g

Thursday, December 2, 2010

UMNO manipulasi ketuanan Melayu

ALOR SETAR - Ketuanan Melayu yang sering dilaungkan oleh pemimpin UMNO didakwa dimanipulasikan segelintir golongan elit parti itu bagi tujuan ketuanan UMNO.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Lee Guan Aik yang mendakwa demikian berkata, konsep Ketuanan Melayu harus ditinggalkan kerana ia hanya memperdaya orang Melayu sendiri.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Ketuanan Melayu adalah slogan digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai demi kepentingan diri sendiri.

“Justeru, perjuangan sebenar menghapuskan ketuanan Melayu adalah untuk memecahkan dominasi ketuanan UMNO,” katanya.


Guan Aik berkata, perkara hampir sama berlaku sewaktu UMNO mempertahankan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini yang pada asalnya bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

“Bagaimanapun, DEB itu dimanipulasikan pemimpin UMNO semata-mata untuk membolehkan segelintir pemimpin parti itu mengaut kekayaan dengan mempergunakan dasar pro-Melayu,” katanya.

Guan Aik berkata, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini sedang mengalami nasib yang sangat menyedihkan.

“UMNO cuba mewujudkan sentimen perkauman terhadap Pakatan Rakyat (PR) dengan membangkitkan isu ketuanan Melayu kerana bimbang dengan peningkatan pengaruh PR dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.

“Selama ini, UMNO tidak boleh lari dari menyentuh aspek perkauman. Mereka perlu sedar bahawa bukan hak orang Melayu sahaja yang perlu dijaga tetapi semua kaum lain di negara ini,” katanya.

Ditanya sama ada bersetuju dengan sesetengah pihak menganggap kenyataan Dr Wan Azizah seperti cuba mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat negara ini, Guan Aik percaya, pemimpin PKR itu ikhlas dalam misinya dan tidak mempunyai niat tersirat.

Guan Aik tidak menolak kemungkinan sokongan pengundi muda terhadap UMNO akan semakin terhakis kerana perjuangannya tidak berubah dan dipenuhi dengan agenda peribadi berbanding parti.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails