Tuesday, December 7, 2010

Hijrah dan Polis Raja Di Malaysia

Oleh : Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh


Hijrah Itu Pengorbanan, Hijrah Itu Perjuangan, Hijrah Itu Persaudaraan, Hijrah Membentuk Perpaduan - Al Ajiba, Lagu Tema Maal Hijrah

Petikan lirik lagu tema Maal Hijrah bukan semata-mata lirik lagu sahaja. Semangat di sebalik lirik tersebut semalam dizahirkan di hadapan Masjid Negara.


5 Disember 2010, barangkali satu lagi tarikh bersejarah yang menandakan kebangkitan semula anak muda dan rakyat jelata menuntut hak mereka. Umpama suatu kisah Maal Hijrah, suatu kisah peperangan di antara rakyat dan penguat kuasa Negara, kami menyaksikan bagaimana pihak polis yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat, mengancam dan menindas mereka tanpa perasaan.


Bagaikan sudah dirasuk semangat jahat, pihak polis mengejar, memukul dan mengherdik rakyat yang telah berhimpun secara aman untuk melahirkan bantahan terhadap usaha-usaha menswastakan air.

Kami bagai tidak percaya melihat polis berbaris rapi di perkarangan Masjid Negara tidak berani untuk menapak di perkarangan tanah suci itu.

Bagaikan robot tidak berakal mereka berbaris dan menunggu rakyat untuk menapak keluar supaya boleh dibaham dengan baton-baton FRU dan kasut-kasut polis yang berat.

Di dalam Masjid Negara kelihatan rakyat pelbagai agama dan bangsa mengambil perlindungan daripada kekejaman Polis. Sesungguhnya kami telah meyaksikan apa itu pengorbanan, apa itu perjuangan, apa itu persaudaraan, dan perpaduan di dalam rumah suci itu.

Penguatkuasa telah menembak air beracun, dan gas pemedih mata untuk memecahkan perpaduan rakyat berbilang agama dan bangsa, namun mereka hanya mampu sehingga ke perkarangan Masjid Negara.

Satu pihak dilindungi Kerajaan Persekutuan (termasuk eksekutif, kehakiman dan legislatif) dan satu lagi pihak berlindung di rumah Tuhan.

Laungan kalimah "Allahhu Akhbar!", "Hidup Rakyat!", "Mahasiswa sudah bangkit!" bergema di perkarangan tanah suci itu. Laungan-laugan yang menerima sambutan daripada satu generasi rakyat Malaysia yang sudah menjangkau jauh daripada sifat perkauman, korupsi dan kezaliman.

Mereka bersatu demi Negara, demi masa depan anak cucu-cucu mereka. Pada perhatian kami, tidak ada yang lebih patriotik daripada mereka yang berani bertembung dengan apparatus Negara yang zalim lagi kejam. Terasa seperti satu kisah perjuangan untuk kemerdekaan yang berlaku di hadapan mata.


Pada perkiraan kami, Polis telah melakukan sesuatu yang sangat bertentangan dengan kehendak rakyat dan parti pemerintah akan menanggung akibat kesilapan besar pihak Polis ini.

Selama ini kami fikir Barisan Nasional masih mampu untuk memperbetulkan kesilapannya, tetapi semalam kami sendiri menyaksikan rakyat yang langsung tidak menyebut Barisan Nasional, kemudiannya menyumpah-serapah parti yang telah lama berkuasa itu setelah diprovokasi keras oleh pihak Polis.

Ada juga yang menangis dan menyumpah pegawai-pegawai Polis Di-Raja Malaysia yang bagai tidak berakal dan mekanikal.

Barangkali sumpahan rakyat sudah berkesan? Adakah pihak Polis sudah tidak boleh bezakan baik dan buruk? Apakah kenaikan harga air tidak akan membebankan pihak Polis?

Apakah gaji dan jumlah rasuah yang diperas oleh mereka menyebabkan mereka tidak merasa keperitan kenaikan harga air? Mengapa mereka tidak menyertai rakyat dalam perjuangan? Sanggup mereka mengkhianati sumpah mereka untuk menjaga rakyat.

Apakah Polis Di Raja Malaysia mengharapkan orang ramai menghormatinya sedangkan mereka langsung tidak menghormati rakyat? Menembak sesuka hati, memukul sesuka hati, memeras wang sesuka hati, bagaimana rakyat mahu hormat?

Polis harus ingat, mereka milik rakyat, mereka berketuanan rakyat, bukan Perdana Menteri, bukan Ketua Polis, tetapi rakyat. Oleh yang sedemikian mereka harus menghormati rakyat, bukan dengan menembak gas pemedih mata, bukan dengan meriam air, bukan dengan memeras rasuah, tetapi dengan memberi perlindungan kepada rakyat, menjaga keselamatan rakyat, dan bersama perjuangan rakyat.

Kami percaya Polis Di Raja Malaysia bukan Polis Singapura, bukan juga Polis Israel, dan juga bukan Polis Myanmar. Mereka harus menyedari bahawa mereka bukan lawan dalam perjuangan ini, mereka juga mangsa kerakusan pihak-pihak yang korup dan tidak segan merampas hak rakyat. Tempat anda dalah bersama rakyat, jangan jadi tali barut mana-mana pihak yang tidak parwah akan masa depan Negara.

Anda juga minum air, anda juga punyai keluarga, anda juga berakal seperti kami, anda juga merasakan sakit kenaikan harga barang, jangan khianati kami, jangan zalimi kami.

Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat meyambut maal hijrah kepada semua muslimin dan selamat menghayati maal hijrah kepada rakan-rakan yang lain.

Berhijrah ke lokap..


MerdekaReview

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails