Thursday, December 2, 2010

Tandatangan digital mungkin disalah guna, dakwa bekas SU Agung PKR

Hmm.. inilah bahananya bila seorang Setiausaha Parti meninggalkan Parti dengan perasaan dendam dan marah.. habis dibongkarnya..

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PETALING JAYA, 2 Dis — Dalam kenyataan terbuka hari ini, bekas setiausaha agung PKR Datuk Salehuddin Hashim berkata, tiada pemimpin dalam parti itu termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku presiden boleh membuat keputusan memecat ahli selagi tidak diputuskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sehubungan itu, Salehuddin tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu dalam partinya menyalahgunakan imej tandatangan digital beliau untuk mengeluarkan surat pemecatan palsu.

Kata Salehuddin, surat pemecatan palsu kononnya ditandatangani beliau untuk memecat bekas timbalan setiausaha agung, P. Jenapala telah membatasi peruntukan perlembagaan PKR.

“Tidak ada individu dalam parti yang boleh secara bersendirian memecat keahlian seseorang, malah presiden PKR (Dr Wan Azizah) pun tidak ada kuasa sedemikian.


“Surat pemecatan Jenapala itu tidak menyatakan sama ada pemecatan tersebut telah dipertimbangkan dan diputuskan MPP dan saya sebagai setiausaha agung (ketika itu) telah diarahkan untuk memaklumkan kepada Jenapala tentang pemecatan beliau.

“Malah tiada ada dalam minit mesyuarat MPP pun tentang pemecatan Jenapala, apa yang ada cuma biro sedang mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas Jenapala dan biro telah mengarahkan Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat perkara itu,” katanya pada sidang media di sini.

Ia sidang media pertama selepas Salehuddin membuat aduan polis pada 26 November lalu tentang pemalsuan sepucuk surat bertarikh 2 Febuari 2009 yang kononnya dikeluarkannya selaku setiausaha agung PKR pada masa itu.

“Saya membuat laporan tersebut dengan harapan satu penyiasatan polis akan dibuat untuk menentukan siapakah mereka yang melakukan pemalsuan tersebut untuk tujuan-tujuan mereka sendiri.

“Saya yakin surat palsu tersebut telah melanggar undang-undang jenayah dan sivil serta menganiayai saya, seolah-olah saya seorang yang melakukan perkara-perkara yang tidak benar dan tepat,” katanya.

“Saya akan memanggil satu sidang media dalam masa terdekat. Walaupun saya telah bersara sepenuh masa dari arena politik selama hampir satu tahun, dengan tercetusnya kes ini saya telah diheret kembali ke dalam kancah politik nasional. Bagaimanapun, saya menerima cabaran ini demi menegakkan kebenaran sejagat,” katanya ketika itu.

Hari ini, Salehuddin menjelaskan, surat pemecatan Jenapala itu tidak boleh dikuatkuasakan kerana tidak mendapat keputusan yang sah daripada MPP.

“Walau apa sekalipun, surat tersebut adalah ‘ultra vires’ kepada perlembagaan parti dan tidak boleh dikuatkuasakan.

“Saya fikir Jenapala akan mengambil tindakan serta-merta terhadap surat tersebut jika benar beliau menerimanya,” katanya.

Salehuddin bagaimanapun tidak menafikan surat tersebut mempunyai imej tandatangan digital yang digunakan untuk mencetak beribu-ribu surat pekeliling.

“Melalui surat ini saya berhubung dengan lebih 200 cabang dalam parti, maka surat pemecatan itu mungkin satu perbuatan ‘potong dan cetak’ atau penyalahgunaan tandatangan digital saya yang terdapat dalam fail.

“Saya serahkan perkara ini kepada polis untuk menyiasat,” kata beliau.

Pada sidang media itu juga, Salehuddin berkata, surat palsu yang melibatkan pemecatan Jenapala adalah satu jenayah bukan hal dalaman parti kerana ia melibatkan penipuan dan pemalsuan dokumen.

Salehuddin berkata ada individu di ibu pejabat PKR telah menggunakan nama dan jawatan beliau ketika itu dengan tujuan untuk mencipta surat palsu bahawa Jenapala dipecat.

“Saya tidak ambil peduli sama ada Jenapala layak atau tidak untuk bertanding, tetapi apa yang saya ambil berat apabila nama dan jawatan yang saya pegan telah digunakan untuk memecat seorang ahli.

“Saya tidak tahu-menahu tentang surat itu, apa yang saya tahu bahawa saya tidak pernah menandatangani surat tersebut.

“Saya pun baru mengetahui kewujudan surat pemecatan itu minggu lalu sebelum pendengaran permohonan Jenapala di mahkamah,” katanya.

Jawatan setiausaha agung PKR kini disandang Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ahli Parlimen Machang.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Jenapala berhubung permilihan jawatan timbalan presiden parti itu.

Hakim Datuk Aziah Ali menolak permohonan Jenapala dengan kos sebanyak RM15,000 selepas mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung isu bidang kuasa.

Dalam saman pemula bertarikh 18 November lepas, Jenapala berkata permohonan itu dikemukakan bagi mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

Sehubungan itu, Jenapala memohon pengisytiharan bahawa pelucutan kelayakan beliau sebagai calon bagi jawatan timbalan presiden PKR adalah tidak sah dan bertentangan dengan haknya sebagai seorang anggota parti tersebut.

Dalam afidavitnya, Jenapala berkata keanggotaannya telah dilucutkan tanpa pengetahuan beliau, dan tidak ada sebarang notis diberikan kepadanya.

Jenapala berkata beliau menyertai PKR pada Mei 1998, dan berkhidmat sebagai timbalan setiausaha agung sejak awal 2008 sehingga peletakan jawatannya secara lisan pada bulan Disember tahun yang sama.

Salehuddin turut mendakwa PKR kini semakin jauh tersimpang daripada pejuangan reformasi untuk melakukan perubahan kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata PKR kini hanya mahukan kuasa formal sahaja bukan mahu memperjuangkan reformasi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails