Sunday, December 5, 2010

Demo Air : 52 termasuk lima pelajar ditahan

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Pakatan Rakyat menganggarkan sekitar 52 orang ditahan termasuk Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim dan lima pelajar atas alasan melanggar arahan polis dengan cuba meneruskan perarakan protes air ke Istana Negara tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berjanji akan membebaskan mereka jika kesemua peserta protes mematuhi arahan agar bersurai.

Menurut Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, seramai 47 orang ditahan di sekitar Masjid Negara termasuk lima merupakan pelajar.


Difahamkan mereka ditahan di Cheras.

Terdahulu Nasir, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan setiausaha agungnya S. Arutchelvan ditahan semula di kawasan Istana Negara selepas mereka dilepaskan di Masjid Negara.

Sebelum itu, mereka ditahan di hab pengangkutan awam KL Sentral.

“Ini jaminan kami, mereka semua akan dibebaskan. Jadi, tolong bersurai,” kata Amar ke arah kumpulan yang berhimpun di kawasan bangunan KTMB.

Kumpulan itu berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara melalui bangunan KTMB.

Ahli jawatankuasa kerja pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad kemudian meminta mereka meninggalkan kawasan itu dan pekarangan Masjid Negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata akan membawa usul kekerasan polis hari ini ke Parlimen.

“Amat malang polis guna kekerasan sedangkan pada peringkat awal kata mahu bekerjasama. Maka, saya akan bawa usul kekerasan polis ini di Parlimen kelak,” katanya.

Dalam pada itu, penyelaras kempen antikenaikan harga air Selangor, Dr Badrul Amin Bahron berkata, tindakan polis yang secara tiba-tiba menyerbu para peserta protes yang berada di pekarangan Masjid Negara menyebabkan seorang lelaki bernama Azami Ismail patah kaki dan seorang wanita pitam ketika cuba cuba melarikan diri.

“Ketika polis menyerbu ke Majis Negara lelaki itu yang berusia 51 tahun telah jatuh di tangga menuju ke masjid dan patah kaki.

“Saya difahamkan lelaki tersebut telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang oleh ahli keluarga untuk pemeriksaan. Dia kini sedang dirawat.

“Selain itu, seorang wanita yang pitam itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan, dia sekarang masih lagi dalam keadaan lemah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar 5 petang tadi.

Tambah Badrul Amin, pihanya kecewa dengan tindakan polis yang tidak membenarkan penyokong mengiringi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ke Istana Negara sebalik bertindak kejam kepada penyokong.

“Setelah Menteri Besar menyerahkan memorandum kepada wakil istana kita telah membuat keputusan untuk pulang semula ke Masjid Negara untuk memaklum kepada penyokong bahawa kita telah berjaya.

“Namun kita dihalang polis untuk ke sana, sehubungan itu kita telah meminta wakil kita untuk mengarahkan semua penyokong yang berada di Masjid Negara bersurai.

“Tetapi dalam proses bersurai itu, polis secara tiba-tiba menyerbu masuk ke Masjid Negara dan menyebabkan penyokong-penyokong bertempiaran lari,” katanya.

Kesemua penyokong yang berada di Masjid Negara mula bersurai kira-kira pukul 4 petang tadi.

Selain kumpulan antikenaikan harga air, sebuah lagi kumpulan yang dinamakan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) turut menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong behubung penyelewengan yang berlaku di Selangor.

Namun, GAPS, gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyerahkan memorandum tersebut.

“Kita telah berjaya menyerahkan memorandum ke Istana Negara kira-kira pukul 12.40 tengah hari tadi dan kita tidak mempunyai sebarang masalah menuju ke sama kerana hanya lapan orang sahaja yang pergi.

“Yang selebihnya kita telah arahkan supaya berkumpul Stadium Merdeka, polis turut membenarkan kita menyerahkan memorandum itu kepada wakil istana,” kata Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin.

Tambah Hamidzun, rancangan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Shaani Abdullah ditemui berkata, tindakan tidak profesional pihak berkuasa menjatuhkan martabat pasukan terbabit.

Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan tugas dengan jujur dan ikhlas tanpa melibatkan tindakan kekerasan terhadap orang awam.

“Tindakan tidak profesional ini menjatuhkan martabat pihak berkuasa sedangkan mereka perlu memupuk jati diri dan contoh baik kepada rakyat.

“Namun mereka bertindak sebaliknya dengan memaki hamun orang awam dan perkara ini sungguh memalukan. Walaupun perarakan tiada permit tapi sepatutnya polis bukan bertindak mengamcam atau memaki-hamun seperti ini,” katanya


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails