Saturday, December 11, 2010

PERKASA Jealous Namewee diberi layanan ‘VIP’ di Parlimen

KUALA LUMPUR, 11 Dis — Perkasa mendakwa kerajaan mengecewakan rakyat khususnya orang Melayu dengan cara pihak berkuasa mengendalikan kes penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee, malah memberikannya “layanan VIP” di bangunan Parlimen.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Perkasa Perak Ahmad Zaini Ismail turut mempersoalkan status kes penyanyi itu, yang turut dikenali sebagai Namewee, sedangkan pengetua-pengetua didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajar-pelajarnya sudah dikenakan hukuman.

“Kementerian Dalam Negeri dalam kes Namewee sebenarnya mengecewakan rakyat khususnya umat Melayu.

“Apakah status laporan polis masyarakat terhadap kebiadapan Namewee sedangkan guru yang dihinanya telah dihukum tanpa pembelaan begitu juga dengan pegawai-pegawai kerajaan yang teraniaya, lantaran kes yang hampir sama,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.


Zaini yang juga ahli jawatankuasa pusat Perkasa berkata, “tiba-tiba” Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pula membela dengan memberikannya layanan “VIP”, malah mengumumkan Namewee tidak bersalah.

Kelmarin, Namewee (gambar) mengadakan pertemuan dengan Nazri di Parlimen dan memohon bantuan kerajaan untuk membiayai pembikinan video 1Malaysianya bertajuk Nasi Lemak 2.0.

Permohonan itu disampaikannya ketika bertemu Nazri bagi menyatakan hasratnya untuk berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyatakan niatnya mempromosikan 1Malaysia.

Nazri dipetik berkata, perkara itu akan dibawa ke pengetahuan Najib semasa mesyuarat Kabinet. Kabinet mengadakan mesyuarat mingguannya semalam.

“Dia (Namawee) hadir berjumpa saya hari ini bagi meminta bantuan kerajaan untuk membiayai pembikinan video 1Malaysianya bertajuk Nasi Lemak 2.0. serta hasratnya untuk berjumpa Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, hasrat dan cara bagaimana kerajaan boleh membantu dalam usaha remaja tersebut mempromosi 1Malaysia menerusi muzik itu akan hanya diputuskan selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri.

Mengenai sentimen perkauman dan gesaan supaya Namewee dikenakan tindakan, Nazri berkata, rakyat perlu memahami undang-undang dan tidak dipengaruhi emosi sehingga meminta kerajaan mengambil tindakan terhadapnya hanya kerana video klip yang dihasilkannya yang didakwa mempunyai unsur hasutan.

“Dalam perkara sebegini, kita tidak boleh beremosi dan perlu melihat setiap kesalahan itu secara spesifik tanpa mengaitkannya dengan kesalahan yang lain,” katanya.

Namewee mencetuskan kemarahan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan berikutan pengeluaran beberapa video kontroversi yang menyentuh isu perkauman.

Namewee pula berkata, beliau tidak berniat menyakiti hati sesiapa melalui klip video tersebut malahan mendakwa beliau adalah rakyat Malaysia yang patriotik dan sayangkan negara.

Beliau berkata, antara video yang dihasilkannya ialah berkaitan Malaysia sebagai negara terbaik di dunia sebaliknya media hanya menyiarkan kesalahan yang dilakukan.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails