Saturday, February 12, 2011

ADUN Kerdau pula meninggal dunia.. Satu lari PRK!!

ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan pada jam 6.30 petang.

Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.


"Masih belum dapat dipastikan sama ada Datuk Zaharuddin mengalami serangan jantung ketika terjatuh di dalam bilik air," kata Supt Zundin.

Pilihan raya kecil ke-16

Kematian itu menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Ia adalah pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya kecil ke-15 bagi mengisi kekosongan kerusi dewan undang negeri Merlimau, Melaka akibat kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kerana sakit jantung.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

12 wakil rakyat meninggal dunia

Sejak pilihan raya umum 2008, 12 wakil rakyat telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit termasuk serangan jantung, kanser, angin ahmar dan jangkitan paru-paru.

Daripada baki itu, tiga pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas wakil rakyatnya mengosongkan kerusi masing-masing - iaitu di paerlimen Permatang Pauh dan kerusi negeri di Penanti dan Bukit Selambau.

Pilihan raya kecil pula terpaksa diadakan di parlimen Batu Sapi apabila penyandangnya, Datuk Edmund Chong terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya.

Jumlah pilihan raya kecil sepanjang tempoh tiga tahun lalu ini dianggap antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya negara.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails