Saturday, December 4, 2010

Saifuddin Nasution.. sila jelaskan!

4 Disember 2010

Belum sempat kering luka-duka pemilihan PKR selepas 6 bulan yang begitu menyakitkan, selepas kami akur menghormati parti dengan memejam mata kepada salahlaku pemilihan PKR, selepas melihat pimpinan mengiktiraf ketidakadilan menyelubungi pemilihan PKR, PKR diserang lagi.

Satu demi satu isu melibatkan parti ditimbulkan. Kali ini bekas Setiausaha Agung, Dato’ Salehuddin Hashim mendakwa Ibu Pejabat parti telah menggunakan nama dan tandatangan beliau untuk mengeluarkan satu surat palsu yang dijadikan bukti untuk menghalang Jenapala dari bertanding jawatan timbalan presiden semasa pemilihan baru-baru ini.

Jika benar dakwaan Dato’ Salehuddin, maka parti akan sekali lagi berdepan dengan permasalahan. Imej parti akan bertambah buruk dan kredibiliti parti akan tercemar lagi.

Menggunakan tandatangan dan nama orang lain adalah salah, pecah amanah dan jenayah. Saya percaya Ibu Pejabat tidak seberani itu untuk memalsukan tandatangan dan nama orang lain, apatah lagi nama seorang Setiausaha Agung secara memandai-mandai.


Tetapi sesudah melihat bagaimana Ibu Pejabat mengendalikan pemilihan PKR, saya mula ragu-ragu kebarangkalian wujudnya kebodohan yang memberanikan Ibu Pejabat Parti untuk bertindak sedemikian.

Minit mesyuarat Biro Politik pada 30 Ogos 2009 menunjukkan kes Jenapala masih lagi dibincangkan. Ini bermakna Jenapala masih lagi anggota parti.

Surat pemecatan Jenapala pula bertarikh 2 Febuari 2009. Pimpinan parti hingga sekarang seolah terkelu lidah dan terus membisu, enggan memberi penjelasan barang secebis pun bagaimana percanggahan tarikh ini boleh timbul.

Secacat-cacat surat pecat yang pernah saya tengok, tiada yang secacat surat yang membuang Jenapala dari jadi ahli. Mesyuarat MPP mana satu yang memutuskan untuk dia dipecat pun tidak dinyatakan dalam surat itu!

Itu sahaja sepatutnya sudah cukup asas untuk mencurigai kesahihan surat itu. Tidakkah surat itu dibelek dan diusulperiksa oleh YB Saifuddin sebelum dia mengetengahkan surat itu kepada pihak mahkamah sebagai sebahagian dari afidavit balas beliau?

Melihat dakwaan dengan fakta yang dikemukakan dan keengganan Parti untuk memberi hujah balas mengenai fakta-fakta tersebut, semuanya mengundang kegelisahan ramai ahli bawahan dan penyokong parti tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Apakah benar Ibu Pejabat menggunakan nama dan tandatangan Dato’ Salehuddin untuk mengeluarkan surat palsu? Jika benar, siapakah yang bertanggungjawab?

Dakwaan dan salahlaku sebegini amat serius dan bukanlah perkara yang boleh diambil enteng. Apatah lagi PKR sebagai sebuah parti reformasi gerakan rakyat yang menjunjung nilai-nilai murni.

Lebih malang lagi perkara-perkara sebegini mengundang pihak polis untuk bertandang di dalam Ibu Pejabat parti dan boleh mengheret parti ke mahkamah. Satu-persatu isu akan timbul dan sudah tentu akan menjejaskan kredibiliti parti serta menghakis keyakinan rakyat dan ahli-ahli.

PerIngatan saya kepada pemimpin parti bahawa di dalam Pakatan Rakyat, PKR adalah yang paling lemah. Lemah dari segenap aspek berbanding PAS dan DAP.

Satu persatu cerita negatif PKR menjadi sensasi politik. Sudah tentu tempiasnya juga memberi kesan kepada PAS dan DAP. Sekiranya cerita buruk PKR timbul berterus-terusan, tentu ini akan mengundang kemarahan PAS dan DAP.

Oleh itu, Setiausaha Agung, Sdr YB Saifuddin Nasution hendaklah menjelaskan kepada semua ahli dan penyokong parti: apakah sebenarnya yang telah berlaku?


Abdul Aziz Anon

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails