Tuesday, December 28, 2010

Tembelang terbongkar

Oleh Saiful Affendy Sapran

ANDAI penyokong skuad kebangsaan Indonesia pantas menuding jari ke arah peminat Malaysia sebagai punca kekalahan mereka akibat penggunaan cahaya laser pada final pertama Piala Suzuki AFF, skuad kendalian Alfred Riedl itu sepatutnya memikirkan semula siapa sebenarnya yang mencetuskan fenomena penggunaan alat itu.

BUKTI...penjaga gol Malaysia Mohd Sharbinee Allawee Ramli terkena sinaran laser hijau (bulatan) semasa perlawanan peringkat kumpulan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta, 1 Disember lalu.


Benar, mungkin ada segelintir penyokong tuan rumah melakukan kesalahan itu ketika menumbangkan skuad Garuda 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, tetapi sebenarnya tindakan itu awal-awal lagi sudah dilakukan penyokong Indonesia pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan dalam saingan Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, 1 Disember lalu.


Salah satu insiden paling jelas ketika itu ialah apabila aksi penjaga gol negara, Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang terganggu dengan penggunaan pancaran laser penyokong Indonesia sehingga membolehkan pemain penyerang, Irfan Haarys Bachdim meledakkan gol kelima pada masa kecederaan.

Bukan setakat itu saja, malah sepanjang babak pertama dan kedua sewaktu skuad kendalian K Rajagobal diratah 5-1 oleh Indonesia, ada saja kelihatan pancaran laser ditujukan kepada barisan pemain negara.

Lalu timbul persoalan, wajarkah hanya penyokong Malaysia dilabel sebagai pencetus kepada penggunaan laser sedangkan awal-awal lagi penyokong Indonesia sudah ‘mengajar’ bagaimana untuk menyalahgunakan alat berkenaan.

Walaupun skuad kendalian Alfred Riedl terutama penjaga gol mereka, Markus Harison Rihihina berkali-kali menuduh penyokong Malaysia sebagai punca kekalahan mereka, namun ramai juga penyokong setia skuad Garuda muak dengan alasan berkenaan.

Laman web Kompas.com umpamanya dihujani dengan komen-komen peminat Indonesia yang menyatakan mereka mengakui terlebih dulu melakukan penggunaan laser selain tidak menganggap isu berkenaan sebagai punca utama kekalahan skuad kesayangan mereka.

“Positif thinking saja... kalo mahu jujur, saat Indonesia bertemu Malaysia di Senayan, ketika gol kelima dilakar oleh Irfan Bachdim, terlihat jelas di wajah penjaga gol Malaysia ada sinar laser hijau... coba lihat,” demikian komen seorang penyokong Indonesia yang menggunakan nama PekanBaru Tki dalam entri terbaru laman web Kompas.com.

Selain itu antara petikan komen lain ialah: “Ha ha... laser jadi kambing hitam, nanti kalau di Senayan kalah lagi kambing hitamnya ada nggak ya?.” Jelas sesetengah pihak di Indonesia hanya menggunakan isu laser itu untuk mencari jalan keluar daripada kekalahan yang mereka terima. Malah, sepanjang masa 15 minit ketika Malaysia menjaringkan ketiga-tiga gol itu, ketika tiada sebarang pancaran laser dipancarkan kepada pemain Indonesia.

Dengan pelbagai komen yang seolah-olah tidak memihak kepada sesiapa itu, jelas sekali menunjukkan skuad Indonesia serta penyokong setia mereka tidak perlulah lagi menuding jari lagi ke arah penyokong Malaysia kerana sudah jelas, mereka yang memulakan dulu insiden penggunaan cahaya laser.


myMetro

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails