Friday, December 10, 2010

Pulangkan Penang kepada Kedah : Kenapa Sekarang tidak Dulu?



Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) merayu Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menggunakan hak dan kuasa yang ada untuk mengambil balik Pulau Pinang bagi menjamin kesejahteraan kehidupan orang Melayu yang beragama Islam di negeri ini. Mereka berkata langkah segera perlu dilakukan oleh Kerajaan Kedah untuk memastikan nasib orang Melayu yang berada di Pulau Pinang terbela dan tidak terus terpinggir.

Melayu terpinggir?? Pihak manakah yang selalu memainkan isu Melayu Terpinggir selain UMNO? Dan mereka jugalah punca Melayu Pulau Pinang dihimpit oleh arus pembangunan hingga terpinggir dan terkeluar dari Pulau Pinang…


Dan lebih menghairankan lagi kenapa isu Pulau Pinang perlu dipulangkan kepada Kedah ditimbulkan setelah kedua-dua negeri ini dikuasai oleh Pakatan Rakyat bukannya ketika 50 tahun UMNO/BN memerintah dulu?

Apa yang jelas ialah ada pihak cuba mengeruhkan hubungan dua Kerajaan negeri ini yang sebuah negeri diterajui oleh DAP manakala sebuah lagi negeri diterajui oleh PAS..


Pastikan nasib Melayu terbela

GEORGETOWN - Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) merayu Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menggunakan hak dan kuasa yang ada untuk mengambil balik Pulau Pinang bagi menjamin kesejahteraan kehidupan orang Melayu yang beragama Islam di negeri ini.

Pengerusinya, Mohamed Nordin Mohd Nor berkata, tindakan itu adalah langkah terbaik untuk meningkatkan taraf hidup dan kebajikan orang Melayu yang terus tertindas oleh dasar Kerajaan Negeri serta dihimpit arus pembangunan yang begitu pesat kerana kurang persediaan.

Beliau berkata langkah segera perlu dilakukan oleh Kerajaan Kedah untuk memastikan nasib orang Melayu yang berada di Pulau Pinang terbela dan tidak terus terpinggir.

“Inilah pilihan terbaik untuk membantu orang Melayu yang berada di Pulau Pinang. Kerajaan Kedah perlu menuntut semula haknya ke atas Pulau Pinang di samping kajian semula kadar pampasan daripada RM10,000 kepada RM10 juta setahun.

“Kami merayu Sultan dan Kerajaan Kedah mengambil balik haknya dan kami akan menyokong sepenuhnya keputusan itu. Kami bersedia menjadi rakyat Kedah dan bernaung di bawah tuanku dan bukan seperti sesetengah pemimpin di Pulau Pinang yang memandang rendah cadangan ini,” katanya kepada media di sini semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Sinar Harian semalam yang memetik kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kula Kedah, Datuk Latt Shariman Abdullah yang memberi cadangan lebih realistik agar Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan berbanding dipulangkan kepada Kedah.

Jika cadangan itu tidak mendapat perkenan Tuanku, Mohamed Nordin bersetuju agar Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan untuk menjamin pengurusan yang lebih tersusun dan telus berbanding pentadbiran sekarang.

“Jika menjadi Wilayah Persekutuan yang keempat selepas Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, saya yakin Pulau Pinang akan mendapat pelbagai insentif lebih menarik seperti yang dinikmati Labuan sebagai pusat kewangan pesisir pantai,” katanya.

Menurutnya, Gabungan menyokong isu itu bukan berdasarkan perkauman tetapi realiti yang dihadapi orang Melayu masa kini di Pulau Mutiara, yang memerlukan pembelaan dan perhatian segera pelbagai pihak.

“Bantulah orang Melayu di Pulau Pinang dengan segera kerana mereka memang memerlukan pembelaan. Janganlah sampai kami hilang segalanya barulah ada pihak yang tampil membantu. Ketika itu, segala-galanya sudah terlewat.

“Kita boleh melihat semula sejarah yang berlaku di beberapa negara jiran mengenai nasib yang berlaku kepada orang Melayu. Ketika itu, menangis air mata berdarah sekalipun tidak dapat lagi mengubah keadaan yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, sejarah akan berulang lagi dan semua pihak perlu bersedia untuk menghadapinya dengan menjadikan kejadian yang berlaku sebelum ini sebagai iktibar agar selamat kelak.

“Janganlah sampai nanti orang Melayu Pulau Pinang terpaksa melarikan diri ke Kedah untuk meminta perlindungan disebabkan tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi,” katanya.

Mohamed Nordin turut membidas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wee Aik yang seolah-olah memperkecilkan cadangan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah agar Kerajaan Negeri mengambil balik haknya ke atas Pulau Pinang dengan alasan tidak perlu kembali sejarah walaupun isu itu pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Adalah kenyataan yang biadab apabila beliau menyebut tidak mahu menukar kod dalam kad pengenalan daripada 07 (Pulau Pinang) kepada 02 (Kedah).

“Tiada salah pun kalau kita nak tukar kod pada kad pengenalan. Adakah hina menggunakan kod Kedah berbanding Pulau Pinang. Saya ingin tanya adakah Lim Guan Eng menggunakan kod Pulau Pinang sebelum menjadi Ketua Menteri atau terus mengekalkan kod Melaka dalam kad pengenalannya.

“Penduduk di Pulau Pinang yang mengundi dalam pilihan raya bukan semuanya berasal dari negeri ini. Ada yang datang dari tempat lain dan menetap di sini. Jadi jangan perlekehkan orang luar yang turut mengundi dalam pilihan raya sehingga mereka menjadi kerajaan,” katanya.

Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails