Tuesday, December 7, 2010

PERCAYAKAH ANDA? Harga Gandum, Beras dan Minyak Masak tidak akan naik?

Pada 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak.

Kerajaan tidak betanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka. Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat.

"Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," katanya.

Kenyataan itu boleh dibaca sepenuhnya di SINI

Malangnya pada 3 December 2010 berkuatkuasa pada jam 12.01 minit pagi harga petrol RON95 telah dinaikkan 5 sen menjadikannya berharga RM1.90 seliter.


Dua hari setelah, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Harga diesel pula dinaikkan 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula dinaikkan 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Dan hari ini pula Bernama melaporkan Menteri yang sama juga telah berkata sekali lagi bahawa Harga barang seperti gandum, beras dan minyak masak dijangka tidak akan dinaikkan buat masa ini pula.

Kononnya kerajaan juga masih mengekalkan subsidi ke atas barangan berkenaan memandangkan ia adalah barangan keperluan semua rakyat di negara ini.
Percayakah anda akan kata-kata beliau itu?

Hanya orang yang bodoh akan dipatuk oleh ular yang sama dari lubang yang sama sebanyak dua kali…


Tiada Kenaikan Harga Gandum, Beras Dan Minyak Masak Sekarang..

KUALA LUMPUR: Harga barang seperti gandum, beras dan minyak masak dijangka tidak akan dinaikkan buat masa ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail SabriYaakob.

Beliau berkata kerajaan juga masih mengekalkan subsidi ke atas barangan berkenaan memandangkan ia adalah barangan keperluan semua rakyat di negara ini.

"Setakat ini, tidak ada perbincangan untuk menaikkan harga gandum, beras dan minyak masak. Tapi kita tidak boleh kata, tidak akan ada kenaikan, bukan jaminan.

"Tapi perkara ini juga akan mengikut keadaan kerana setakat ini, kerajaan menanggung kos yang agak tinggi memandangkan gandum terpaksa diimport," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah kedai harga patut 2010 di sini, Isnin.

Mengenai penyelarasan harga gula, petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) baru-baru ini, Ismail Sabri berkata siri perbincangan akan dijalankan dengan beberapa pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan tertentu bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak berpatutan.

"Kita akan terus berbincang dan akan dijalankan dengan secepat mungkin bagimenangani kenaikan harga barang yang melampau yang boleh membebankan pengguna,"katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, sebanyak 441 premis daripada 20 kategori telah dipilih untuk diiktiraf sebagai Kedai Harga Patut merangkumi kategori antaranya barang kulit/kasut/beg, barangan elektrik dan elektronik, barang kraftangan dan antik, batik/songket, kamera dan jam tangan.

Restoran Ukhuwah Rakyat 1Malaysia dipilih sebagai penerima anugerah khas Kedai Harga Patut yang menyediakan hidangan makanan pada harga RM1.

Ismail Sabri berkata anugerah dan pengiktirafan yang diberi itu boleh ditarik balik sekiranya didapati premis-premis berkenaan gagal mengekalkan prestasi mereka sebagai Kedai Harga Patut.

"Kita akan sentiasa memantau dan sekiranya didapati kedai-kedai itu tidak lagi patuh kriteria yang ditetapkan, kementerian boleh tarik balik dan batalkan sijil itu bila-bila masa.

"Sebab itu, kita menggalakkan peniaga terus kekal dan patuhi kriteria yang dimenangi. Selagi ikut kriteria, plak dan sijil akan kekal di premis mereka," katanya kepada Bernama.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails