Tuesday, December 14, 2010

Ramalan PAS, BN akan rampas kuasa fitnah - Muhyiddin

IPOH, 14 Dis – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan beberapa pemimpin PAS yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan merancang rampasan kuasa jika Pakatan Rakyat (PR) menang pilihan raya umum ke-13 sebagai berniat jahat, fitnah dan pembohongan.

Beliau berkata kenyataan seperti itu berupa satu lagi contoh betapa PAS akan sentiasa mencari peluang untuk menimbulkan fitnah bagi memburukkan kerajaan BN.

“Ini niat jahat, sangka buruk untuk takutkan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Kilang Panel Solar Twin Creeks Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Khantan di sini hari ini.


Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar semalam membayangkan kemungkinan berlakunya rampasan kuasa itu, ekoran amaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat tidak memilih parti selain BN.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata keputusan pilihan raya umum lepas telah membuktikan BN menghormati proses demokrasi dan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Beliau berkata BN kalah di beberapa negeri dan boleh menerimanya sebagai keputusan yang dibuat melalui proses demokrasi dan pilihan rakyat.

“Lihat apa yang berlaku selepas kita kalah (beberapa negeri) ... kita faham keputusan yang telah dibuat. Tidak timbul soal rampasan kuasa,” katanya.

Muhyiddin berkata perbuatan fitnah dan pembohongan dicegah oleh Islam tetapi kenyataan tidak masuk akal berkenaan dibuat oleh pemimpin parti yang memperjuangkan Islam.

Beliau berkata pembangkang akan sentiasa berusaha mencari peluang memburukkan kerajaan dan menunjukkan kerajaan BN sebagai tidak baik tetapi yang penting adalah rakyat memahaminya.

“Rakyat harus tahu bahawa PAS akan sentiasa mencari peluang menimbulkan fitnah memburukkan kerajaan,” tegasnya.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali bahawa PR akan memberi autonomi sepenuhnya kepada Sarawak jika diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum ke-13, Muhyiddin berkata ia hanya satu tipu helah pembangkang.

“Mereka akan membuat pelbagai tawaran ... ini tipu helah mereka. Akan guna apa cara untuk dapat kejayaan,” katanya.

Beliau berkata rakyat Sarawak tahu jasa dan sumbangan BN membangunkan negeri itu dan sejak sekian lama, hak-hak yang dinikmati adalah berdasarkan pada Perlembagaan dan undang-undang negeri dan persekutuan.

Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails