Sunday, December 5, 2010

Dua Pingat Ku Li dilucut.

Oleh G. Manimaran dan Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada pemimpin politik veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, tetapi alasan keputusan itu masih belum diketahui.

Sumber-sumber rapat dengan putera Kelantan itu, yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” malam tadi mengesahkan tulisan beberapa blog dan khabar angin bahawa Istana Kelantan telah memutuskan untuk menarik balik dua pingat dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K.), yang dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

“Ya, ia (khabar angin itu) benar. dua pingat... D.K. (Darjah Yang Utama Kerabat Diraja) dan satu lagi, saya tidak pasti. Saya juga tidak tahu sebabnya,” kata sumber itu.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias juga telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, tetapi belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagaimana lazimnya dilakukan sebelum ini.


Satu lagi sumber memaklumkan kemungkinan Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu akan mengadakan sidang media di ibu negara esok, dipercayai berkaitan dengan isu tersebut.

“Kalau nak tanya Tengku (Razaleigh) boleh tanya, mungkin Tengku Razaleigh akan menemui wartawan, ada sidang akhbar, ada perkara umum nak dikatakan, jika mahu tanya boleh tanya beliau pada sidang media itu mengenai isu ini,” kata sumber itu lagi.

Tengku Razaleigh telah digugurkan daripada keanggotaan Majlis Perajaan Negeri (MPN) baru-baru ini.

Laman web mengenai darjah kebesaran menyebut D.K. dizahirkan pada 1916 dan dianugerahkan kepada Kerabat Diraja serta kepada orang-orang yang bertaraf tinggi dan ternama yang telah membuat jasa kebaktian yang cemerlang kepada Kelantan.

Keanggotaan darjah kebesaran ini adalah juga dianugerahkan kepada Raja-raja dan Kerabat Diraja dari luar negara.

Darjah kebesaran ini mempunyai satu peringkat sahaja.

Awal Oktober lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran “Datuk” kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Ketika mengumumkan perkara itu Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat.

“Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara,” kata Mohd Aiseri ketika itu.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petronas, kini merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi MPN, dan dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan untuk mengesahkan pemasyhuran pemerintah baru negeri itu September lalu. Difahamkan turut tidak hadir adinda baginda Tengku Amalin A’ishah Putri.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails