Friday, December 24, 2010

PRK Tenang : Calon PAS 'anak tempatan, dari golongan profesional'

Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: PAS Johor telah menyerahkan senarai pendek lima calon parti itu, bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, kepada Jawatankuasa Syura PAS Pusat awal minggu ini.

Menurut sumber dari PAS Johor, senarai pendek lima calon terbabit telah diputuskan oleh PAS kawasan Labis dan mereka terdiri daripada anak tempatan dari golongan profesional daripada daerah Segamat dan juga AJK PAS Pusat.

Namun, PAS mengambil tindakan 'tutup mulut' dan enggan mendedahkan nama lima individu itu.


"Nama calon itu kami terpaksa rahsiakan namun apa yang boleh diberitahu adalah, mereka terdiri dari individu berwibawa yang sangat komited dengan parti yang boleh memberi saingan sengit kepada calon Barisan Nasional (BN).

"Jawatankuasa Syura PAS Pusat akan bermesyuarat dan tentukan individu yang paling layak menjadi calon dan selepas itu baru kita boleh dedahkan kepada media," katanya sumber itu.

FMT turut difahamkan bahawa, ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai salah seorang daripada lima calon yang disenarai pendekkan kerana kekuatan latar belakangnya sebagai anak jati dari Kulai, Johor dan juga peranannya sebagai pengerusi biro pembangunan tanah dan wilayah PAS Pusat.

Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Selain Felda, Mazlan pada Ogos lalu turut mendedahkan 22 penyelewengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad yang disifatkan lebih kritikal penyelewengannya berbanding Felda akibat pemimpin BN menyalahguna kuasa menipu dan menindas peserta Felcra dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu.

"Walaupun Felda di Dun Tenang iaitu Chemplak, Chemplak Barat dan Felda Tenang adalah kubu kuat Umno, namun PAS tetap ada keyakinan untuk menembusi kawasan Felda kerana sejak tahun 2008, Pakatan Rakyat sudah mula mendedahkan kepada peneroka mengenai penyelewengan Felda dan juga beberapa kes saman peneroka di mahkamah yang berjaya mendapat pampasan daripada Felda.

"Jadi saya lihat ada perubahan apabila peneroka disitu sudah mula buka mata tentang Felda dan peluang ini akan kita ambil untuk jelaskan kepada peneroka Felda sekaligus berharap dapat tarik lebih ramai pengundi Felda," kata ketua pemuda PAS Johor, Kahirul Faizi Ahmad Kamilketika dihubungi FMT.

Calon lama masih berpeluang?

Selain Mazlan, FMT difahamkan bekas calon PAS DUN Tenang yang bertanding pada pilihan raya umum lalu Mohd Saim Siran turut menjadi pilihan berdasarkan rekodnya berjaya menambahkan bilangan jumlah undi PAS semasa berbanding pilihan raya umum 2004.

Pada pilihan raya umum 2004, Mohd Saim dikalahkan oleh mendiang Sulaiman Taha dari Umno-BN dengan majoriti 5,517 undi, di Dun Tenang, yang mempunyai 14,735 pengundi berdaftar. Tetapi pada pilihan raya umum 2008 Sulaiman hanya mendapat kelebihan undi sebanyak 2,492 undi mengalahkan Mohd Saim.

"Jumlah ini memberi ruang kepada prestasi PAS semasa PRK nanti. Jika PAS dapat kekalkan sokongan pengundi Tenang, calon PAS memerlukan sokongan tambahan 1,250 undi ditambah dengan separuh sokongan pengundi baru, ia sesuatu yang tidak mustahil dicapai," menurut sumber.

FMT juga difahamkan naib presiden PAS, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub bakal dilantik mengetuai jentera PRK DUN Tenang sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Sementara itu, Khairul berkata PAS Johor sudah mula menggerakkan jentera pilihan raya kecil itu dengan membuat soal selidik tentang prestasi dan penerimaan Pakatan Rakyat di kawasan tersebut selain menubuhkan bilik jentera minggu lalu untuk kenal pasti pemilih berdaftar.

Khairul yang turut dilantik sebagai timbalan pengarah jawatankuasa operasi pilihan raya kecil DUN Tenang berkata, Pemuda PAS Johor diberi tanggungjawab memastikan aspek keselamatan dikawal bagi mengelakkan sebarang kekecohan akibat provokasi semasa kempen antara penyokong Pakatan dan BN.

"Pemuda PAS dan pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat akan bekerjasama mengawal keselamatan bagi mengelakkan kekecohan semasa PRK Bagan Pinang di Negeri Sembilan berulang sekaligus memastikan kelancaran perjalanan semasa tempoh berkempen PRK Tenang nanti.

"Menjangkakan PRK ini PAS dan BN bersaing sengit, kami juga telah berjumpa dengan polis negeri dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Segamat memohon kerjasama supaya memastikan suasana perjalanan PRK Tenang nanti dapat dikawal," katanya.

Hampir 50% pengundi Melayu

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya pagi tadi memutuskan PRK DUN Tenang akan diadakan pada 30 Januari, manakala penamaan calon pada 22 Januari tahun depan.

Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sidang media berkata DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Pilihan raya kecil ini adalah yang ke-14 sejak tahun pilihan raya umum Mac 2008, dan pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008.

Ianya diadakan berikutan kematian Sulaiman pada 17 Disember lalu. Beliau meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails