Friday, December 10, 2010

Isu APCO: Hukuman 'Baik Punya' menanti Anwar

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Meskipun Pakatan Rakyat mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diberikan peluang keadilan yang sewajarnya, pentadbiran Najib mengharapkan hukuman “keras” ke Ketua Pembangkang itu ekoran kenyataannya mengaitkan APCO-Israel dengan gagasan 1 Malaysia awal tahun ini.

Difahamkan Ketua Umum Pakatan Rakyat ini akan berhadapan dengan hukuman digantung dari menghadiri Parlimen minggu depan apabila Jawatankuasa Hak dan Kebebasan membentangkan laporan mereka.

Sesi Dewan Rakyat semasa disambung sehari sehingga 16 Disember ini.


Masih tidak dapat dipastikan apa yang akan diputuskan oleh jawatankuasa yang berpengaruh itu ke atas Anwar, tetapi sumber-sumber memberitahu bahawa bekas timbalan perdana menteri itu akan dikenakan hukuman penggantungan enam bulan.

Laporan itu dijangka akan dibentangkan Khamis depan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, yang merupakan menteri yang turut bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen.

Ketika bercakap kepada The Malaysian Insider, Nazri bersetuju bahawa Anwar akan dicela ekoran dakwaan sensitif beliau ke atas kerajaan Datuk Seri Najib Razak Mac tahun ini.

Menteri itu berkata beliau yakin hukuman setimpal akan dikenakan ke atas Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Malah beliau meramalkan pentadbiran Najib akan mengakhiri tahun 2010 dengan “hentaman.”

“Kami hendak menunjukkan bahawa kami tidak bimbang untuk menggerakkan otot-otot kami apabila ia perlu dilakukan. Sudah tentu akan ada satu keputusan yang baik daripada panel dan ia akan menjadi sesuatu yang adil,” kata beliau.

Nazri berkata, pada pandangan peribadinya Anwar sekurang-kurangnya harus dikenakan hukuman gantung enam bulan untuk mengajar pemimpin itu bahawa tiada mana-mana anggota perundangan sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak berasas, yang boleh menyinggung pentadbiran.

“Tiada anggota perundangan yang terkecuali. Jika anda gagal untuk membuktikan dakwaan anda, anda mesti bayar harganya,” kata beliau.

Kelmarin, Pengerusi DAP Karpal Singh mendakwa Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempunyai agenda peribadi untuk memastikan hukuman tergesa-gesa menggantung dari Parlimen, yang disebut-sebut, dikenakan ke atas Anwar.

Wakil rakyat Bukit Gelugor ini memberitahu bahawa Speaker tidak sepatutnya mempengerusikan sesi huru-hara pagi tadi ekoran keputusan Pandikar menolak usul Pakatan Rakyat agar membahaskan isu tersebut memandangkan wujud elemen “konflik kepentingan”.

Pada 22 April lepas, ekoran usul yang dibentangkan oleh Nazri, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar berhubung dakwaan beliau kononnya konsep 1 Malaysia diilhamkan oleh APCO Worldwide.

APCO Worldwide yang menafikan dakwaan itu dilaporkan berkata kerajaan Malaysia menggunakan khidmat mereka selepas konsep 1 Malaysia diumumkan oleh Najib dan dakwaan penglibatan firma itu dalam kempen One Israel adalah palsu.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Pandikar itu dianggotai Kiandee selain Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails