Friday, December 3, 2010

Nafi Ketuanan Melayu perbuatan jenayah?

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Datuk Ibrahim Ali mendakwa konsep “Ketuanan Melayu” dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bagi orang Melayu sambil memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk mengetepikan konsep itu adalah satu “jenayah” kepada orang Melayu.

Presiden Perkasa ini (gambar) juga menegaskan “Ketuanan Melayu” konsep yang lahir daripada evolusi sejarah Malaysia berasal daripada empayar Kesultanan Melayu, meskipun istilah “Ketuanan Melayu” hanya dicipta ketika 1980-an.

“Ketuanan Melayu tidak gugur daripada langit... ia adalah hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan kita. Ketika Kesultanan Melayu, undang-undang (ketika itu) memperkukuhkan hak bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah ‘Tuan’ Tanah Melayu.

“Malangnya, slogan itu kini disalah faham oleh sesetengah pihak sebagai hubungan ‘Tuan dan hamba’,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.


Dalam kenyataan yang dilihat merujuk kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pemimpin-pemimpin PKR yang lain, Ibrahim berkata, orang Melayu tidak harus apologetik jika menekankan keperluan ataupun menggalakkan penggunaan ungkapan “Ketuanan Melayu”.

“Kita tidak harus apologetik dengan usaha menyebarkan slogan Ketuanan Melayu ataupun dianggap sebagai tanda kelemahan orang Melayu. Kita harus menerima kefahaman dan semangat (konsep) Ketuanan Melayu untuk bergerak ke depan demi perubahan dan mencapai kemajuan dengan penuh maruah dalam semua arena.

“Kita ada satu matlamat dan matlamat kita dijustifikasikan kerana ini adalah Tanah Melayu kita.

“(Tindakan) mengetepikan Ketuanan Melayu adalah satu jenayah dan mempolitikkan (ungkapan itu) adalah satu jenayah kepada bangsa Melayu dan kewujudannya dalam evolusi sejarah orang Melayu kita dan nilai-nilai baik Islam,” katanya.

Ini bukan kali pertama pemimpin Perkasa mengecam pemimpin-pemimpin PKR termasuk Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ekoran kenyataan beliau mengenai ungkapan Ketuanan Melayu dalam ucapan dasar Kongres Nasional PKR minggu lalu.

Semalam, Anwar mempertahankan pendiriannya menolak konsep “Ketuanan Melayu” sambil menjelaskan, ungkapan yang menjadi polemik itu merujuk kepada amalan “tuan dan hamba” dalam masyarakat.

Anwar turut membidas kritikan sesetengah pihak terhadap pendirian partinya - PKR menolak konsep tersebut dengan mendakwa ia telah diputarbelitkan seolah-olah mereka tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Justeru Penasihat PKR ini mencela pemimpin-pemimpin terbabit terlalu tergopoh-gopoh dan tidak tepat dalam kenyataan dibuat mereka terhadap komponen PR itu.

Dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Dr Wan Azizah berkata, konsep Ketuanan Melayu harus “ditinggalkan” kerana ia hanya memperdayakan bangsa Melayu sendiri.

Beliau berkata, konsep tersebut hanya digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu.

“Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai demi kepentingan diri sendiri.

“Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan Bumiputera, masih tetap terabai,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan.

Bagaimanapun seruan itu didakwa Umno sebagai usaha untuk meraih sokongan bukan Melayu selain cuba mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman parti itu.

Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanifah turut menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” apabila sanggup menolak konsep tersebut semata-mata mahu meraih simpati dan sokongan daripada orang bukan Melayu.

Dalam ulasan kepada The Malaysian Insider, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz melahirkan pendirian lantangnya dengan menegaskan konsep “Ketuanan Melayu” telah disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails