Friday, February 4, 2011

Kusangka Guan Eng, rupanya Najib..

Kalau tak ditulis siapa yang telah berkata begini "Saya berharap kehadiran Tahun Arnab sempena Tahun Baru Cina kali ini akan membawa limpahan kejayaan kepada segala dasar dan agenda yang dibentangkan kerajaan." aku pasti ramai yang akan menyangka ianya ucapan Guan Eng atau Soi Lek... tapi..

PM harap Tahun Arnab bawa lebih kejayaan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kehadiran Tahun Arnab sempena Tahun Baru Cina kali ini akan membawa limpahan kejayaan kepada segala dasar dan agenda yang dibentangkan kerajaan.

“Saya harap tahun ini tahun yang dapat memberi limpahan kejayaan sesuai kepercayaan Tahun Arnab iaitu tahun kejayaan dan rezeki boleh diperoleh.


“Ini akan hanya jadi kenyataan sekiranya semua dapat pastikan dasar kerajaan dan agenda yang dibentangkan dapat dilaksanakan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Rumah Terbuka MCA, di Wisma MCA, di sini, semalam.

Najib yang hadir ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut berharap sektor swasta dan masyarakat Cina dapat turut sama memainkan peranan untuk menyokong dan mendukung kejayaan kerajaan berdasarkan agenda nasional.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; pemimpin MCA termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Timbalan Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha dan beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Najib dan Muhyiddin turut menyaksikan semua pemimpin yang hadir bersama-sama menggaul ‘Yee Sang’ sebagai simbol perpaduan antara kaum di negara ini.

Kira-kira 2,000 warga kota turut sama memeriahkan acara di Wisma MCA yang turut menarik perhatian warga asing untuk berkongsi kegembiraan, tidak kurang juga yang tertarik dengan persembahan tarian singa yang dianggotai pelbagai kaum.

Di KANGAR, cuaca cerah membolehkan kehadiran Tahun Baru Cina disambut meriah walaupun dalam majlis yang sederhana.

Pengerusi Badan Perhubungan MCA Perlis, Dr Por Cho Choor mengadakan rumah terbuka di dewan besar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khoon Aik, Jalan Raja Syed Alwi, dekat sini.

Antara yang mengunjungi rumah terbuka itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Di IPOH, kedatangan Tahun Baru Cina disambut meriah dengan sambutan rumah terbuka diadakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kediaman rasminya, di sini, dari jam 2 hingga 6 petang.

Di MELAKA, lebih 5,000 orang menghadiri rumah terbuka anjuran MCA Melaka di dewan Sekolah Menengah Pay Fong yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersama rakyat berbilang kaum.

Mohd Ali berkata, rumah terbuka yang dianjurkan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu dan ini menunjukkan peningkatan sokongan rakyat terhadap kerajaan BN. - Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails