Wednesday, December 15, 2010

Konvensyen Pakatan petunjuk penting

Semenjak Pakatan Rakyat menjadi peneraju kepada beberapa buah negeri selepas PRU ke 12, serangan Barisan Nasional (BN) yang masih menguasai kerajaan di peringkat Federal berterusan tanpa sebarang belas kasihan.

Sepanjang tahun 2008, 2009 dan kini 2010 tiada tanda-tanda reda serangan yang dilancarkan. Melihat kepada kuasa media perdana yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan Federal sememangnya “permainan” ini adalah berat sebelah dan tidak berada pada medan yang rata dan seimbang.

Sekonyong-konyongnya Pakatan diasak setiap saat walaupun Pakatan dengan keupayaan media yang terhad cuba untuk menangkis dan mempertahankan asakan ini, usaha Pakatan berbanding dengan kapasiti yang dimiliki tidak setanding dengan jentera berat media perdana yang tertumpu segala kekuatan terhadap Pakatan Rakyat.


Anehnya dalam episod asakan sejak 2008 hingga kini, negeri Pakatan Rakyat tetap teguh dan tidak tergugat. Kecuali Perak, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan terus dipimpin oleh Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri di empat negeri ini terus komited kepada janji yang ditawarkannya kepada rakyat dalam PRU ke 12 yang lalu.

Sejarah hitam Perak

Persaingan dalam dunia politik bukanlah sesuatu yang pelik dimana setiap parti akan bersaing untuk mendapat kuasa melalui penglibatan secara berpilihanraya yang asasnya ialah mengupayakan kuasa rakyat bagi menentukan parti mana yang akan menjadi pemerintah dan pembangkang.

Asas persaingan ini terbentuk melalui kematangan demokrasi yang cirinya ialah telus, prinsip undang-undang dan prinsip kebebasan. Hanya dengan ciri-ciri ini persaingan menjadi sehat dan keputusan yang dibuat akan dihormati dan dipertahankan bersama.

Namun episod hitam Perak pada awal tahun 2009 telah menafikan semua asas-asas tersebut sheingga peristiwa “rampasan kuasa” BN terus menjadi satu kes ikatan awalan yang buruk dan mencemarkan nama baik demokrasi berpilihanraya dari segala sudut piawaiannya.

Kemelut penyelesaian pula telah mempertunggangkan peruntukan undang-undang yang ada secara berat sebelah dan jelas unsur campurtangan politik. Lebih buruk daripada itu, bagaimana suara rakyat telah dipekakkan apabila seruan untuk referendum rakyat melalui pembubaran DUN dan pilihanraya semula dinafikan bulat-bulat.

Akibatnya Perak hidup dalam keadaan ketegangan politik dan keruncingan pihak yang merasakan haknya dirampas. Terpahatlah sejarah hitam yang lukanya terlalu dalam untuk sembuh dalam masa yang terdekat.

Politik sempit

Kejayaan Pakatan Rakyat di sebalik terpaksa menyonsang arus dengan sistem yang diasaskan oleh BN selama 50 tahun lebih bukanlah sekadar satu kemenangan politik tetapi lebih penting daripada itu ialah peluang untuk mencipta arus perubahan yang menjanjikan suasana dan keadaan yang lebih baik untuk negara.

Keperluan untuk perubahan yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat semakin mendesak apabila kejutan tsunami kecil 2008 telah menjadikan regim BN semakin rasis tabiatnya dan Umno telah memilih jalur ekstrim dalam tindakbalasnya kepada kejutan ini.

Umno dan BN telah mengeksploitasikan kerapuhan hubungan antara kaum di negara ini dengan menyemarakkan sentimen bangsa dan agama sehingga ia hilang maruah menabur fitnah api kebencian agama dan kaum.

Fitnah “Cina (DAP) anti Melayu dan Islam”, “DAP akan hapuskan kuota Bumiputera”, “PKR dan PAS gadai agama dan bangsa” ditiup dengan penuh niat jahat supaya kemarahan ini akan mengembalikan sokongan orang Melayu kepada Umno dan BN.

Tindakan mengheret kepala lembu, membakar gereja dan mengeluarkan kenyataan rasis dari pemimpin Umno dan orang kanan Perdana Menteri sendiri membentuk kumpulan awan hitam menyelubungi politik tanahair.

Setelah 50 tahun merdeka, BN dengan Umno sebagai tonggaknya telah memutar jam balik ke belakang dengan bersikap rasis, melampau dan perkauman yang sempit. Malangnya media perdana menjadi perkakas untuk memenuhi kehendak sempit BN/Umno melalui pemberitaan terancang yang penuh dengan matlamat kotor mencemarkan imej Pakatan.

Isu Melayu

Sepanjang pasca PRU12, isu yang paling panas dilontarkan ialah isu Melayu dan Perpaduan Melayu, tujuannya ialah menimbulkan sentimen perkauman dan dilambung isu itu oleh para rasis dari parti perkauman sempit.

Sukar untuk kita memahami apa isu sebenarnya disebalik masalah Melayu yang dimainkan kerana Pakatan menganggap isu Melayu dalah non-isu! Isu Melayu dan Perpecahan Melayu adalah ciptaan Umno supaya segala ketempangan BN/Umno dikambus dengan menarik perhatian rakyat kepada isu yang penuh dengan sensitiviti!

Media dengan pengarahan parti perkauman sempit “membelasah” kenyataan-kenyataan pemimpin Pakatan tanpa memberi keadilan kepada apa yang dimaksudkan atau hanya mengambil sebahagaian daripada apa yang dikatakan.

Pemimpin Pakatan juga tidak diberi peluang untuk menjelaskan apa juga salah faham daripada kenyataan yang dieksploitasikan. Akhirnya matlamat sempit mereka tercapai untuk menimbulkan keresahan dan kebimbangan tentang longgarnya komitmen Pakatan terhadap isu Melayu.

Pakatan menganggap isu Melayu sebagai non isu kerana Dokumen Rakyat Pakatan yang ditawarkan pada 19 Disember 2009 menegaskan komitmen kepada tonggak Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, Kedudukan Istimewa Melayu, Raja Melayu dan Bahasa Melayu.

Kesemua itu ditawarkan dalam Dokumen Rasmi Pakatan dan ketiga-tiga parti berjanji untuk mempertahankan dan mendaulatkannya sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Persekutuan. Pakatan menganggap isu Ketuanan Melayu hanyalah rekaan Umno untuk meneruskan matlamat mereka menimbulkan keresahan di kalangan rakyat tentang isu Melayu dan Islam.

Dasar kebajikan Pakatan Rakyat

Konvensyen Pakatan Rakyat kali ini lebih serius menawarkan pakej pemulihan ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh negara ini. Tidak dapat dinafikan prestasi buruk BN dalam PRU12 disebabkan antaranya kegagalan BN menangani pengurusan negara.

Antara yang menjadi kudis kepada BN ialah virus rasuah dan ketelusan yang diragui. Mahkamah terus diragui kerana tanggapan tidak bebas dan boleh dipengaruhi eksekutif.

Pakatan terus komited untuk memastikan pengurusan negara dibersihkan daripada rasuah melalui sistem tender terbuka dan mengikut merit, manakala kehakiman perlu kembali kepada “doctrine of separation” selain itu dasar berjimat cermat dalam perbelanjaan negara menjadi teras supaya habuannya akan dikembalikan kepada rakyat untuk kebajikan mereka.

Pakej ini bukan retorik tetapi telah dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Pulau Pinang dan Selangor memperkenalkan CAT dan Selcat manakala Kedah dan Kelantan memperkenalkan dasar Kesederhanaan.

Sebab itu Pulau Pinang berjaya meluaskan kebajikannya untuk rakyat. Selangor berjaya mengangkat Agenda Ekonomi Rakyat manakala Kedah berjaya menarik pelaburan kerana ketelusan pentadbirannya.

Kelantan pula mengekalkan kepimpinan yang sederhana sehingga disayangi rakyat dan berjaya menyelesaikan hutang yang tertunggak oleh kepimpinan BN sebelumnya. Dasar Kebajikan Kelantan melalui Kifalah, Ladang Rakyat dan kejayaan Kota Baru menjadi Bandaraya Islam pertama menjadi sebutan rakyat.

Pulau Pinang berjaya menjimatkan RM77 juta dan dengannya mampu membuat kebajikan kepada rakyat. Malangnya semua dasar kebajikan ini dipekakkan oleh media perdana. Konvensyen kali ini akan mempamerkan semua kejayaan ini untuk rakyat Malaysia.

Konvensyen untuk rakyat

Pakatan Rakyat selalu mengulangi komitmennya kepada rakyat walaupun seringkali diperkecilkan oleh musuh politiknya. Walaupun Pakatan berhadapan dengan berbagai halangan manipulasi dan fitnah usaha untuk melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat diteruskan dengan cemerlang.

Konvensyen kali ini penting untuk meyakinkan rakyat komitmen Pakatan. Ia penting juga untuk aktivis Pakatan dari ketiga parti untuk memahami dasar-dasar yang diperjuangkan dan meneruskan kesatuan mereka demi memperjuangkan kehendak rakyat.

Konvensyen kali ini mengajak rakyat untuk menyertai gerakan besar-besaran membuat perubahan melalui Pakatan. Konvensyen ini bukan soal DAP, PAS atau PKR tetapi ia persoalan rakyat yang perlu diyakini untuk meneruskan cita-cita perubahan.

Perubahan besar ke arah memperkasakan agenda rakyat dan meneruskan komitmen rakyat adalah mesej penting konvensyen kali ini. Konvensyen kali ini adalah suara rakyat, Pakatan hanyalah mengusahakan apa yang dikehendaki oleh rakyat.

Konvensyen ini berjiwa rakyat, membela rakyat dan menjemput rakyat bersama dalam usaha perubahan yang telah dimulakan oleh rakyat juga. Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember ini di Kepala Batas Pulau Pinang secara ringkasnya adalah untuk rakyat daripada rakyat. Bagi saya ia satu petunjuk penting.

Selamat Berkonvensyen!

Mujahid Yusoff Rawa

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails