Friday, February 4, 2011

Lambat Pindahkan Pelajar, Blogger dipersalahkan..

Anifah merayu kepada pihak terbabit, khususnya blogger, supaya tidak mempolitik atau mensabotaj usaha murni kerajaan Malaysia untuk memindahkan atau membawa keluar lebih 11,000 rakyat negara ini dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Blogger jugak dipersalahkan.. tapi rasanya kalau para blogger tak memainkan isu ni boleh jadi masih disanalah para pelajar tu..

Tak lambat konon.. pirahhh!! Kapalterbang Indonesia sudah mendarat di Jeddah tapi malaysia masih memikirkan cara yang sesuai..

Anifah Nafi Kerajaan Lambat Pindahkan Rakyat Malaysia Dari Mesir

KOTA KINABALU: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan sesetengah pihak menerusi internet bahawa kerajaan lambat bertindak untuk memindahkan pelajar Malaysia dari Mesir yang kini dilanda kacau bilau.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan bertindak pantas untuk menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir, dan ini dilakukan hampir serentak dengan langkah oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat.


"Rakyat perlu tahu bahawa bukan mudah untuk mendapatkan hak pendaratan di Mesir. Ia mungkin mengambil masa, melainkan sudah tentulah jika keadaan di sana mencapai tahap bahaya.

"Selepas diberi hak pendaratan, kami segera mulakan usaha memindahkan pelajar Malaysia keluar dari Mesir sejak semalam, dan kami harap dapat menyelesaikan proses pemindahan itu sebelum Isnin ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Anifah merayu kepada pihak terbabit, khususnya blogger, supaya tidak mempolitik atau mensabotaj usaha murni kerajaan Malaysia untuk memindahkan atau membawa keluar lebih 11,000 rakyat negara ini dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Saya sangat kecewa dengan tuduhan ini apabila pada masa kerajaan kita di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menumpukan usaha untuk memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat kita di Mesir, segolongan pihak tertentu pula mengambil kesempatan daripada keadaan ini demi kepentingan politik mereka.

"Sekarang adalah masa bagi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik, untuk berganding tenaga dalam memastikan kejayaan proses pemindahan dan bukannya mencari salah," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menanggung kos pengangkutan udara atau penerbangan pelajar Malaysia yang terjejas dari Jeddah ke Kuala Lumpur, Anifah berkata kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara itu dalam sehari dua lagi.

"Kita tunggu sajalah pengumuman itu. Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos memindahkan rakyat kita dari Mesir ke Jeddah, dan semasa di Jeddah, kami akan menyediakan penginapan dan makanan percuma," katanya.

Anifah berharap ibu bapa pelajar Malaysia di Mesir tidak terlalu bimbang kerana kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga kebajikan anak mereka.

Mengenai perkembangan terkini proses pemindahan itu, beliau berkata kira-kira 3,600 pelajar Malaysia, yang dibawa menggunakan tujuh kapal terbang dua buah Boeing 747 Malaysia Airlines, dua buah Airbus A320 AirAsia dan tiga buah pesawat pengangkut C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia dijangka tiba di Jeddah menjelang tengah malam ini (kira-kira 6 pagi esok waktu Malaysia).

Beliau berkata penerbangan ulang-alik sama ada dari Kaherah atau Iskandariah ke Jeddah akan diteruskan sehingga kesemua rakyat Malaysia dibawa keluar dari Mesir, yang digegarkan oleh tunjuk perasaan ganas untuk mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Mengenai permintaan kerajaan Sabah untuk menggunakan penerbangan sewa khas untuk membawa keluar pelajar Sabah dari Mesir, Anifah berkata lebih baik jika kerajaan negeri menggunakan khidmat pesawat komersial yang beroperasi di Timur Tengah.

Langkah itu, katanya untuk mengelak daripada berdepan kesukaran menguruskan hak pendaratan atau ruang udara yang akan mengambil masa.-BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails