Tuesday, January 4, 2011

Pakar Perlembagaan sangkal laporan Utusan.



Pakar Perlembagaan mempertikaikan laporan Utusan Malaysia hari ini yang menyebut bahawa Sultan Selangor mempunyai kuasa eksekutif dan boleh memberikan perkenan dalam perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani sama ada tidak memahami ataupun salah mentafsir kedudukan Sultan seperti termaktub dalam perlembagaan.


“Saya rasa memeranjatkan dan bertentangan dengan apa yang disebut oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor selepas menghadap Ke Bawah Duli Tuanku semalam, di mana kata Tan Sri, Sultan mengaku bahawa baginda sudah tidak ada kuasa dalam hal ini kerana sudahpun dipindahkan ke Persekutuan melalui satu pindaan yang dibuat oleh pentadbiran Umno pada tahun 1993,” jelas beliau.

Beliau berkata, kenyataan Munir yang disiarkan dalam Utusan hari ini bercanggah dengan kenyataan Khalid selepas menghadap sultan semalam, yang menyebut berkenaan titah Tuanku dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.

“Kalau dah peruntukkan itu dipinda, maknanya Sultan sudah tidak ada kuasa dan pada saat ini bagaimana Setiausaha Sulit Sultan boleh mengatakan bahawa Sultan masih ada kuasa eksekutif, begitu juga dengan pihak kerajaan, khususnya Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan yang menyebut soal perkenan Tuanku,” kata beliau lagi.

Katanya lagi, kuasa eksekutif itu tak boleh disamakan dengan kuasa eksekutif dalam syarikat sebab yang disebut dalam perlembagaan adalah ‘authority’ atau kuasa pemerintahan yang diletakkan di dalam tangan Sultan tetapi dilaksanakan atau dijalankan oleh kerajaan yang memerintah yakni MB dan Exconya.

Tambah Aziz lagi, kenyataan yang dibuat oleh setiausaha Sultan tidak selari dengan KSN; satu pihak mengatakan kuasa itu telah dipindahkan dan sebagainya, dan satu pihak lagi mengatakan kuasa itu masih ada di tangan Tuanku.

Aziz mendakwa, upacara mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor tidak relevan kerana perlembagaan negeri memperuntukkan SUK yang baru perlu mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar.

“Anehnya pula, terus mahu buat upacara angkat sumpah di depan Tuanku, jadi kalau sudah tidak ada kuasa melantik, nak angkat sumpah buat apa?” Katanya.- Selangorkini


Sultan ada kuasa eksekutif

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 3 Jan. – Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menegaskan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap mempunyai kuasa eksekutif bagi memperkenankan sebarang pelantikan pegawai kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Justeru beliau menjelaskan, kenyataan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh suruhanjaya berkenaan adalah dikeluarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

‘‘Itu tidak tahulah tetapi semasa perjumpaan Menteri Besar ketika menghadap Tuanku
hari ini, beliau ada menerangkan kepada baginda bahawa kuasa tersebut telah dipinda, iaitu Tuanku tiada mempunyai kuasa memerintah membuat pelantikan yang kini dilakukan oleh SPA.

‘‘Bagaimanapun, baginda sebagai Ketua Esksekutif Negeri tetap mempunyai kuasa eksekutif dan sebarang pelantikan perlu mendapat perkenan Tuanku.

‘‘Menteri Besar pula berperanan menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang telah diturunkan oleh baginda kepada beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Khalid hari ini yang menyebut Sultan Selangor telah berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA.

Ini kerana katanya, kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan.

Kenyataan itu menyebut, Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

Utusan Malaysia difahamkan, baginda murka dan berkecil hati ekoran sikap pentadbiran Abdul Khalid yang mempertikaikan dan enggan menerima pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah diperkenankan oleh baginda.

Menurut Mohamad Munir, semasa perjumpaan Sultan Selangor dengan Menteri Besar hari ini, baginda ada bertanya mengapa kerajaan negeri tidak mahu menerima pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK.

‘‘Tuanku ada bertanya, mengapatidak suka Khusrin, adakah dia ada melawan tetapi Menteri Besar tidak kata apa-apa,” katanya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails