Monday, February 28, 2011

Drama bersiri terbaru terbitan Barisan Nasional

Kenapa Bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy ini dituduh di Mahkamah sebagai menipu bekas Perdana Menteri, bukannya dituduh sebagai menyalahguna kuasa ataupun pecah amanah?



PUTRAJAYA, 28 Feb — Bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).


Chan merupakan bekas menteri pengangkutan yang kedua didakwa berhubung skandal PKFZ selepas Tun Dr Ling Liong Sik.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Chan yang berada di luar negara pulang beberapa hari laku selepas diminta oleh pihak berkuasa.

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman membenarkan Chan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua pihak pendakwa dan pembela bersetuju dengan wang jamin RM1 juta.

Pada 29 Julai lalu, Dr Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ''Mega Distribution Hub'' di Pelabuhan Klang.

Dr Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kes ini dikendalikan itu oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ling didakwa telah menipu Kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Wilayah Persekutuan

Putrajaya iaitu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega ''distribution hub'' di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang.

Chan merupakan individu keenam dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal PKFZ.

Akhir 2009, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Ia mengandungi 256 hektar kawasan terbuka untuk kilang/gudang, 512 lot perindustrian ringan dan 500,000 kaki persegi ruang pejabat untuk sewaan, 135-bilik hotel dan sebuah pusat pameran.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat projek itu telah mencadangkan supata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat Chan dan Phang kerana pecah amanah.

Menurut laporan PAC itu, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji yang dikeluarkan oleh Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

PAC menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas projek itu dilaporkan meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

Berikutan itu, pada 10 Disember 2009, Phang didakwa, sebagai pengurus besar yang diamanahkan atas dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.

Chan dituduh mendorong Abdullah untuk bersetuju untuk memberikan kelulusan dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSD menerusi Transshipment Megahub Berhad dengan sokongan kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 24 Februari 2004 dan 25 Februari 2004.

Bagi pertuduhan kedua, Chan dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan KDSD sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan tiga kerja-kerja pembangunan tambahan di PKFZ.

Kerja pembangunan itu ialah menaik taraf simpang jalan ke PKFZ berjumlah RM285.38 juta, kerja infrastruktur elektrikal berjumlah RM135.0 juta dan pembinaan hotel kelas bisnes berjumlah RM90 juta.

Beliau didakwa mendorong Abdullah untuk bersetuju untuk memberikan kelulusan itu dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSB menerusi Valid Ventures Berhad dengan sokongan kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Chan dituduh melakukan kesalahan itu antara 11 Oktober 2005 dan 28 Oktober 2005.

Bagi pertuduhan ketiga, Chan dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan KDSB sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan lima lagi pembangunan tambahan di PKFZ.

Kerja pembangunan itu ialah kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah berjumlah RM140.2 juta, kerja bekalan elektrik 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 berjumlah RM80 juta, kerja infrastruktur PMU bagi PKFZ berjumlah RM30 juta, pembinaan jalan menghubungkan PKFZ ke Pelabuhan Barat berjumlah RM28.1 juta dan pembinaan jalan menghubungkan pintu masuk utama PKFZ dengan Terminal Kargo 4, Pelabuhan Barat berjumlah RM57.5 juta.

Chan dituduh mendorong Abdullah untuk bersetuju untuk memberikan kelulusan dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSD menerusi Capital Berhad dengan sokongan kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 28 Mac 2006 dan 29 Mac 2006.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails