerika, Israel dan yang sewaktu dengannya, yang sedar pentadbiran Mubarak yang selama ini duduk diam sebagai sekutu mereka mungkin diguling dan diganti pentadbiran yang tidak semestinya pro-dasar-dasar sedia ada.

Adakah kerajaan-kerajaan yang berada di pelusuk Asia Tenggara ini juga harus gementar akan "tsunami" perubahan yang bakal mengunjung?

Bagi saya, hakikatnya Mesir, Tunisia, dan Yemen jauh berbeza keadaan ekonomi, sosial, dan juga politik sedia ada. Mungkin sekiranya Mahathir masih berkuasa persoalannya amatlah rapat (mungkin kisah Mesir ini menjadi "amaran" buat si rambut putih seberang Laut Cina Selatan?), tapi tidak. Sejak tahun 2003, Malaysia telah dipimpin dua Perdana Menteri berbeza, maka rasanya seperti situasi semakin berubah.

Tapi, apakah perubahan yang kita rasai ini perubahan tulen atau kosmetik? Adakah perubahan yang kita ingini - pembahagian ekonomi yang lebih samarata, penstrukturan semula kuasa kehakiman, rombakan dalam sistem politik nasional dan juga lokal dengan pulangnya pilihanraya kerajaan tempatan antara lainnya - sedang berlaku pada tahap yang menyelerakan rakyat Malaysia? Inilah antara persoalan yang akan kita hadapi sekitar PRU-13 nanti, yang akan dijawab dengan buangan kertas-kertas undi dan pemilihan untuk meletakkan kepimpinan di tangan pihak yang mana.

Bagi saya, sebenarnya, isu yang paling penting yang harus kita amati dalam situasi mutakhir di Kaherah terletak dalam perbincangan sekitar peralihan kuasa. Apabila tiba waktu untuk Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, ia harus lakukan dengan cukup halus, diplomatik, dan tegas.

Di Mesir, walaupun gerakan Muslim Brotherhood (atau Al-Ikhwanul Muslimun, MB) yang diharamkan kerajaan Mubarak dianggap cukup kuat secara politiknya untuk mengambil alih gerakan perubahan ini, namun mereka telah bersepakat dengan para pembangkang dan anak-anak muda yang telah menggerakkan massa untuk memilih Dr El-Baradei sebagai wakil mereka dalam perbincangan dengan kerajaan Mubarak. Ini langkah yang penting, kerana sudah pasti MB yang merupakan sebuah organisasi yang dicop pengganas oleh Amerika Syarikat dan Israel tidak akan mendapat simpati masyarakat antarabangsa - maka realiti politik semasa membuat MB mengalah demi keinginan bergerak ke hadapan. Adakah MB akan mengkhianati gerakan perubahan ini nanti? Sekali lagi, cuma masa yang tahu.

Maka di Malaysia, apabila tiba masa untuk "perbincangan" yang sama nawaitunya seperti yang kita saksikan di Mesir, kesemua peserta mestilah bersedia untuk mengalah demi kebaikan persepakatan.

Juga harus diingatkan pentingnya "perbincangan" ini melibatkan angkatan tentera, yang seharusnya bersikap berkecuali dan neutral, dan paling tidak para askar tidak berpihak kepada golongan yang telah kalah. Tapi, oleh kerana saya bukan arif dalam isu-isu sebegini, saya akan henti di sini dahulu mengenai isu "perbincangan".

Yang paling penting, saya rasa, ialah kepercayaan rakyat Mesir bahawa ada hikmah di sebalik keperitan seminggu dua ini. Yang paling penting, saya pasti, ialah kesanggupan rakyat Mesir untuk mencuba nasib mereka - dan berkorban - demi memajukan demokrasi di tanah air mereka. Yang paling penting, saya percaya, ialah redhanya rakyat Mesir kepada perubahan yang melanda mereka, dan sabarnya mereka dalam menempuh dugaan yang mendatang.

Hari esok bakal tiba, dan semoga ianya lebih cerah bagi mereka. Juga, insyaAllah, bagi kita.

*Fahmi Fadzil ialah seorang penulis, penggiat seni, dan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai.


Merdeka Review

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails