Monday, January 24, 2011

MB Johor sudah menggila..

LABIS, 24 Jan — Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman melancarkan serangan terhadap Pakatan Rakyat dengan mendakwa gabungan tiga parti itu mahu memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Ghani berkata tindakan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu semata-mata mahu mengejar kuasa seterusnya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

“Janganlah kita pertaruhkan masa depan kepada pihak lawan (Pakatan Rakyat) yang buat pelbagai janji.


“Saya nak jelaskan, hari ini ada parti yang dah datang ke Labis dan Tenang, jumpa orang Melayu cakap lain, kemudian depan (orang lain), cakap lain.

“Mereka (Pakatan Rakyat) bercakap bukan untuk perpaduan tetapi bercakap untuk perpecahan antara kita,” katanya ketika pada program Majlis Jamuan Mesra Bersama Menteri Besar Johor di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Labis di sini malam tadi.

Turut hadir dalam program itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong dan calon Umno-BN Mohd Azahar Ibrahim.

Umno-BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan Rakyat diwakili oleh Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis dan bekas guru sebagai calon.

Menurut Ghani (gambar), Pakatan Rakyat akan menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat seterusnya memecahkan perpaduan kaum yang telah terjalin sejak merdeka lagi.

“Dia (Pakatan Rakyat) tak ada masa depan kerana cuba dapatkan tempat dan kuasa dengan perpecahan yang berlaku.

“Cara dia nak pecah belahkan masyarakat untuk mendapatkan kuasa, ini jauh berbeza dengan BN.

“Saya ambil kesempatan ini meminta supaya pengundi berikan sokongan kepada calon BN,” kata Pengerusi Umno Johor itu.

Selain itu, Ghani dalam ucapan juga memberikan jaminan kerajaan pimpinannya akan membantu rakyat di negeri itu termasuk dalam bidang pendidikan.

Beliau juga memberi jaminan Sekolah Jenis Kebangsaan sama ada Cina atau Tamil turut akan mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

Program selama dua jam itu dihadiri kira-kira 300 masyarakat Tionghoa dan ia dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan yang disusuli dengan makan malam.

Selain itu, Mohd Azahar turut mengambil kesempatan menyanyikan sebuah lagi bertajuk “Selamat Tahun Baru Cina” kepada masyarakat Tionghoa yang akan menyambut perayaan itu awal bulan depan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.


Oleh Syed Mu’az Syed Putra/ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails