Tuesday, November 30, 2010

Warisan Merdeka: Najib Membakul Sampahkan Pandangan Mahathir

Oleh Yow Hong Chieh

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengetepikan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang Warisan Merdeka - menara 100 tingkat yang akan dibina di ibu negara, sambil menegaskan projek itu harus dinilai dari sudut jangka panjang. “Apa yang penting yang perlu diingat, ini adalah projek jangka panjang,” kata Najib selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan Asean 2010 di sini hari ini.

“Ia tidak harus dilihat (sebagai projek) satu atau dua tahun. Ia projek 10 tahun dan (menjangkaui tempoh) selepas itu,” kata beliau.

Sambil sekali lagi menekankan bahawa projek itu sebagai inisiatif Permodalan Nasional Bhd (PNB), Najib mengesahkan Warisan Merdeka akan menerima lampu hijau kerajaan selagi ia berdaya maju secara komersial dan membawa peluang-peluang bisnes.


Semalam, Dr Mahathir memberi amaran Malaysia akan berhadapan dengan situasi bekalan hartanah berlebihan ekoran pembinaan Warisan Merdeka di ibu negara, yang akan mengatasi Menara Berkembar Petronas yang dibina ketika era kepimpinan bekas perdana menteri itu.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata negara mesti belajar daripada krisis kredit dialami Dubai ekoran bekalan hartanah berlebihan.

“Mereka boleh membina tetapi kemudian, bukannya sekarang,” kata Dr Mahathir.

Idea membina menara itu juga mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak.

Sebelum ini, Dr Mahathir ada memberitahu bahawa kerajaan seharusnya mendapatkan pandangan ramai sebelum meneruskan langkah membina menara paling tinggi itu, yang diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2011.

Sayap pelaburan kerajaan PNB mempertahankan projek itu dengan berkata langkah itu tidak akan membabtikan dana pendeposit ataupun awam.

Najib berkata projek itu juga mesti menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih besar dalam bidang tertentu dan menyediakan peluang perniagaan.

“Projek itu mesti memenuhi keperluan itu dan jika syarat ini dipenuhi, ia boleh diteruskan.

“Ia mesti menyediakan dorongan dan pemangkin untuk Kuala Lumpur yang lebih luas,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, terpulang kepada PNB untuk membuat perkiraan kewangan.

Mengenai persepsi bahawa Warisan Merdeka akan menenggelamkan Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat, yang diilhamkan oleh Dr Mahathir, Najib berkata: “Ia merupakan kenyataan yang semberono.”

“Kita bercakap mengenai kesinambungan.

“Apa yang sudah dilakukan oleh Tun Mahathir disanjung tinggi, namun kita perlu meneruskan kejayaan beliau dan bergerak dan memajukan Malaysia,” kata Najib lagi.

“Jik anda lihat latar langit Kuala Lumpur pada 2020, ia tidak boleh sama seperti hari ini. Pudong di Shanghai mempunyai banyak bangunan pencakar langit. Pastinya lebih banyak lagi.

“Baik kita bayangkan Kuala Lumpur pada tahun 2020. Cuba lihat perspektif jangka panjang. Lebih-lebih lagi jika wawasan 2020 direalisasikan, ia merupakan wawasan yang diilhamkan sendiri oleh Tun Mahathir,” kata Najib.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails