Monday, December 27, 2010

Bas Melambung


RAUB – Suasana selepas hujan mungkin antara faktor mengakibatkan pemandu bas ekspres dua tingkat dari Kota Bharu gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terbalik ke kanan jalan di Kilometer 363 Jalan Raub–Bentong, semalam.

Pengalaman berhadapan saat cemas semasa dalam perut bas dikongsi seorang penumpang yang berasal dari Kampung Tok Malek, Wakaf Baru, Kelantan.


Anis Akmal Ruslan, 17, dalam perjalanan ke rumah ibu saudaranya bersama sepupunya, Nor Azunaini Amran, 22.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Baru itu berhasrat menemani Nor Azunaini untuk menghadiri temu duga kerja di Kuala Lumpur.

“Semasa kejadian saya sedang tidur dan hanya menyedari berlaku kemalangan ketika badan terasa melambung.

“Dalam sekelip mata sahaja bas sudah pun terbalik dan kedudukan saya di bahagian tingkat atas sebelah kanan bas menyebabkan saya terhimpit,” katanya yang cedera ringan.

Sepupunya, Nor Azunaini berkata, dia tidak menyangka tindakan mengajak Anis Akmal menemaninya ke Kuala Lumpur berakhir terkandas di Raub selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, itu adalah kali pertama Anis Akmal menaiki bas ekspres dua tingkat dan bimbang mendatangkan trauma kepadanya.

“Saya harap kami berdua selamat dan difahamkan syarikat bas berkenaan akan membawa kami ke destinasi menggunakan bas lain dari Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang dari Pasir Mas, Kelantan turut mengakui tertidur selepas melalui pemeriksaan Penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Benta.

Nor Amani Che Md Nor, 23, seorang guru di Klang berhasrat menghadiri mesyuarat di sekolah tempatnya mengajar.

“Walaupun berhadapan saat cemas dan panik, saya bersyukur terselamat dan hanya menjalani pemeriksaan di hospital sahaja,” katanya.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails