Friday, December 24, 2010

Ahli Perniagaan dakwa dibelasah dan dirompak Polis

Oleh Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan duitnya 'dicuri' anggota polis, seorang ahli perniagaan menjadi mangsa sekumpulan polis yang membelasahnya gara-gara kerana tidak mempamerkan cukai jalan yang tamat tempoh di skrin kereta.

Chia Buang Hing, peniaga bingkai lukisan, yang memandu kereta jenis Proton Waja milik isterinya pada 18 Disember lalu, mendakwa dipukul 11 anggota polis dan menanggung kerugian lebih dari RM13,000.

Mangsa berumur 34 tahun turut mengalami kecederaan fizikal di mata kanannya dipukul ekoran enggan menyerahkan sejumlah wang yang dimilikinya.

Mangsa ketika kejadian itu dalam perjalanan ke kedainya di Kota Damansara ditahan sekumpulan anggota polis dalam sekatan jalan di kawasan tersebut.


Chia yang menyedari cukai jalan telah tamat tempoh kemudian meminta untuk disaman atas kesalahan itu, namun anggota polis yang menyeluk seluarnya menyedari beliau memiliki wang sejumlah.

"Apabila dia nampak kad VIP Kelantan saya, seorang anggota polis berkata, awak ingat Kelantan istana banyak besar,banyak besar. Saya cuba ambil gambar anggota polis dengan telefon bimbit saya dan kemudian dua lagi anggota menumbuk saya secara bertubi-tubi.

"Saya digari dan dibawa masuk ke dalam kereta polis sehingga ke balai polis Dataran Sunway. Di balai itu, saya terus dipukul oleh tujuh anggota sehingga muntah darah dan mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media di sebuah restoran di Taman Tun Datuk Ismail pagi ini.

Mangsa turut ditemani ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan peguam Ricky Tan Seng Cheong.

"Mau tolak lu mati"

Katanya, beliau yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis yang membelasahnya itu.

"Saya turut dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui dan mendengar perbualan polis yang mahu menolak saya. Saya dengar suara polis kata "mau tolak lu mati", masa itu saya sudah muntah darah dan berbuih di mulut.

"Saya dibelasah dari jam 11 malam hingga 3 pagi, 19 Disember itu. Saya yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis itu. Saya juga boleh cam lima orang polis di IPD Petaling Jaya, serta lima lagi yang pukul saya dalam lori polis. Mereka semua memakai uniform ketika kejadian," katanya.

Chia pada 19 Disember dibawa ke mahkamah Petaling Jaya dan direman selama empat hari, namun dilepaskan melalui jaminan mulut pada 22 Disember.

Sementara itu, Lim yang mewakili mangsa berkata kesal dengan tindakan sekumpulan polis terbabit malah keengganan majistret untuk mengambil aduan Chia.

Beliau yang turut menemani mangsa membuat laporan di balai polis Kota Damansara petang semalam, turut menuntut beberapa perkara.

"Kami menuntut beberapa perkara antaranya; tidak mahu pihak ibu pejabat Petaling Jaya mengambil kes ini; mangsa mahu membuat kawad cam; pihak majistret perlu disiasat; kereta mangsa dipulangkan semula serta duit yang dicuri itu," katanya.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails