Sunday, January 16, 2011

Jamil Khir! Tegurlah dia ni pulak kalau berani..

Semalam Bernama melaporkan Jamil Khir telah memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba mempolitikkan isu-isu agama supaya segera menghentikannya dan menilai kesan perbuatan mereka.

Ini berikutan tindakan exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik larangan tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Kali ini Seorang naib presiden MCA pula kelihatan mencampuri urusan ugama Islam dengan meminta perdana menteri dan pihak berkuasa agama menggunakan isu azan semasa sebagai peluang bagi mengawal selia penggunaan pembesar suara di semua rumah ibadat demi mengelak perselisihan faham di kalangan mayarakat pelbagai kaum pula..


Hah! Jamil Khir tunggu apa?? Dia campur urusan ugama Islam tu.. Bagi amaranlah kepada pemimpin MCA ni kalau berani..


Naib presiden MCA: Kawal selia guna pembesar suara rumah ibadat
Oleh Clara Chooi January 16, 2011

Seorang pekerja memasang pembesar bunyi di sebuah masjid di Jammu, India. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 16 Jan — Seorang naib presiden MCA meminta perdana menteri dan pihak berkuasa agama menggunakan isu azan semasa sebagai peluang bagi mengawal selia penggunaan pembesar suara di semua rumah ibadat demi mengelak perselisihan faham di kalangan mayarakat pelbagai kaum.
Dalam langkah MCA kelihatan keluar daripada pendirian “diam diri” dalam isu azan semasa, Senator Gan Ping Sieu memberitahu The Malaysian Insider, penetapan garis panduan tidak boleh disamakan sebagai dengan tindakan mempersoalkan hak seseorang kepada kebebasan beragama dalam apa sahaja kepercayaan.

Bagaimanapun kata beliau, usaha itu akan membantu mengelak sebarang perselisihan berhubung isu-isu sensitif pada masa depan.

“Ini peluang baik bagi perdana menteri, mufti-mufti dan pihak berkuasa lain untuk menetapkan garis panduan agar ia jelas,” kata beliau.

“Ia bukannya mempersoalkan hak-hak seorang untuk beragama atau hakikat bahawa Islam adalah agama rasmi (persekutuan), tetapi garis panduan yang lebih jelas akan memudahkan umat Islam dan bukan Islam memahami satu sama lain,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Gan, seorang timbalan menteri, merupakan pemimpin MCA pertama bercakap secara terbuka dalam isu terbaru ini ekoran protes berkaitan dengan isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di ibu negara.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan isu laungan azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, yang didakwa diarah menghentikan penggunaan pembesar suara ekoran aduan seorang ahli MCA, sebagai “mainan politik” pihak tertentu untuk melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

Beliau juga menegaskan, tiada arahan dikeluarkan kepada pengurusan masjid agar memperlahankan laungan azan atau tidak lagi menggunakan pembesar suara.

Kelmarin, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak pengadu itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jamil Khir memberitahu, dakwaan mengatakan pihak pengurusan Masjid Al-Ikhlasiah yang menerima arahan daripada “pihak atasan” supaya berhenti menggunakan pembesar suara ketika azan adalah tidak benar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali juga menafikan pernah memberi arahan kepada Masjid Al-Ikhlasiah agar menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan.

Difahamkan peguam itu yang tinggal di Pantai Hill Park yang terletak kira-kira satu kilometer dari Masjid Al-Ikhlasiah telah menghantar surat kepada Perdana Menteri sebelum dibawa ke Jabatan Perdana Menteri dan Jawi dan kemudian dimaklumkan kepada pihak pengurusan masjid.

Dalam kenyataannya, Gan berkata, sebelum menghakimi tindakan pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian itu, adalah penting untuk memahami konteks isu tersebut tanpa salah anggap komponen azan dalam ajaran agama.

“Sangat mudah... azan digunakan untuk menyampaikan puji-pujian kepada Allah dan Nabi Muhammad (s.a.w.), ia panggilan untuk menunaikan solat,” kata Gan sambil menambah, memang sesuatu yang lumrah permintaan agar dikurangkan nada pembesar suara boleh disalah anggap dan menyinggung perasaan umat Islam.

Begitu juga dalam keadaan di mana penganut-penganut agama lain diminta mengurangkan kadar amalan atau sambutan perayaan masing-masing, kata beliau.

“Ia juga boleh menyinggung mereka, ini sikap semula jadi manusia,” kata beliau.

Gan juga berkata, bagi sesetengah orang azan dianggap sebagai “suara yang menenangkan” seperti juga him, koir, bunyi loceng atau pukul gendang yang digunakan dalam agama-agama lain.

Justeru kata beliau, terdapat manifestasi yang berbeza melibatkan pemahaman penganut-penganut dari lain-lain kepercayaan.

“Saya pernah melihat di mana sesetengah tokong Buddha membiarkan pekikan laungan mereka dan masyarakat Muslim tidak mengadu, tetapi orang Cina yang mengadu.

“Jadi, ini satu perkara yang menyentuh soal sensitiviti. Ia membawa pengertian yang berbeza bagi orang lain (berbeza agama),” kata beliau.

Gan juga berkata, adalah penting bagi mereka dari agama lain untuk memahami bahawa azan bukan ajaran agama tetapi panggilan untuk Muslim menunaikan solat dan hanya berkumandang beberapa minit.

Kata beliau, azan disalah anggap oleh bukan Islam sebagai khutbah agama yang disampaikan dalam masjid, yang lazimnya turut kedengaran menerusi pembesar suara.

Dalam satu pandangan berasingan semalam, bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan selain azan, yang dibuat melalui pembesar suara supaya tidak mengganggu orang luar dan juga mereka dalam masjid.

“Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi (Muhammad) s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni.

“Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak,” kata Mohd Asri dalam kenyataan dikeluarkan mengulas isu azan membabitkan sebuah masjid di Lembah Pantai sejak beberapa hari lalu.

“Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan — selain azan — yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai.

“Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan Muslim sehingga mereka menyangka ia azan,” kata beliau sambil menambah, sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan.

“Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’,” kata beliau.

Gan juga berkata kebanyakan rakan Muslimnya juga ada memaklumkan beliau bahawa amalan sedemikian tidak digalakkan dalam Islam.

“Saya dimaklumkan di sesetengah tempat, kemungkinan beberapa anggota jawatankuasa masjid, bertindak secara berlebihan... mereka melaungkan ceramah mereka dan kuliah mereka dan menggunakan pembesar suara untuk menyiarkan pandangan mereka.

“Kemungkinan ini yang menyukarkan kaum bukan Islam. Sebenarnya, sesetengah Muslim juga memberitahu saya bahawa mereka juga pernah meminta pihak masjid memperlahankan pembesar suara,” katanya lagi.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada umat Islam, Islam meminta pengikutnya tidak mengangkat pujian mereka tetapi agar menunaikan solat secara sederhana dan dalam suasana yang aman.

“Saya tidak tahu sejauh mana benarnya perkara ini, maka langkah terbaik ialah pemimpin-pemimpin agama memutuskannya.

“Tetapi ini yang diberitahu oleh (rakan-rakan) Muslim kepada saya,” kata beliuau.

Begitu juga pembakaran bahan-bahan sembahyang oleh agama lain, yang tidak harus dilakukan sehingga mengganggu penganut agama lain, kata Gan lagi.

Dalam suratnya bertarikh 20 Disember 2010 kepada perdana menteri dan salinannya kepada beberapa pihak, peguam tersebut berkata dia ahli MCA sejak 1998 dan tinggal di Pantai Hill Park sejak lima tahun lalu dan terjaga daripada tidur kerana laungan azan.

Dalam salinan surat yang diperoleh dari Internet, peguam itu berkata, “sebagai seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA sejak 1998, saya merasa amat kesal kerana sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas dari pihak Jabatan Perdana Menteri walaupun berkali-kali saya telah menulis surat menyuarakan masalah saya termasuk kepada JPM, MCA dan Gerakan.”

“Sebagai seorang penghuni yang telah lebih daripada lima tahun menghuni di Pantai Hill Park, saya sudah biasa kedengaran bunyi sembahyang subuh dari Masjid Al-Ikhlasiah yang berdekatan dan tidak menghadapi apa-apa masalah,” katanya.

Bagaimanapun kata peguam itu, sejak beberapa bulan lalu dia mendapati bunyi laungan azan tiba-tiba menjadi “amat lantang sehingga mengejutkan saya pada setiap pagi 5.45 pagi.”

“Ambil perhatian bahawa saya tinggal di tingkat paling tinggi iaitu tingkat 21, dan jarak Pantai Hill Park dari masjid tersebut adalah lebih kurang satu kilometer.

“Menurut khabar angin, imam yang baru telah ditukar ke masjid ini,” katanya.

Dia seterusnya menulis, “saya juga pernah menelefon pejabat polis Kuala Lumpur dan menurut pegawai atasan di sana, tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang mengawal bunyi sembahyang masjid dan lagi kuat bunyi itu lagi baik, untuk mengingatkan lebih banyak Muslim tempatan bangun bersembahyang.”

“Saya menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi hak saya untuk tidur dan rehat serta bersembahyang agama sendiri dengan aman dalam permis persendirian juga harus dihormati.

“Saya berpandangan kekuatan pembesar di mana-mana tempat sembahyang tanpa mengira agama, mesti dikawal oleh pihak-pihak berkuasa tertentu, melalui peraturan yang saintifik dan rapi seperti pengiraan decibel (dB), tidak boleh mengatasi undang-undang,” katanya sambil menambah, “seperti di rumah kampung saya di Seremban, didapati bunyi masjid itu adalah lebih rendah dan terkawal.”

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails