Saturday, January 22, 2011

Bukan mudah nak menang di Tenang tapi tak mustahil.

LABIS, 22 Jan — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata peluang Pakatan Rakyat untuk meramps kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang bermula hari ini adalah 50:50 tetapi “tidak mustahil” untuk menang.

Menurut Abdul Hadi, Pakatan yang meletakkan calon PAS Normala Sudirman mempunyai peluang cerah sekiranya maklumat dapat disampaikan dengan tepat kepada pengundi di DUN Tenang.

“Peluang kita (Pakatan Rakyat) 50 peratus, begitu juga Barisan Nasional (BN), tidak mudah untuk kita menang tapi ia tidak mustahil.


“Kita letak 50 peratus dulu tapi kempen kita bergerak bermula dari 40 peratus, di Johor kita sudah menang dua kerusi. Jadi peluang (menang) memang ada.

“Malah perubahan besar sudah berlaku di sini (Johor), BN juga hadapi masalah malah kedudukan Umno juga tidak kuat,” kata beliau ketika ditemui di proses penamaan calon DUN Tenang di pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Pakatan Rakyat meletakkan Ketua Muslimat PAS Labis, Normala, bekas guru manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 38.

Tambah Abdul Hadi, pengundi muda di DUN Tenang merupakan penentu kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan itu.

“Pengundi muda yang dapat menatap media baru, mereka boleh mendapatkan maklumat yang tepat. “Bagi saya pengundi muda adalah undi penentu, di sini BN tiada undi Orang Asli, malah undi warga Felda juga sudah memihak kepada kita.

“BN tiada undi deposit di sini, kita mempunyai peluang kerana meletakkan calon anak tempatan bukan BN yang meletakkan calon yang sudah lama meninggalkan kawasan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang. Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang. Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails