Saturday, January 1, 2011

Pakaian Teo Nie Ching bukan masaalah, masaalah itu UMNO


KUALA LUMPUR, 31 Dis — Pengurusan Masjid Taman Cheras Jaya berpendapat pihaknya tidak melihat adanya sebarang masalah dengan pakaian Ahli Parlimen Serdang yang menyertai program senamrobik di pekarangan rumah ibadat itu meskipun pemimpin-pemimpin Umno menyifatkan tindakan itu telah mencemari kesucian Islam.

“Kami tidak ada apa-apa masalah sama sekali dengan pakaian YB Teo,” kata pengerusi jawatankuasa Masjid Taman Cheras Jaya Azman Idris hari ini.

Dalam kenyataan yang dilihat menolak kritikan disiarkan akhbar Umno yang dibawa sejak semalam, Azman menjelaskan, menutup aurat terpakai kepada umat Islam sahaja.


“Menutup aurat terpakai hanya kepada Muslim. Jadi, isu menutup aurat tidak terpakai kepada YB Yeo,” kata beliau.

Malah kata beliau, pihaknya hanya mengadakan aktiviti itu di tempat letak kereta, bukannya dalam masjid sebagaimana dijadikan isu semata-mata.

“Saya tidak melihat ada apa-apa masalah dalam isu ini,” tambah beliau sambil menjelaskan, sesetengah wanita Islam yang menghadiri karvinal Maal Hijrah pada 12 Disember lalu juga tidak menutup aurat. Program itu diadakan sempena karnival tersebut.

“Ada yang mengenakan jeans yang ketat. Tetapi kami tiada masalah,” katanya lagi.

“Kami ada meletakkan papan tanda mengatakan sila menutup aurat. Tetapi, kami tidak menguatkuasakan kerana ia tanggungjawab individu terbabit. Kami hanya boleh menggalakkan (mereka berbuat demikian),” kata beliau.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

“Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadat orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik,” katanya.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pula dikatakan mahu memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya untuk menjelaskan kehadiran Teo dan menyertai senamrobik di pekarangan masjid itu.

Timbalan Setiausaha Mais Abdul Halem Hapiz Salihin dipetik Utusan Malaysia berkata, pihaknya juga akan menyiasat mengapa tindakan wakil rakyat daripada DAP itu tidak ditegur oleh pihak pengurusan masjid.

Laporan akhbar itu semalam mendakwa Teo masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, yang terletak di Balakong, dengan mengenakan pakaian ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid.

Menurut Abdul Halem Hapiz, tidak salah melakukan aktiviti berfaedah seperti senamrobik di pekarangan masjid tetapi biarlah mematuhi adab seperti memakai pakaian yang sesuai.

Tambah beliau, sepatutnya wakil rakyat itu dinasihatkan memakai pakaian sukan yang lebih sopan seperti berlengan panjang dan menutup kepala serta senamrobik diasingkan antara lelaki dan wanita atau lelaki di hadapan dan wanita di belakang.

Ogos lalu Teo didakwa menyampaikan ‘tazkirah’ dalam sebuah surau di Kajang Sentral.

Bagaimanapun jawatankuasa surau itu juga menafikan wakil rakyat itu menyampaikan tazkirah sebagaimana dipertikaikan media milik Umno dan pemimpin-pemimpin mereka.

Kelakuannya itu dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin. Teo telah memohon maaf kepada baginda di atas perbuatannya itu.

Semalam, Teo memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan meneruskan pendekatannya menyertai aktiviti anjuran umat Islam meskipun akhbar Utusan Malaysia terus-menerus menyerangnya.

Meskipun mengakui tindakan menyertai aktiviti itu di Masjid Taman Cheras kemungkinan menjejaskan sokongan undi orang Melayu, Teo berkata, beliau akan terus menyertai aktiviti seumpama itu dalam usaha merapatkan hubungan dengan para pengundinya.

Menurut Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

“Apabila saya mendapat jemputan daripada masjid, saya akan pergi,” kata Teo.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails