Monday, January 24, 2011

PRK Tenang : Kerana Jahil, Isu agama makan diri



Kesilapan memilih isu ketika berkempen dalam sesuatu pilihan raya boleh membawa padah apabila isu yang dimainkan mampu menjejaskan sokongan pengundi-pengundi kepada calon sendiri.

Lazimnya, pengundi-pengundi atas pagar adalah antara golongan yang prihatin atau lebih peka ketika menganalisa isu yang diketengahkan oleh jentera parti berbanding penyokong tegar sesebuah parti.


Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nageri (Dun) Tenang masuk hari ketiga hari ini, kempen BN yang mula menyentuh isu-isu berkaitan kepercayaan penganut agama Islam dianggap satu kesilapan yang mampu mengurangkan undi BN.

Dalam satu ceramah di hadapan pengundi-pengundi berbangsa Cina di sini baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah membangkitkan pendirian calon lawan dari PAS, Normala Sudirman yang enggan bersentuhan tangan ketika bersalam dengan pengundi-pengundi lelaki.

Menurut Chua, pendirian Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala itu dianggap menimbulkan kebimbangan sebagai pemimpin yang tidak mesra rakyat.

Keadaan ini diburukKan lagi apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Tan Lian Hoe juga menyelar pendirian ketua muslimat PAS Bahagian Labis itu.

Umno tidak beri kefahaman Islam kepada MCA

Isu ini tentunya tidak terus berlarutan sekiranya Umno pantas bertindak dengan memberi kefahaman berkaitan hukum Islam ini kepada rakan-rakan mereka dalam MCA.

Akhirnya, isu ini memberi kelebihan kepada PAS apabila berjaya memberi penjelasan yang berkesan dalam isu itu sekaligus memaksa BN berada di kedudukan bertahan.

Fakta jelas menunjukkan bahawa bersentuhan tangan antara bukan mahram dalam hukum Islam ternyata mustahil ditepis oleh kalangan pemimpin mahupun ulama dalam Umno.

Ketika menangkis serangan lawan, Cikgu Mala menjelaskan hukum dalam Islam yang melarang bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.

“Kami sebagai individu Muslim, kami (wanita) memang tidak bersalam dengan lelaki. Begitu juga dengan kaum Tionghua, kami bersalaman dengan perempuan Tionghua tidak ada masalah, sebab mereka perempuan.

“Kami (wanita Muslim) juga tidak bersalaman dengan lelaki Islam”

“Hatta kami saudara seIslam pun, kami tidak bersalaman dengan lelaki,” jelas calon PAS itu dalam satu sidang media yang seperti mana lazimnya penjelasannya itu tidak diberikan tempat dalam media-media arus perdana.

Selain penjelasan dari Cikgu Mala dan pemimpin-pemimpin PAS lain, rakan PAS dari DAP dan PKR juga dilihat telah memainkan peranan yang baik dengan mengambil tempat bagi menjelaskan keadaan ini kepada pengundi-pengundi berbangsa Cina.

Ketika melancarkan serangan balas dalam isu yang sama, Chua telah dianggap sebagai pemimpin BN yang tidak menghormati kepercayaan ugama lain, keadaan yang sama dihadapi oleh seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berbangsa Sikh yang dipotong rambutnya.

Malah, Umno sebagai parti utama dalam komponen BN turut menerima kesan paling mendalam apabila dikatakan gagal menjelaskan kepada rakan-rakan komponen dalam BN itu dalam isu berkaitan hukum Islam.

Ia diburukan lagi apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan ‘komen positif’ terhadap kenyataan Chua tersebut sekaligus menghiris perasaan bukan sedikit kelompok Melayu di kalangan pengundi atas pagar.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails