Thursday, December 2, 2010

TG Haji Hadi yakin PAS kembali tawan Terengganu

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Syazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 2 Dis — PAS kini menumpukan usaha untuk merampas semula Terengganu yang kini diterajui kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan awal tahun depan, namun pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak spekulasi tersebut.

Umno telah pun menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun depan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, parti Islam itu yakin akan merampas semula Terengganu daripada BN kerana kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar sekarang tidak membawa apa-apa perubahan yang signifikan sejak BN menguasai semula negeri itu pada 2004.


“Kita yakin untuk merampas semula Terengganu... Umno menang di negeri itu dengan penipuan... apa pembangunan yang dibuat di sana? Hanya stadium runtuh sahaja,” kata Hadi dalam temubual .

Ahli Parlimen Marang ini yakin PAS boleh merampas semula kerajaan negeri BN dengan “majoriti kecil” sambil mengatakan majoriti dua pertiga “tidak diperlukan” untuk mendapatkan mandat memerintah Terengganu.

“Dalam pilihan raya lepas, kita menang lapan kerusi walaupun BN menang tapi mereka tidak menang dengan majoriti besar. Bagaimanapun majoriti dua pertiga tidak penting, majoriti kecil sahaja sudah cukup,” tambah Hadi lagi.

Bekas menteri besar Terengganu ini mendakwa kebanyakan undang-udang yang telah diwartakan PAS sebelum 2004 masih kekal “utuh” di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN sambil menambah, PAS lebih banyak membawa pembangunan ke negeri itu daripada “Umno atau BN lakukan.”

“Di bawah pentadbiran PAS lebih 60,000 permohonan tanah telah diluluskan di Terengganu, Umno hanya berminat untuk menang dan masih banyak undang-undang yang diperkenalkan AS masih lagi kekal hingga hari ini,” kata Hadi.

Hadi berkata jentera pegawai-pegawai PAS termasuk dirinya telah melawat ke kawasan-kawasan undi di Terengganu sejak tahun lepas dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Kita bermula tahun lepas lagi dan bersambung tahun ini untuk melihat kemajuan dari segi jentera-jentera pilihan raya di setiap kawasan. Memang ada kekuatan dan ada juga kelemahan yang perlu diperbaiki. Tapi kita bersedia di peringkat pentadbiran pilihan raya yang dipengerusikan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya PAS pusat.

“Saya juga akan balik ke Terengganu setiap minggu untuk melawat setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita juga mengadakan seminar-seminar kepada petugas pilihan raya, yang ini dalam peringkat negeri-negeri. Itu persediaan awal yang kita buat,” katanya.

PAS merampas Terengganu pada 1999 yang selama ini di bawah pentadbiran BN. Kerajaan pimpinan PAS itu tidak bertahan apabila tewas semula kepada BN pada 2004.

Selain Terengganu, Hadi juga berkata PAS turut akan memenangi lebih banyak kerusi di Johor yang menjadi kubu kuat Umno.

“Ini boleh dilakukan sekiranya orang-orang Melayu berubah dari segi pemikiran mereka untuk jadikan PAS sebagai alternatif kepada Umno dan ini boleh berlaku.

“Kita boleh menang dan tidak mustahil ia boleh berlaku, undi Melayu boleh berubah dan di Johor yang kuat Umno hari ini pun kita sudah ada dua kerusi.

“Secara jelas dan terang sehingga hari ini sudah tentu kita akan mempertahankan Kelantan, Kedah, sudah tentu Terengganu kita akan ambil balik manakala negeri-negeri lain adalah kerusi campuran yang akan kita bincangkan manakala Sabah dan Sarawak akan kita bincang dalam Pakatan Rakyat,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada usaha kerajaan perpaduan antara Umno-PAS boleh diteruskan, Hadi bagaimanapun berkata “buku sudah tertutup rapat dan tidak boleh dibuka lagi.”

“Buku sudah tutup dan tidak boleh dibuka, zaman sudah berlalu dan rakan Pakatan Rakyat setuju nak ubah semua sekali.

“PAS adalah parti yang berpengalaman, PAS saingan utama Umno. Umno tak mahu kerana tidak mahu buat perubahan, PAS tidak bersedia untuk menyertai kerajaan yang tidak mahu buat perubahan,” katanya sambil berkata pernah mengajak Umno untuk bekerjama ketika zaman pemerintahan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Hadi berkata ketika itu beliau mahu semua parti termasuk PKR, Umno, DAP dan parti lain untuk bergabung tetapi ditolak Umno yang ketika itu hanya mahukan PAS.

“Saya masa Tun Abdullah pernah mengajak perpaduan semua bukan PAS dengan Umno sahaja tapi PAS, Umno, PKR, DAP dan semua sekali, itu ajakan saya.

“Tapi umno hanya mahu PAS dengan Umno sahaja, ini tidak boleh kerana kita tidak mahu perubahan dan tugas reformasi yang mesti melibatkan semua parti politik.

“Sekarang Tun Abdullah dah tak ada, sekarang orang lain pula dan sikap kita jelas nak buat satu perubahan dan tidak boleh menyertai kerajaan yang laksana kita memikul biawak hidup yang penuh dengan masalah,” katanya.



The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails