Monday, January 31, 2011

PAS dan PR hanyut dalam PRK Tenang..



Banjir yang melanda Johor ketika ini, bukan sahaja menengelamkan kediaman penduduk di beberapa daerah negeri ini, malah turut menghanyutkan sokongan terhadap PAS, jelas dari keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang berakhir semalam.

Keputusan rasmi yang diumumkan kira-kira jam 10.15 malam tadi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, calon BN, Mohd Azahar Ibrahim berjaya mengekalkan kerusi Barisan Nasional (BN) di DUN tersebut apabila menewaskan calon PAS, Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi.


Bagaimanapun BN gagal mencapai sasaran yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen sebelum ini yang mahukan majoriti sebanyak 5,000 undi.

Menurut keputusan rasmi, yang lewat gara-gara banjir, yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Md Asri Amir, Azahar berjaya memperolehi 6,699 undi berbanding Normala yang memperolehi 2,992 undi dengan 142 undi rosak.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi pula mencatatkan angka yang rendah dengan hanya 67 peratus iaitu 9,833 pengundi daripada 14,753 pengundi berdaftar keluar membuang undi, berbanding sebelumnya dengan 75 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Hujan dan banjir

Peratusan jumlah pengundi yang rendah ini dikatakan berpunca daripada hujan lebat dan paras air banjir yang meningkat yang juga telah memutuskan hubungan beberapa batang jalan utama di sekitar Labis termasuk jalan raya menuju ke beberapa pusat pengundian.

Antara kawasan yang terjejas teruk hingga menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah adalah pusat pembuangan undi yang membabitkan majoriti pengundi Cina.

Menurut beberapa laporan media sebelum ini, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah melahirkan rasa kurang senang terhadap pihak berkuasa tempatan apabila lebih banyak menumpukan kawasan Felda ketika memberi bantuan pengangkutan air bagi membawa pengundi ke tempat pembuangan undi berbanding kawasan majoriti Cina.

Keputusan di Tenang juga dijangka memberi satu lagi pedoman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membubarkan Parlimen dan menumpu kepada pilihan raya umum ke-13.

Undi yang diterima BN menokok 332 undi daripada 6,367 undi yang diterima dalam PRU sebelumnya dan perbandingan majoriti juga didapati semakin melebar sebanyak 1,215 kepada 3,707 berbanding majoriti dalam PRU-12 sebanyak 2,492 undi majoriti.

Kejayaan BN memperolehi majoriti besar ini bukan sahaja dibantu dengan pertambahan jumlah undi yang diterimanya, malahan penguncupan jumlah undi calon PAS.

Keputusan semalam turut membayangkan BN masih mampu mempertahankan kubu kuatnya di kawasan Felda apabila memperolehi sokongan padu daripada peneroka kawasan terbabit, sama seperti PRK Parlimen Kuala Selangor dan DUN Bagan Pinang.

Keputusan kali ini, dilihat telah mengulangi paten yang sama ketika BN berjaya memperolehi kemenangan dengan majoriti besar di DUN sama ketika PRU-11 tahun 2004 dengan peratusan keluar yang rendah ketika itu.

Dalam PRU-11, BN cemerlang memenangi kerusi yang sama dengan majoriti lebih tinggi iaitu 5,517 undi dan ketika itu turut mencatatkan jumlah pengundi keluar mengundi yang rendah hanya 9,793 atau 66.37 peratus.

Undi PAS merudum

Berbanding BN yang berjaya melonjakkan jumlah sokongan, sebaliknya undi yang diraih PAS telah merudum sebanyak 883 undi berbanding PRU-12, mewajarkan parti itu melakukan ‘bedah siasat’ selain menyalahkan faktor bencana alam semata-mata.

Bagaimanapun, PAS berjaya memperolehi sokongan tinggi daripada kalangan pengundi kaum Cina apabila berjaya meraih jumlah undi tinggi berbanding BN di tiga daerah mengundi majoriti kaum itu di Bandar Labis Timor, Bandar Labis Tengah dan Labis.

Namun jumlah undian yang diterima daripada pengundi Cina masih gagal memberikan kemenangan kepada calon PAS itu mahupun sekadar mengecilkan majoriti BN dan keadaan ini ditambah lagi peratusan keluar mengundi yang rendah di daerah mengundi terbabit.

Keadaan ini juga dianggap oleh sesetengah pihak sebagai isyarat agar ‘lebih berhati-hati’ buat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di mana Labis merupakan lubuk baginya.

Selain mencatatkan sokongan kuat di kawasan Melayu , BN turut menerima sokongan dari pengundi di daerah mengundi majoriti kaum India apabila menang di Ladang Labis Utara dan Ladang Bukit Dato.

BN juga hampir menyapu bersih undi pos apabila daripada 119 kertas undi yang dikeluarkan oleh SPR, Mohd Azahar memperoleh 115 manakala Normala cuma memperoleh tiga undi dan satu undi ditolak.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails