Sunday, December 26, 2010

PRK Tenang : Pemimpin PR sudah mengaku KALAH..

Apa punya cerita ni.. belum berjuang sudah mengaku akan kalah.. tidakkah ini sedikit sebanyak akan menjejaskan moral para petugas?

Kalau begitu apa kata kalau Pakatan Rakyat pula yang memberikan kemenangan percuma kepada UMNO/BN, pasal kalau bertanding sekadar untuk kalah buat apa.. buang masa saja

DUN Tenang: Saiz kemenangan penentu nasib Najib, ramal Pakatan
Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Pilihan raya kecil DUN Tenang bulan depan sudah pasti akan menjadi ujian ke atas keyakinan pengundi terhadap Datuk Seri Najib Razak dan sama ada beliau boleh mengemudi negara menerusi Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata pemimpin-pemimpin perikatan saingan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mengakui, secara realistik memang sukar bagi mereka merampas kubu kuat BN itu, tetapi menegaskan, penurunan majoriti akan memberi kesan ke atas populariti Najib sebagai perdana menteri dan pengerusi BN.

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan populariti Najib kekal tinggi iaitu 69 peratus meskipun merosot berbanding 72 peratus Mei lalu.


Kajian itu menunjukkan 74 peratus pengundi Melayu, 54 peratus (Cina) dan 85 peratus kalangan pemilih masyarakat India berpuas hati dengan prestasi Najib, perkembangan yang dilihat akan menjadi antara faktor utama beliau kemungkinan memanggil pilihan raya umum ke-13.

“Bercakap jujur, untuk menang kerusi ini (DUN Tenang) sukar. Bercakap secara realistik, jika kami dapat bergerak sebagai satu perikatan dan mampu untuk menerokai Tenang untuk menafikan kemenangan BN dengan majoriti (besar), katakan 1,000, ia akan menggambarkan kepimpinan Najib,” kata beliau.

“Anda kena ingat, ini kawasan kubu kuat BN. Jika Najib tidak menang besar di sini, beliau berada dalam kedudukan sukar,” kata Tony Pua, setiausaha publisiti DAP kebangsaan.

Sehubungan itu Ahli Parlimen ini berkata, kerusi DUN sangat penting dalam memastikan Pakatan Rakyat membuat kemajuan di Johor yang menjadi kerusi tradisi Umno selama ini.

Pada pilihan raya umum lalu, DAP dan PAS, komponen Pakatan Rakyat, masing-masing memperoleh empat dan dua kerusi DUN di Johor.

Penamaan calon pilihan raya kecil ke-14 ini akan diadakan pada 22 Januari manakala pengundian, jika ada saingan, pada 30 Januari.

Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke berkata, Pakatan Rakyat tidak akan fokus secara keseluruhan bagi mencapai kemenangan di Tenang, sebaliknya “gambar besar” ialah mereka mahu memperkukuhkan kehadiran di kawasan itu dan mendapatkan sokongan jangka panjang.

“Jika kami boleh menang, ya, ia akan menjadi satu kejutan (di pihak BN). Bagaimanapun kami perlu mencapai sasaran untuk mengoyah keyakinan BN, dan juga Najib. Johor tinggal satu-satunya simpanan hayat bagi BN di Semenanjung Malaysia,” kata ketua Pemuda DAP ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad pula berkata, blok pembangkang perlu memfokus undi dari kawasan Felda memandangkan ia akan menjadi faktor penentu kemenangan atau kekalahan Pakatan Rakyat.

“Saya merasakan kami ada cabaran (di sana) tetapi juga ada peluang yang baik untuk menang.

“Cabaran besar kami ialah pengundi Felda, memandangkan kebanyakan mereka belum dimaklumkan tentang rancangan Pakatan Rakyat yang mahu membawa pembaharuan di peringkat persekutuan,” kata beliau.

“Jika kami tidak menang pun, kami mahu mengurangkan majoriti BN di sana, yang memang sesuatu yang sukar memandangkan Johor menjadi negeri tradisi dikuasai Umno,” kata Khalid.

Semalam, Najib berkata Felda membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM100,916,600 ketika tinggal kira-kira sebulan menjelang hari penamaan calon.

Najib berkata, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada suku kedua tahun depan.

BN menjangkakan kewangan Felda akan menjadi isu utama ketika pilihan raya kecil kerusi Tenang.

Ada tiga kawasan penempatan felda iaitu — Felda Cempelak, Felda Cempelak Barat dan Felda Tenang — yang membawa sekitar 3,800 daripada 14,753 pemilih berdaftar.

“Melihat pada populariti Najib, kita juga kena melihat apa yang orang ramai tidak suka pada Najib. Kemudian kita kena fokus pada soal itu dan menggunakan kelemahan-kelemahan Najib sebagai seorang pemimpin, misalnya, soal tidak dapat membuat keputusan,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.


The Malaysian Insider.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails