Wednesday, December 8, 2010

Khir Toyo serah surat hari ini

SHAH ALAM: Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (gambar) dijangka akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor kepada Badan Perhubungan Umno negeri hari ini.

Bekas Menteri Besar itu, berkata surat berkenaan disiapkan kelmarin dan akan diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno Selangor untuk memutuskannya.

“Saya akan serahkan surat peletakan jawatan ini (kepada Badan Perhubungan Umno Selangor) hari ini,” katanya di sini, semalam.

Pada masa sama beliau menyerahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri bagi menentukan individu dalam parti yang layak untuk mengisi jawatan itu sama ada Timbalan Ketua Pembangkang DUN ketika ini, Datuk Mohd Satim Diman atau sebagainya.

Bagaimanapun, Dr Mohamad Khir berkata, bagi jawatan yang disandangnya di dalam Umno negeri ketika ini diserahkan kepada kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.


Harian Metro semalam melaporkan Dr Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, yakin tidak bersalah dan mahu membersihkan namanya di mahkamah.

Dr Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di alamat No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta, manakala Shamsuddin mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.


myMetro

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails