Tuesday, November 16, 2010

UMNO jangan menyibuk

SHAH ALAM – Pas tetap bertegas tidak akan menerima pelawaan untuk bersama Barisan Nasional (BN) kerana semangat perjuangan dan setia kawan dengan Pakatan Rakyat (PR) masih kuat.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak akan teruja dengan pelawaan murahan BN.

“Setakat ini, apa pun yang berlaku, Pas tetap bersama PR dalam meneruskan agenda yang menjadi kesepakatan bersama.

“Jangan menempelak racun berbisa kerana Pas tidak tergugat dengan tawaran seperti itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat yang berhak menentukan parti untuk dipilih menerajui negara.


Salahuddin mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, supaya Pas mengkaji kedudukannya sama ada berdiri sendiri iaitu keluar daripada PR atau bersama BN daripada bercita-cita menggantikan UMNO.

Ahmad turut membidas Pas yang hanya bertanding 60 kerusi Parlimen, yakni tidak sampai 1/3 daripada 222 kerusi sekiranya ingin mengetuai PR.

Mengulas perkara itu, Salahuddin berkata, PR mengamalkan konsep keluarga besar dengan membahagikan kerusi mengikut peruntukan dan kesesuaian yang telah dipersetujui bersama sekiranya memerintah negara kelak.

“Jadi tidak timbul isu kerusi cukup atau tidak dalam sebuah parti kerana ada etika yang dibentuk bersama rakan-rakan dalam PR.

“UMNO perlu cermin diri sendiri kerana turut membahagikan kerusi kepada parti komponen BN.

“Jangan sibuk jaga tepi kain orang lain, Ahmad sepatutnya menjaga rumah tangga sendiri dulu,” katanya.:

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, isu Pas menyertai BN tidak sepatutnya berbangkit kerana Pas sudah berulang kali menyatakan tidak akan berbuat demikian.

“Perkara ini tidak perlu lagi timbul kerana kami sudah menyatakan pendirian tidak akan menyertai BN, malah persetujuan bersama telah dicapai dalam PR.

“Kami ada cara sendiri tanpa perlu pandangan daripada pihak luar yang tiada kena-mengena,” katanya.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails