Monday, January 3, 2011

PRU 13 : Laluan Sukar Buat Najib..

Pada PRU 2008, PR tidak kuat tetapi BN sangat lemah. PR memperoleh kerusi tambahan kerana pengundi menolak BN. PR menjadi kuat kerana kelemahan BN.Sekarang BN dikatakan semakin pulih dan semakin kuat. Tetapi kita perlu akui bahawa PR telah mempunyai kekuatan sendiri melalui perwakilan yang lebih ramai di Parlimen dan penguasaan ke atas Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.


"Hantu" PRU Ke-13 Bagi BN dan PR
A Kadir Jasin

BANYAK petanda semasa menjurus kepada pilihan raya umum diadakan lebih awal daripada tempoh sah Parlimen.

Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak telah mula menghidangkan sajian-sajian PRU seperti cuti umum merayakan kemenangan pasukan bola kebangsaan dalam pertandingan Piala AFF Suzuki dan bayaran khas kepada peneroka Felda serta pelantikan baru dalam Umno.

Sebelum itu kerajaan mengumumkan penangguhan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang begitu hebat dipromosikan beberapa bulan lalu.

Dikhabarkan juga yang dalam masa beberapa hari lagi beliau akan bersidang dengan semua Wakil Rakyat Barisan Nasional bagi mendapatkan maklum balas mengenai sentimen rakyat jelata terhadap pemerintahannya.


Dari aspek undang-undang, PRU tidak perlu diadakan hingga Mac 2013 atau lewat daripada itu setelah mengambil kira tarikh PRU ke-12, tarikh persidangan pertama Parlimen dan hakikat bahawa PRU boleh diadakan dalam masa 60 hari selepas tamat tempoh Parlimen.

Namun daripada gaya percakapan pemimpin politik, sama ada pemerintah atau pembangkang, PRU ke-13 akan diadakan jauh lebih awal daripada itu.

Ada ramalan mengatakan seawal Mac tahun ini kerana Mohd Najib mahukan mandatnya sendiri dan angka 11 adalah nombor “bertuah” beliau, lantas kenderaan bermotornya berangka plat 11.

Alasan yang lebih serius ialah keyakinan beliau bahawa BN sudah cukup pulih dan bersedia untuk menghadapi pengundi.

Ramalan ini dikukuhkan oleh keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 30 November lalu yang menangguhkan selama 18 bulan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini.

Ini diikuti oleh pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno bagi negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Walaupun Mohd Najib cuba meredakan spekulasi dengan mengatakan penangguhan pemilihan Umno bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan dan pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini, namun ramai yang tidak yakin.

Kemudian, ketika bercakap kepada wartawan Malaysia di Phnom Penh pada 2 Disember lalu, Mohd Najib berkata PRU akan datang akan menjadi “hari penentuan” bagi BN.

Mesej Perdana Menteri yang lebih utama adalah kelangsungan BN sebagai parti peneraju pemerintahan. Katanya, sama ada PRU diadakan awal atau lewat, keputusannya kelak akan menjadi petanda kelangsungan BN.

Petanda PRU Mengejut

Daripada tanda-tanda yang semakin banyak muncul, Perdana Menteri nampaknya tidak akan menunggu sehingga saat akhir untuk mengadakan PRU atas sebab-sebab berikut:-

1. Beliau yakin kedudukannya cukup kuat untuk mengharapkan prestasi lebih baik daripada PRU 2008;

2. Beliau mahu mengambil kesempatan daripada “kebaharuan” kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk merayu diberi peluang memerintah dengan mandat sendiri;

3. Beliau yakin beliau boleh mengulangi rekod Perdana Menteri sebelum beliau yang semuanya menang besar dalam PRU pertama masing-masing;

4. Beliau yakin perubahan kepemimpinan parti-parti komponen utama BN – MCA dan MIC – mula mengembalikan sokongan bukan Melayu;

5. Beliau yakin segala dasar, pelan dan projek yang beliau perkenalkan mula berhasil dan mendapat sokongan rakyat jelata;

6. Beliau tidak mahu tunggu lama kerana bimbang suasana ekonomi yang semakin cerah sekarang tidak mampu bertahan lama. Seperti diumumkan, kadar pertubuhan kasar ekonomi suku tahun telah mula menurun; dan

7. Beliau mahu mengambil kesempatan daripada suasana yang tidak menentu dalam parti-parti Pakatan Rakyat, khasnya Parti Keadilan Rakyat.

Perjalanan Tidak Mudah Bagi PM

Namun, perjalanan Mohd Najib ke arah mandat sendiri yang besar tidaklah semudah yang dibayangkan oleh para penyokong beliau.

Pemulihan BN masih tidak muktamad dan kacau-bilau dalam PR serta di kalangan parti-parti anggotanya mungkin tidak seburuk yang digembar-gemburkan oleh media massa pro-pemerintah.

Yang pasti adalah kedudukan Mohd Najib sekarang adalah lebih teguh daripada Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau memanggil PRU 2008.

Namun beberapa faktor yang menyebabkan prestasi BN merudum pada 2008 masih wujud. Mohd Najib perlu mengatasi dan menyelesaikan masalah ini kalau beliau tidak mahu nasib malang yang menimpa Abdullah tidak terjadi kepadanya. Antara faktor itu adalah:-

i. Masih ramai ahli dan penyokong BN, khasnya Melayu, yang berpaling tadah kepada pembangkang kerana “benci” kepada pentadbiran Abdullah masih kurang yakin bahawa pentadbiran Mohd Najib lebih baik;

(Pentadbiran Abdullah dituduh lemah, mungkir janji dan dilarikan oleh empat lima kerat anak menantu dan sekutu-sekutu beliau.)

ii. Mohd Najib wajib meyakinkan mereka bahawa kepemimpinannya tidak mempamerkan ciri-ciri yang sama iaitu campur tangan oleh orang luar parti, orang luar pentadbiran dan oleh ahli keluarga;

iii. Ramai orang Melayu masih tidak yakin bahawa cogan kata, dasar, pelan dan projek yang Mohd Najib perkenalkan menjamin hak dan kepentingan bangsa Melayu manakala bukan Melayu pula beranggapan mereka belum mendapat hak yang secukupnya;

iv. Walaupun pertumbuhan kasar ekonomi memuaskan, namun kenaikan kos sara hidup dan kekurangan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi terus menghantui tenaga kerja, khasnya lepasan institusi pengajian tinggi; dan

v. Kesan projek-projek raksasa yang diumumkan sejak Mohd Najib menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 masih belum meluas untuk dirasai dan dikecap oleh rakyat terbanyak.

Ini ditokok-tambah pula oleh faktor yang di luar kawalan kerajaan dan BN seperti kenaikan harga minyak dunia yang diramalkan melepasi US$100 setong tahun ini.

Faktor-faktor berikut penting dalam menentukan trend pengundian dalam PRU akan datang:

a. Bilangan pemilih baru yang semakin ramai dan kematian pengundi tua. Trend pengundian di kalangan pengundi muda sukar ditentukan dan mungkin tidak memihak kepada BN;

b. Kemampuan PR mempamerkan kelainan, khasnya di negeri-negeri yang baru mereka takluki seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kedah;

c. Percambahan saluran maklumat baru dan kemunculan kewartawanan jelata (citizen journalism) dieksploitasi sepenuhnya oleh PR. BN yang memperkecil dan mempersendakan peranan media baru pada PRU 2008 masih tertinggal walaupun sudah mengubah pendirian dan mula memanfaatkan saluran alternatif ini; dan

d. Pengedaran akhbar arus perdana prokerajaan yang semakin menguncup dan kegiatan “channel switching” di kalangan penonton TV dan pendengar radio.

(Perangkaan Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulations/ABC) bagi tahun audit berakhir 30 Jun, 2010 menunjukkan penjualan The Star’s jatuh daripada 295,479 kepada 286,409 (-3.1 peratus), New Straits Times daripada 120,770 kepada 109,341 (-9.5 peratus), Utusan Malaysia daripada 181,346 kepada 170,558 (-5.9 peratus) dan Berita Harian daripada 183,187 kepada 160,597 (-28.7 peratus). Jualan Utusan dan BH “dicuri” oleh dua akhbar ringan iaitu Harian Metro dan Kosmo. Kosmo mencatatkan peningkatan paling tinggi (naik 32.9 peratus) daripada 129,633 kepada 172,252 manakala Harian Metro nak 11.8 peratus kepada 378,354 naskhah.)

Kesimpulannya, walaupun Mohd Najib lebih popular berbanding Abdullah, tetapi beliau berdepan dengan pembangkang yang lebih kuat.

PR mempunyai perwakilan yang besar di Parlimen dan dalam Dewan-Dewan Undangan Negeri. Mereka menguasai empat buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. PR juga kuat di Perak dan Negeri Sembilan.

Pada PRU 2008, PR tidak kuat tetapi BN sangat lemah. PR memperoleh kerusi tambahan kerana pengundi menolak BN. PR menjadi kuat kerana kelemahan BN.

Sekarang BN dikatakan semakin pulih dan semakin kuat. Tetapi kita perlu akui bahawa PR telah mempunyai kekuatan sendiri melalui perwakilan yang lebih ramai di Parlimen dan penguasaan ke atas Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Ini belum diambil kira keputusan pilihan raya DUN Sarawak yang terpaksa diadakan tidak lama lagi. Keputusannya akan memberi kesan besar kepada kedua-dua belah pihak.

Apa pun, kita akan menyaksikan PRU yang sengit yang seperti kata Mohd Najib “akan menjadi hari penentuan bagi BN”. Tidak kurang pentingnya ia juga akan menguji kelangsungan PR serta keserasian sistem dua parti.


A Kadir Jasin

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails