Tuesday, January 25, 2011

Bodohnya cabaran dia ni....

Pakatan Rakyat yang menimbulkan isu kenaikan harga barangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, dicabar supaya terlebih dahulu menurunkan harga barang di empat negeri yang mereka perintah.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata isu kenaikan harga barangan itu hanya bagi meraih sokongan.

“Kalau hebat sangat pembangkang, sila segera turunkan harga barangan seperti harga petrol di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

"Jangan tunggu selepas pilihan raya kerana mereka sudah dapat perintah empat negeri itu, saya cabar mereka cari duit dan beri subsidi supaya harga barang di empat negeri itu turun," katanya selepas bersarapan pagi bersama penduduk di warung Kampung Tenang di Labis, hari ini.


Pilihan raya kecil pada 30 Januari ini, membabitkan calon BN Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan lawannya daripada PAS, Normala Sudirman, 38.

Ia diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Disember tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebagai permulaan, beliau mencabar kerajaan di empat negeri tersebut menurunkan harga petrol di negeri masing-masing dengan cara memberi subsidi kepada pengusaha stesen minyak.

"Cari duit beri subsidi kepada pengusaha stesen minyak supaya RON95 dari RM1.90 mungkin diturunkan menjadi RM1.50 seliter. Saya cabar turunkan harga petrol satu dulu cukuplah, kalau banyak nanti mereka tidak mampu," katanya.

Beliau berkata, sekiranya Pakatan Rakyat yang terkenal dengan menabur pelbagai janji, tidak boleh berbuat demikian maka tidak usah memperdaya penduduk di Tenang semata-mata untuk meraih undi daripada mereka.

Katanya, kerajaan BN sentiasa prihatin dan berusaha mengurangkan bebanan rakyat termasuk memberi subsidi dan menetapkan harga barangan kawalan bagi barangan keperluan pada musim perayaan.

Beliau berkata, kerajaan juga berusaha supaya harga komoditi terus naik dan rakyat mempunyai pekerjaan bagi menjana pendapatan mereka.

Mengulas janji Pakatan Rakyat untuk membangunkan kawasan perindustrian di Tenang bagi mengelakkan penduduk berhijrah mencari pekerjaan di negeri lain, Ahmad berkata, mereka tidak berupaya menunaikan janji tersebut sebaliknya hanya khayalan.

Jika ditinjau di empat negeri yang diperintah pembangkang, kewujudan kawasan perindustrian besar dan sederhana adalah usaha kerajaan BN menarik pelaburan manakala tiada kawasan perindustrian baru diwujudkan Pakatan Rakyat, katanya.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam yang melabelkan wakil rakyat BN sebagai penderhaka kepada institusi raja-raja, Ahmad berkata, itu adalah sandiwara politik dan sebenarnya Pakatan Rakyat yang menderhaka kepada Sultan.

- Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails