Sunday, December 19, 2010

Asri akan umum parti pilihannya apabila PRU-13 dipanggil

KEPALA BATAS, 19 Dis — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan membuat keputusan parti politik yang beliau hendak sokong apabila pilihan raya umum ke-13 dipanggil, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

“Pilihan raya umum pun belum dipanggil, dan apabila pilihan raya umum diadakan, saya akan menyatakan parti yang saya akan sokong nanti,” kata beliau ketika ditemui di sisi Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di sini hari ini.

Mohd Asri menghadiri majlis perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan Dewan Millenium di sini dan dilihat menghabiskan masa sehingga tengah hari tadi mengikuti perjalanan konvensyen.

Ketika ditanya sama ada keputusan itu bermakna akan menyertai mana-mana parti kelak, Mohd Asri berkata, “tengok dulu. Saya sedang melihat..”

“Perkara itu saya masih memikirkan, saya sedang melihat perkembangan politik, iklim dan cuaca politik negara ini,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia ini dengan senyuman.


Ini kali pertama beliau menghadiri konvensyen Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun Mohd Asri bukan asing dalam majlis-majlis anjuran Umno dan PAS. Beliau pernah menghadiri muktamar agung tahunan PAS yang diadakan di Kota Baru Jun lalu. Akhir Jun lalu, Mohd Asri menegaskan, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik buat masa sekarang dan “tidak bercadang untuk memilih jalan itu” walaupun disebut-sebut akan memasuki Umno.

“Ingin saya tegaskan kepada rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik,” kata beliau ketika itu. Ulama yang dilihat sebagai aliran pemikiran ‘progresif’ ini menjadi tumpuan aktif Umno dan PAS sejak lebih setahun lalu.

Beliau telah memberi bayangan sedang memikirkan perkara tersebut sejak akhir tahun lalu. Bagaimanapun pada pertemuan hari ini, Mohd Asri memberitahu The Malaysian Insider, beliau masih berharap Kelantan akan kekal ditadbir oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya umum ke-13.

“Kelantan mesti ditadbir oleh Datuk Nik Aziz, PAS sebab beliau sudah membuktikan pentadbiran Kelantan sebagai pentadbiran contoh, yang harus diamalkan oleh mana-mana parti yang memerintah negara ini,” katanya.

Nik Aziz genap 20 tahun memimpin Kelantan, yang jatuh ke tangan PAS pada pilihan raya umum 1999. “Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sudah membersihkan beliau daripada dakwaan rasuah... beliau telah memberikan kita satu kerajaan contoh,” kata Mohd Asri sambil menambah, Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan telah menunjukkan sikap bersopan santun.

Mengenai kehadiran pada konvensyen Pakatan Rakyat hari ini, Mohd Asri berkata, beliau memutuskan untuk melihat perkembangan perikatan tiga parti itu dari dekat. “Urus setia konvensyen menjemput saya datang, jadi menerima jemputan untuk melihat dengan dekat, memahami secara langsung selepas hampir tiga tahun (Pakatan) bergerak,” katanya.

Sehubungan itu kata Mohd Asri, beliau melihat beberapa idea yang dibangkitkan dalam Buku Jingga, antaranya isu rasuah dan ketirisan memang sesuatu yang baik. Buku Jingga adalag agenda Pakatan yang menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil.

Intipati Buku Jingga dibentangkan oleh Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

“Ada banyak idea menarik yang dibangkitkan, macam yang dikatakan oleh YB Anthony Loke, tetapi persoalannya adakah Pakatan Rakyat boleh melaksanakannya.

“Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu menyakinkan bahawa ia boleh melaksanakan apa yang disebutkan, contoh isu ketirisan dan rasuah... perkara ini semua orang cakap dan sudah tahu, tetapi apakah Pakatan Rakyat boleh meyakinkan orang ramai dengan melaksanakannya. Ini persoalan yang perlu dijawab oleh Pakatan Rakyat.

“Orang ramai akan tertarik dengan parti yang boleh meyakinkan mereka dengan program pelaksanaan,” kata beliau lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails