Monday, December 27, 2010

Lantikan SUK S'gor: ADUN harap tiada sabotaj.

Pelantikan 'kontroversi' setiausaha kerajaan negeri yang baru diharapkan dapat dibuat dengan telus, beramanah dan bebas daripada sebarang bentuk unsur sabotaj, kata ADUN Kampung Tunku Lau Weng San.

Wakil rakyat DAP itu berkata, kerusi itu harus diisi oleh calon yang betul-betul komited, berupaya dan bebas sahaja.

“Memandangkan setiausaha kerajaan negeri merupakan pegawai utama yang akan bekerja bersama-sama dengan kerajaan negeri Selangor, maka perlantikan ini harus mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor,” kata Lau (kiri).

Dalam satu kenyataan hari hari ini, Lau juga berkata, pelantikan mengejut dan mengemparkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi itu tidak sepatutnya diumum sebelum mendapat persetujuan kerajaan negeri.


Beliau berhujah, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52 (1), jawatan perlantikan ke jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

“Oleh itu adalah jelas bahawa perlantikan jawatan setiausaha kerajaan negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, malahan ia boleh dilantik daripada 'Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan' termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor,” katanya.

Anwar: Pertahan profesionalisme

Lau juga berpendapat, kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa pelantikan Khusrin mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Selangor “mengelirukan”.

Ini kerana, tambahnya, tidak disebut dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bahawa perlantikan jawatan itu perlu mendapat perkenan baginda.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pula menegaskan, Mohd Sidek harus tahu bahawa perlantikan setiausaha kerajaan di setiap negeri perlu dirujuk kepada menteri besar dan ketua menteri terlebih dahulu.

"Pertahan profesionalisme," kata ketua umum PKR itu menerusi laman Twitter.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PKR Selangor (AMK) menolak sepenuhnya cadangan melantik Khusrin itu.

Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata kerajaan pusat sewajarnya hormat kepada kerajaan negeri dalam pelantikan jawatan kanan dan tidak mencampurkannya dengan agenda politik.

"Kita juga menggesa kerajaan pusat memahami dan hormat semangat federalisme yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails