Wednesday, December 15, 2010

Pluralisme : Dr. Yusri! Jangan bawa budaya ala Taliban ke Malaysia..

Pihak-pihak terbabit yang melakukan tuduhan melampau dengan melabel tokoh-tokoh politik tempatan sebagai penganut fahaman pluralisme perlu merujuk kepada al-Quran dan al-Sunah dalam mengeluarkan pandangan Islam, bukannya dengan emosi dan kecenderungan berpolitik bagi menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam dan permusuhan di antara umat Islam dengan bukan Islam. ‘Islam tidak memerlukan mereka yang berpemikiran pelampau, kolot dan amat konservatif bagi membela agama suci ini,” kata Dr. Juanda..


Pluralisme: Jangan bawa budaya ala-Taliban ke Malaysia, kata Mufti Perlis

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyifatkan tuduhan melampau melabel tokoh-tokoh politik tempatan sebagai penganut fahaman pluralisme sebagai tindakan “budaya ala-Taliban” yang amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia.

“Saya amat kecewa dengan laporan media online yang memetik kenyataan beberapa individu yang membentangkan kertas kerja dalam satu seminar baru-baru ini berkaitan isu pluralisme.

“Ya, pluralisme adalah suatu ancaman kepada Islam, tetapi tuduhan melampau dan tergesa-gesa mengecap beberapa orang tokoh politik sebagai penganut fahaman pluralisme ini amat berbahaya kepada keharmonian hidup antara umat beragama di Malaysia.


“Budaya ala-Taliban ini amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad semalam menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah seorang ahli politik beragama Islam di negara ini yang didapati sering membawa mesej fahaman pluralisme agama sama ada dalam bentuk tindakan mahu pun dalam bentuk ucapan.

Yusri berkata, ia berdasarkan kepada satu siri ucapannya di London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk Religion and Pluralisme in a Divided World apabila Anwar dengan jelas menyokong fahaman tersebut.

Beliau berkata, seperkara lagi ialah kecenderungan Institut Kajian Dasar (IKD) terhadap perjuangan Jaringan Islam Liberal yang diterajui oleh Ulil Absar Abdullah iaitu seorang pejuang fahaman pluralisme di Indonesia.

“IKD amat sinonim dengan Anwar dan institut ini amat rapat dengan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Hasil hubungan mereka juga tertubuhnya Pusat Graduan Timur di bawah IKD.

“Pusat ini diterajui oleh seorang graduan lulusan Timur Tengah dan untuk pengetahuan semua melalui pusat tersebut telah diterbitkan beberapa buku yang didapati menyokong fahaman pluralisme,” kata beliau dalam kerja bertajuk Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal sempena wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Permurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yusri yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata antara judul buku yang dikaitkan dengan fahaman itu dan dihasilkan oleh pusat berkenaan ialah Islam dan Pluralisme, Agama dan Kebebasan Berfikir, Hukum Barat Pun Islam dan Kahwin Campur Antara Islam dan Bukan Islam.

Dalam isu yang sama beliau turut meminta barisan kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri supaya mengelakkan diri daripada meraikan perayaan agama lain seperti Thaipusam.

“Dalam perkara ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tidak terkecuali menerima kritikan apabila menyertai satu majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengharamkan fahaman pluralisme agama serta amalan yang berkaitan dengannya.

“‘Saya juga ingin mengesyorkan individu dan kumpulan yang menyebarkan fahaman ini diberi nasihat serta teguran dan jika mereka ingkar tindakan undang-undang perlu dikenakan,” tambahnya.

Sambil menegaskan beliau bukan ahli PAS atau mana-mana parti politik, Mufti Perlis menmbah, beliau amat kecewa apabila tokoh agama yang diakui ramai - Nik Aziz cuba dikaitkan dengan fahaman pluralisme semata-mata kerana menghadiri majlis penganut agama Buddha.

“Ini suatu tuduhan yang amat jahat. Rekod Tuan Guru membuktikan beliau amat konsisten dalam isu Islam,” katanya.

Kata Juanda, rakyat perlu membezakan antara sikap menghormati kebebasan pegangan agama orang lain yang diakui oleh Islam dengan hakikat maksud pluralisme.

“Tidak sepatutnya mereka yang bergelar sarjana tidak memahami metodologi ilmu dalam menilai perbezaan di antara dua perkara ini,” katanya.

Malah menurut beliau, dalam al-Quran, Surah al-Kafirun memberikan ruang memperakui hak penganut agama lain dalam mengamalkan kepercayaan mereka manakala Surah al-Mumtahanah menyuruh orang Islam berbuat baik dengan penganut bukan Islam.

“Erti ruang toleransi dan saling menghormati hak sesama manusia untuk hidup secara harmoni itu diakui oleh Islam dan bukannya satu ciri penganut pluralisme.

“Bukankah Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah menerima rombongan penganut Kristian Najran di dalam masjid Nabawi? “Bahkan baginda membenarkan mereka melakukan ibadat agama mereka di dalam masjid kedua paling suci itu,” katanya.

Selain itu tegas beliau, “bukankah Nabi Muhammad s.a.w. pernah bangun bagi menghormati jenazah seorang penganut Yahudi yang lalu di hadapannya?”

“Bukankah Omar bin al-Khattab RA sewaktu membuka Palestin memberikan kebebasan dan penghormatan yang amat luar biasa kepada Patriach Kristian di sana dan mengunjungi Gereja Nativity?

“Apakah Nabi s.a.w dan Omar RA ini juga penganut pluralisme?” soal tokoh agama muda ini.

“Sudah tentu tidak!” katanya.

Oleh itu kata beliau, formula dan kaedah pihak yang gelojoh ini juga salah dan amat berniat jahat.

Malah menurut Juanda, beliau bimbang wujud kecenderungan beberapa pihak di kalangan ahli akademik dan agamawan menggunakan isu akidah untuk tujuan mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik.

“Juga menggunakan isu akidah untuk menyesatkan dan memurtadkan orang politik yang tidak sebulu dengan mereka.

“Hal ini akan menjurus kepada pegangan yang amat melampau dan boleh mencetuskan kekecohan antara agama di Malaysia.

“Akibat sikap seperti ini, banyak pihak akan disesatkan dan dipertikaikan akidah mereka.

“Juga formula mereka yang melampau ini akan menimbulkan salah tafsiran terhadap sikap harmoni kerajaan persekutuan kepada penganut berbilang agama di Malaysia,” kata beliau.

Malah beliau juga bertanya apakah polisi kerajaan ini juga akan mereka sesatkan, termasuk para pemimpin yang terbabit?

“Saya menyeru umat Islam terutama ahli akademik agar bersikap jujur dan adil dalam memperkatakan soal Islam dan terutamanya dalam soal hubungan dengan agama lain.

“Semua pihak perlu berhati-hati terutama dalam menyatakan pandangan yang boleh membawa kepada permusuhan beragama dan berpolitik,” katanya.

Sehubungan itu Juanda meminta pihak-pihak terbabit agar merujuk kepada al-Quran dan al-Sunah dalam mengeluarkan pandangan Islam, bukannya dengan emosi dan kecenderungan berpolitik bagi menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam dan permusuhan di antara umat Islam dengan bukan Islam. ‘Islam tidak memerlukan mereka yang berpemikiran pelampau, kolot dan amat konservatif bagi membela agama suci ini,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails