Tuesday, January 4, 2011

PRK Tenang : Tenang kini mula bergelora...



LABIS 4 JAN : Warga FELDA dan masyarakat umumnya digesa agar menunaikan tanggungjawab dengan mengubah kepimpinan yang sudah rosak hari ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu juga mengingatkan warga FELDA dan masyarakat agar tidak terus menjerumuskan keadaan masa kini ke era 'zaman edan' seperti yang dizahirkan dalam penulisan pujangga besar Jawa, Ronggowarsito.


Menjelaskan kepada hampir 500 hadirin yang bersesak mendengar ceramah beliau di FELDA Chemplak, Labis, Johor malam semalam.

Zaman Edan bererti 'Zaman Gila' dimana orang baik disisihkan manakala mereka yang jahat mendapat pengiktirafan.

"Rompak harta rakyat, jadi Tan Sri, kes rogol ditutup. Kes bunuh, tak boleh dibuka. Masalah FELDA, tak boleh cerita. Orang bincang masalah, dia kata khianat. Orang FELDA miskin, dia kata tak. Semua kaya..Inilah Zaman Edan," kata beliau.

Ceramah Anwar di Felda Chemplak dan Kampung Air Panas, yang terletak kira-kira 10 km dari Pekan Labis dilihat tegang apabila sepasukan hampir 50 polis dan tiga trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lengkap dengan meriam air telah pun bersedia awal-awal di Labis.

Polis juga turut cuba menghalang Anwar dari berucap tetapi akhirnya membenarkan 30 minit ucapan beliau di kedua-dua tempat ini.

Antara pemimpin lain yang hadir ialah Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin dan ramai lagi.

Malah sekatan jalan turut dilakukan di jalan-jalan utama ke FELDA Tenang, Jalan Muar-Labis dan FELDA Chemplak.

Anwar yang baru digantung enam bulan dari sidang parlimen akibat mendedahkan peranan kerajaan Malaysia dengan APCO, menyatakan betapa ideal FELDA gagasan Tun Abdul Razak menunjukkan keteguhan dan konsisten beliau sebagai pemimpin, berbeza dengan Najib Razak, yang menurutnya banyak beretorik.

"Tun Razak dah janji. Kita buka tanah ini, dan kita tak akan rampas. Itu hak milik mereka. Dia kata dan dia terus laksana. Kerana pada masa itu dia sebagai PM, Menteri Pembangunan. Masa Datuk Najib. ETP, NKRA, macam-macam banyak sangat saya pun tak dapat ikut," komen beliau.

Anwar turut membidas tuduhan Umno bahawa PAS dan Pakatan Rakyat telah mengkhianati rakyat dan merancang ingin merampas tanah FELDA.

Beliau menganggap penduduk Felda kini telahpun mendapat pelbagai maklumat dan tak boleh diperkotak-katik atau dibodohkan pengurusan Felda dan memuji peranan yang dimainkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) pimpinan Mazlan Aliman.

"Ini bukan FELDA zaman saya hantar pakcik saya dulu. Sekarang ramai dah tahu cerita. Anak-anakpun dah cerdik. Mazlan Aliman dan kawan-kawannya. Jadi bukan setakat cerdik, dia berani. Bagilah peluang dia bincang. Berapa ramai lagi yang cerdik? Bagi dia tolong urus. Yang nak marah kita sangat ni kenapa? Umno marah PAS. Nak khianat apa? Nak rampas tanah FELDA? itu Haram," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.


Itu dari TVSelangor sementara artikel dibawah pula dari Suara Keadilan

Umno-BN Semakin Angkuh, Bongkak, Gila Kuasa, Membelakangkan Perlembagaan
Oleh Dzulkarnain Taib

LABIS 4 Januari - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Umno dan Barisan Nasional sudah sampai ke tahap terlalu bongkak, takbur dan angkuh sehingga sanggup membelakangkan perundangan negara demi menjayakan agenda politik jijik pimpinan mereka.

Menyentuh berkaitan isu perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru, Ketua Pembangkang berkata belum pernah dalam sejarah lantikan itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada Menteri Besar.

"Umno dan BN sudah terlalu bongkak, sombong dan takbur. Saya nasihatkan mereka supaya jangan khianat (kepada rakyat Selangor), zalim dan fitnah.

"Pagi tadi Menteri Besar mengadap Tuanku Sultan dan Tan Sri Khalid (Ibrahim) diberitahu baginda tidak masuk campur dalam perlantikan ini. Jadi sekarang mudah bagi Menteri Besar untuk terus berunding dengan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) untuk selesaikan masalah ini," kata Anwar dihadapan lebih 2,000 penyokong Pakatan Rakyat dan peneroka pada Majlis Mesra Bersama Rakyat di Dataran Niaga, Felda Cempelak di Labis malam tadi.

Majlis tersebut merupakan ceramah pertama Pakatan Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang selepas pelancaran jentera pilihan raya kecil PAS di di sini Sabtu lalu.

Walaupun tiga trak Unit Simpanan Persekutuan, puluhan anggota polis serta lebih lima sekatan jalanraya dilakukan bagi menghalang kejayaan program Pakatan Rakyat namun golongan peneroka Felda Cempelak yang dianggap 'jantung Umno' tidak mengendahkan segala bentuk ugutan pihak keselamatan untuk mendengar amanat Anwar.

Anwar sempat menyentuh mengenai penubuhan Felda oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang menjanjikan tanah untuk golongan Melayu miskin.

"Tun Razak berjanji untuk beri tanah kepada orang Melayu miskin dan berkata tidak akan rampas tanah mereka. Beliau janji dan beliau laksana janjinya.

"Anaknya, Datuk Seri Najib janji macam-macam, ETP, NKRA, KPI tapi satu pun tak jadi dan satu pun tidak ditunaikan," tegas Anwar.

Beliau berkata PRK Tenang adalah penting kepada Pakatan Rakyat kerana kemenangan di negeri yang dianggap kubu kuat Umno bermakna isu serta perjuangan menegakkan keadilan untuk negeri Johor akan lebih berjaya.

"Kemenangan di Tenang tidak mudah, ini kami akui tetapi apa yang penting ialah istiqomah dan yakin serta terus berjuang. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada Umno-BN kerana mereka bercakap tiga bahasa - di depan orang Melayu mereka menakutkan-nakutkan dengan isu Cina, di depan orang Cina dan India pula cakap lain.

"Pakatan Rakyat mempertahankan hak orang Melayu sebagaimana dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang masa hak kaum lain juga dipertahankan. Inilah pendekatan kita.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi amaran kepada Umno-BN suoaya jangan terlalu yakin kerana mungkin Tenang akan menjadi 'ribut' bagi mereka.

"PRK Tenang penting kerana ia akan menjadi pencetus kepada gelombang perubahan di bahagian selatan Semenanjung. Jadi pilihan raya kecil ini adalah peluang kepada rakyat Tenang khususnya dan Johor untuk membuat perubahan penting," kata Shamsul.

ADUN Batu Caves Amirudin Sahri pula mengatakan pengundi di DUN Tenang akan membuat keputusan penting 30 Januari nanti yang bakal merubah landskap politik Johor dan seterusnya di seluruh kawasan Felda yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Sebelum itu di Kampung Air Panas yang terletak kira-kira 10 km dari Labis, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Abdul Rahman Yusof berkata perubahan amat perlu pada PRK Tenang dan Pilihan Raya Umum ke 13 kerana kerajaan Umno-BN kini lebih mementingkan golongan kroni dan kaum keluarga serta membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan keperluan.

"Keadaan ekonomi Malaysia ama berbeza ketika Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan di mana
beliau pernah terpilih Di pilih sebagai Menteri Kewangan terbaik oleh akhbar Financial Times dan negara menyaksikan pertumbuhan ekonomi terbaik semasa beliau dipertanggungjawab mengurus kewangan negara.

"Sekarang ekonomi dan sumber kekayaan negara semuanya dibolot secara rakus oleh pemimpin Umno-BN dengan rakus sekali, Kata Abdul Rahman.

PRK Tenang diadakan berikutan kematian ADUN Tenang Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember lalu di Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 22 Januari dan hari pembuangan undi pada 30 Januari.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails