Monday, December 13, 2010

Liwat 2 tu bukan perangkap kata Mahathir (Video Inside)

Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tidak percaya tuduhan bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sasaran perangkap seks.

"Tidak, saya tak fikir ada sebarang perangkap," kata Dr Mahathir selepas merasmikan cawangan kedai roti The Loaf di Bangsar Baru hari ini.

Beliau menjawab soalan wartawan ketika ditanya mengenai kabel diplomatik yang didedahkan oleh lamanweb Wikileaks, yang mendakwa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengatakan bahawa Anwar masuk 'perangkap seks'.

Dr Mahathir menyuarakan keraguan masakan ramai orang - dari hakim, saksi, polis, kakitangan makmal dan lain-lain - boleh berbohong atau memalsukan kes terhadap bekas timbalannya itu.

Ditanyai mengenai kabel diplomatik lain yang dibocorkan oleh Wikileaks, yang menunjukkan pegawai Singapura yang memandang rendah terhadap Malaysia, Mahathir menjawab:

"Itu pandangan mereka Tapi mereka begitu kaku sehingga mereka tidak boleh berfikir di luar apa yang Lee Kuan Yew kata..."

"Anda boleh petik saya berkata demikian," kata Dr Mahathir.

'Lee tahu tentang Anwar'

Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir yakin Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew turut tahu tentang kegiatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar bahawa agensi perisikan Singapura mengesahkan kegiatan ketua pembangkang itu berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu, lapor Bernama.

"Ya memang...saya pun fikir dia (Lee) tahu tapi parti politik saja buat tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Globalizing Malaysians in 2020" di Universiti Tenaga Nasional hari ini.

Menurut laporan akhbar, pendedahan itu dibuat oleh sebuah lamanweb antarabangsa, WikiLeaks, berdasarkan maklumat yang diperoleh dari kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008.

Sementara itu, dalam syarahannya, Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia terutamanya golongan muda harus menanam nilai-nilai jati diri yang kuat dalam menghadapi perkara yang kurang baik kesan dari ledakan globalisasi.

Katanya keterbukaan bukan bermakna sikap seseorang individu juga harus terbuka termasuk menghalalkan perkara yang songsang.

"Jika anda seorang Muslim, anda harus kekal dengan amalan-amalan dan tanggungjawab anda sebagai seorang Muslim," katanya.

"Persiapkan diri dan anak-anak anda dengan nilai-nilai yang baik mulai sekarang. Anda harus mempunyai interpretasi sendiri terhadap makna globalisasi agar kesan baiknya turut memihak kepada anda," katanya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails