Monday, December 27, 2010

Lebih 1.5Juta PATI sudah mendapat Kad Pengenalan di Sabah?

Saudara Pengarang,

WALAUPUN Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) mengemukakan alasan kukuh (melalui apa yang saya baca dalam Sabahkini.net) namun adalah mustahil bagi Kerajaan Malaysia mengulangi tindakan drastik yang dibuat Jabatan Pendaftaran Negara apabila menarik balik semua kad pengenalan yang dikeluarkan kepada 16,693 orang pada 1996, namun jumlah PATI yang mendapat kad pengenalan Malaysia melalui JPN Sabah kini sudah mencecah lebih 1.5 juta orang?

Bukankah nanti akan mencetuskan huru-hara kerana majoriti mereka menjadi ‘Fixed Deposit’ dalam UMNO dan BN dan ketika itu di manakah kedudukan kita sebagai ‘Anak Jati Sabah’ kerana jumlah kita tidak sampai 800,000 orang daripada 3.4 juta penduduk Sabah?


Mengharapkan Polis dan Pasukan Keselamatan? Ramai anak PATI yang mendapat kad pengenalan ini sudah menjawat jawatan tinggi dalam Polis, Tentera, Rela, APMM dan sebagainya; apatah lagi polis Sabah tidak sampai 20,000 orang.

Saya bimbang, mungkin kita terpaksa ‘HALALKAN’ sahaja PATI ini kerana kita tidak ada cara untuk membasmi mereka sehingga ke akar umbi disebabkan Kerajaan BN tidak mempunyai ‘Political Will’ untuk membasmi mereka, sebaliknya semakin menyuburkan mereka sehingga ada yang sudah menjadi Adun.

Cukup hebat rakyat Sabah berjuang selama ini untuk mengatasi masalah yang sudah berlarutan selama tiga dekad, namun tidak menampakkan sebarang hasil kerana seolah-olah pihak berkuasa buta sekalipun Mutalib M.D telah menghasilkan begitu banyak buku yang membongkar isu PATI, namun mereka terus diberi suaka politik.

Untuk membatalkan semua kad pengenalan yang dikeluarkan adalah mimpi dalam mimpi kerana tidak mungkin kerajaan BN menggigit jari mereka yang memangkah BN dalam setiap pilihanraya sehingga BN semakin kukuh di Sabah.

Sedangkan desakan untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja pun dipandang sepi oleh Kerajaan BN dan Kabinet Negeri Sabah dan tidak ada Ahli Parlimen BN yang berani membawa isu penubuhan dan menjayakan usul Penubuhan Suruhanjaya Di Raja. Hanya salakan kosong daripada pembangkang yang hanya sekali sekala disiarkan akhbar, secara ala kadar.

Jadi saya melihat perjuangan Bumburing adalah perjuangan sia-sia kerana beliau ibarat membakar jambatan sedangkan beliau juga memerlukan undi PATI untuk memenangi Parlimen Tuaran pada pilihanraya umum akan datang.

Sebagai anak jati Sabah, saya juga malu kerana terpaksa membiarkan PATI menjadi rakyat Malaysia dengan menggunakan JPN Sabah, namun apa daya saya kerana saya hanya ada satu undi!

Dalam keadaan terpaksa saya tidak mempunyai pilihan selain akur kepada senario politik masa kini dan terus kekal di dalam UMNO kerana pembangkang tidak mungkin berjaya menumbangkan BN selagi isu PATI yang mendapat kad pengenalan melalui pintu belakang ini dilindungi pihak berkuasa.

Salam Hormat,

AZIZUL SANARUL @ AJIJUL

(NOTA: Azizul ialah Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat Semporna yang selama ini menentang dasar BN yang mengutamakan PATI namun terpaksa kekal di dalam UMNO untuk memeranginya daripada dalam)

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails