Thursday, January 27, 2011

PRK Tenang : Laporan polis dibuat terhadap calon BN

LABIS, 27 Jan: Seorang pengundi di Dun Tenang, Mohd Nasir Ahmad membuat laporan polis terhadap calon BN, Mohd Azahar Ibrahim berhubung kes melelong tanah seorang lelaki sewaktu menjawat Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Mohd Nasir merupakan kawan kepada pemilik tanah yang dilelong itu, Mansor Mohamad membuat laporan berkenaan di Balai Polis Labis, di sini, pada jam 11.50 pagi tadi.

Beliau di dalam laporan itu menyatakan tanah rakannya itu yang beralamat di HS(M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Segamat telah dilelong pada 1 Disember 2003 lalu.


Katanya, punca tanah rakannya itu dilelong adalah kerana tunggakan bayaran ansuran kepada CIMB Bank tetapi dia tidak dimaklumkan secara rasmi tanahnya akan dilelong.

Tambahnya, pegawai bertanggungjawab mengendalikan kes itu bagi pihak Pejabat Tanah Daerah Segamat adalah Mohd Azahar Ibrahim, iaitu Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat yang sekarang menjadi calon BN bagi pilihan raya kecil Dun Tenang.

“Beliau telah gagal menyerahkan notis pendengaran kes lelong ini kepada Encik Mansor. Ini menyebabkan Mansor tidak berpeluang menebus tanahnya kembali secara rasmi.

Menurutnya lagi, apabila saat-saat akhir Mansor mengetahui secara tidak rasmi berkenaan lelongan tanah tersebut, maka bayaran sebanyak RM10,000 telah dibuat kepada CIMB Bank bagi tujuan menebus tanahnya kembali.

Mansor juga, katanya memiliki wang tunai sebanyak RM12,000 bagi tujuan tersebut dan telah merayu kepada Mohd Azahar supaya membatalkan lelongan, malangnya rayuan itu tidak dilayan.

Beliau berkata, sebagai pegawai bertanggungjawab yang bertindak di atas kapasiti sebagai ‘majistret’, Mohd Azahar berhak membatalkan proses lelongan tersebut memandangkan Mansor telah bersedia menebusnya tetapi beliau gagal bertindak secara bijaksana.

“Saya mengesyaki terdapat perundingan sulit di antara Mohd Azahar dengan pihak-pihak terbabit. Saya bimbang rakan saya, Mansor telah menjadi mangsa salah guna kuasa seorang penjawat awam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa polis menyiasat adakah terdapat salah laku Mohd Azahar di samping untuk membersihkan nama calon BN itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang turut mengiringnya berkata, pihaknya menyokong laporan polis itu dibuat dan bersedia memberi kerjasama untuk dibawa kepada pihak yang lebih tinggi.


Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails