Sunday, November 21, 2010

Tulis salah.. Tak tulispun salah..

Oleh : Markus Lim

Kerjaya sebagai seorang pemberita atau wartawan dewasa ini tidaklah semudah yang anda sangka. Ia tidak semudah ABC yang mana seseorang itu hanya menulis artikel demi artikel dan menghantar kepada editor untuk penyuntingan. Ataupun datang ke pejabat kerja memanaskan bangku semata-mata.

Sebaliknya, wartawan-wartawan kini perlu bersifat multi-tasking yakni dilengkapi dengan pelbagai jenis kemahiran untuk berhadapan cabaran-cabaran baru.

Dengan ledakan informasi dan teknologi maklumat yang makin canggih, para wartawan kini mahu tidak mahu perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak boleh ketinggalan dalam mempelajari ilmu baru ini.

Jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Filipina, Iraq, Rusia, China dan Zimbabwe, wartawan di Malaysia pada umumnya masih dikira cukup bernasib baik. Mereka tidak perlu ke medan perang untuk membuat liputan seperti yang dilakukan oleh wartawan Barat. Mereka juga tidak perlu mengharungi ancaman bahaya seperti mana ancaman bahaya yang menimpa segelintir wartawan yang bertugas di medan konflik.


Bagaimanapun di sebalik keadaan itu, terdapat satu cabaran yang sering dihadapi oleh para wartawan di negara kita, cabaran yang mencabar integriti serta moral mereka. Satu cabaran menurut perkiraan semua wartawan termasuk saya sendiri yang tidak sepatutnya berlaku. Apa yang saya maksudkan di sini adalah tindakan segelintir pemimpin politik yang sering menggunakan wartawan sebagai punching bag.

Semua sedia maklum, tugas seorang wartawan adalah untuk membuat liputan berita secara objektif, rasional dan berdasarkan kepada apa yang dilihat dan apa yang didengar. Wartawan berfungsi sebagai pengantara antara rakyat dan pihak pemerintah.

Tanpa keringat dan curahan tenaga daripada individu yang bernama wartawan ini, tidak mungkin sebaran berita dapat dilakukan. Tanpa keringat mereka juga, para pembaca di luar sana mungkin akan terkial-kial mencari bahan berita untuk tatapannya. Perjalanan hidup seseorang bakal akan tergendala pada ketika itu!

Akan tetapi, terdapat satu trend tidak sihat di negara kita yang mana para wartawan sering kali dituduh sebagai memutarbelitkan fakta atau kata-kata yang diluahkan oleh pemimpin politik.

Komen-komen yang keluar dari mulut politikus seperti: “Kenyataan saya telah disalah tafsir oleh anda (wartawan) semua dan “Saya tidak pernah bercakap mengenai perkara itu, anda sudah tersilap” sesungguhnya memberikan gambaran yang tidak baik kepada profesion kewartawanan di negara ini.

Bagi kebanyakan pemimpin politik, kalaupun tidak semua mahu mendengar penyajian berita-berita yang positif, yang bersifat pujian, dan tidak menggambarkan sifat buruk mereka. Tuntutan tersebut sememangnya difahami kerana barangsiapa yang mahu melihat imejnya diperlekehkan ataupun menjadi bualan umum di media massa.

Mereka juga mahu pengaruh dan kehadirannya mendapat perhatian barisan pucuk kepimpinan tertinggi bagi membolehkan dirinya berada pada radar pemerhatian kepemimpinan tertinggi. Maklumlah juga, musim Pilihan Raya Umum ke-13 semakin menjelang tiba.

Sebagai seorang mantan wartawan, saya amat prihatin dan berkongsi kekecewaan yang dialami oleh rakan-rakan seperjuangan saya. Tulis pun salah, tak tulis pun salah juga. Inilah dilema yang mencetuskan kebingungan kepada para wartawan.

Tindakan menuding jari kepada para wartawan kerana menyalahtafsir atau memutarbelitkan kenyataan mereka pada saya, adalah sesuatu yang bukan sahaja merendahkan martabat profesion kewartawanan bahkan juga sesuatu yang tidak boleh diterima. Perlu diingat, semua wartawan tak kiralah dari media cetak, penyiaran mahupun di alam maya mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Para wartawan hanyalah menjalankan kewajipan mereka seperti yang telah diperuntukkan dalam piagam kerja dan arahan pihak editor.

Dalam menulis sesuatu artikel apatah lagi yang berbaur kontroversi dan membabitkan pemimpin berprofil tinggi merupakan satu tugasan yang mencabar dan adakalanya memberikan tekanan. Bekerja dalam suasana yang tertekan, sudah tentu akan mengundang kesilapan. Ini adalah lumrah hidup walaupun adakalanya mereka terlalu berhati-hati. Bukan sahaja masa berlebihan diperlukan untuk meneliti kembali intipati artikel malahan emosi para wartawan turut terjejas.

Hati saya tersentak melihat keadaan sebegini. Saya masih teringat pesanan yang diberikan oleh para editor pada hari pertama saya memasuki profesion kewartawanan. Pesanan itu antara lain mengingatkan saya supaya menjaga kredibiliti dan maruah profesion tersebut.

Berpandukan kepada pesanan itu, mengapa pula wartawan-wartawan kita sering menjadi punching bag kepada pemimpin politik? Persoalan saya kepada mereka, adakah piawaian wartawan-wartawan kita begitu rendah hinggakan ia perlu diberi telunjuk oleh pemimpin politik?

Semua yang bercita-cita menjadi wartawan, harus menjalani latihan intensif terlebih dahulu. Prosedur ini adalah lumrah dalam mana-mana organisasi kerja. Sesi latihan adalah penting bagi membolehkan para wartawan menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran kerja.

Mereka juga akan dimaklumkan dengan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Itu bukanlah satu perkara yang asing. Tetapi apa yang pastinya, mana-mana wartawan yang berminat dalam profesion tersebut sudah pasti akan memberikan yang terbaik mereka kerana tulisan-tulisan nukilan mereka mencerminkan keringatnya.

Setiap wartawan mempunyai falsafah dan prinsipnya tersendiri. Walaupun mereka dikehendaki mematuhi piagam kerja seperti yang ditetapkan, mereka tidak semestinya menerima atau patuh kepada komen-komen yang dibuat pemimpin politik.

Tidak mengapa jikalau komen-komen orang politik tadi bersifat membina, tidak salah untuk wartawan menerima tetapi jika berulang kali dituduh memutarbelitkan fakta, maka sesuatu perlu dilakukan bagi menangkis pertuduhan sebegini.

Falsafah dan prinsip inilah yang akan menjadi benteng penyelamat kepada profesion kewartawanan. Seseorang wartawan itu perlu berpegang tegas kepada prinsipnya, bekerja sebagai seorang wartawan yang profesional.

Ini bermakna, sajian-sajian berita yang dihasilkan haruslah mengambil kira kepentingan rakyat, kepentingan jangka panjang dan bukannya kepentingan mana-mana politikus. Saya yakin, ini juga yang didahagakan oleh rakyat.

Adakah kerana faktor pengaruh dan kekuasaan seseorang pemimpin politik itu boleh bercakap dan melakukan apa sahaja hinggakan wartawan perlu patuh kepadanya? Adakah kerana mereka tidak menulis artikel yang positif mengenai mereka, maka wartawan perlu dipersalahkan?

Logik di sebalik persoalan tadi sebenarnya tidak masuk akal. Wartawan juga ada maruah dan harga dirinya sendiri. Mereka tahu apa perlu dilakukan. Mereka juga tahu yang membezakan mana baik dan mana yang perlu diketepikan. Justeru, tindakan mengarah kepada wartawan untuk berbuat itu dan ini bukan satu trend yang sihat.

Jelas, tindakan ini hanya mengekang kreativiti wartawan untuk menghasilkan berita dalam gaya yang menarik, dalam gaya yang mampu menarik minat pembaca. Apa salahnya jika wartawan diberikan kebebasan menulis dan meluahkan perasaan dalam suasana yang kreatif selagi ia tidak menyentuh perkara-perkara yang sensitif. Mereka punya hak untuk berbuat demikian.

Sudah tentu sensitiviti masyarakat pelbagai kaum perlu diberi pertimbangan namun di masa kita terus bercakap mengenai sensitiviti masyarakat, mungkin sudah tiba masanya agar proses desensitisation ke atas isu-isu sensitif disemaikan.

Saya setuju isu-isu sensitif tidak harus disentuh. Setiap masyarakat ada tafsiran tersendiri mengenai isu-isu sedemikian. Ada perkara yang dilihat sensitif oleh masyarakat Melayu umpamanya tetapi mungkin tidak bagi masyarakat bukan Melayu. Begitulah kepelbagaian pandangan masyarakat kita.

Tetapi sampai bilakah perkara itu tak boleh dibincang dan disapu ke bawah permaidani? Sampai bilakah kita sebagai sebuah masyarakat yang matang dapat berdiskusi secara rasional?

Diskusi isu-isu sensitif ada hikmah di sebaliknya. Membincangkan isu-isu sebegini tidak semestinya kita tidak bersetuju dengan apa yang dibangkitkan. Cumanya cara kita menyampaikan hujah mungkin berbeza dan cara kita menafsirkan isu juga berbeza menjadikan kita disalah faham.

Dalam kita berdiskusi, pelbagai idea bernas dapat dilontarkan. Sama ada idea-idea itu dipersetujui atau tidak, itu soal lain. Yang pentingnya, proses diskusi dapat berjalan dalam suasana yang beradab. Membolehkan proses diskusi dijalankan adalah langkah pertama dan keterhadapan dalam memecahkan takuk minda lama kita terhadap sesuatu yang dianggap taboo.

Kepada para pemimpin politik pula, mereka tidak seharusnya berasa takut atau bimbang untuk mengeluarkan sesuatu kenyataan. Malangnya, sering kali ada antara pemimpin politik kita yang bercakap tanpa berfikir dua kali. Hanya apabila kata-katanya mengundang reaksi negatif rakyat, barulah timbul kesedaran untuk memperbetulkan keadaan.

Jika mereka benar-benar telah membuat persiapan rapi, persoalan rasa takut tidak berbangkit sama sekali. Sebagai seorang pemimpin politik, anda sering dilabel sebagai seorang yang berpengetahuan dan berkuasa. Maka tunjukkanlah bahawa anda adalah apa yang disebutkan tadi. Dengan menuding jari kepada wartawan, anda dilihat sebagai cuba mencari jalan mudah untuk keluar daripada kontroversi cetusan sendiri.

Memang mudah untuk mencari kambing hitam apabila situasi tidak memihak kepada mereka. Hakikatnya, apakah kontroversi yang dicetuskannya sudah reda dan berakhir? Saya rasa anda sendiri sudah mendapat bayangannya.

Oleh itu, pemimpin politik perlulah menyedari hakikat pahit ini bahawa para wartawan tidak mungkin menulis semua artikel yang bersifat memuji-muji terhadap seseorang pemimpin setiap masa. Kalau tidak, bukan sahaja keuntungan syarikat akan jatuh bahkan para pembaca akan lari dan beralih kepada penerbitan lain.

Pemimpin politik perlu melihat kritikan yang dilemparkan dalam media massa sebagai satu cara untuk bermuhasabah diri. Kritikan yang diberikan bukan bertujuan untuk merendahkan martabat seseorang pemimpin tetapi lebih kepada menasihati dan memberikan teguran membina.

Tidak keterlaluan buat pembaca untuk menuntut penyampaian berita yang lebih berkualiti lagi analitikal daripada wartawan. Malah ia adalah satu hak kita sebagai pembaca. Mutakhir ini, penyampaian berita dalam akhbar lebih mengajak pembaca untuk memihak kepada seseorang daripada mendidik pembaca untuk berfikir di luar kotak. Inilah senario yang kelihatan ketika ini.

Natijahnya, dilema para wartawan dalam menyampaikan berita memang ada benarnya. Empowerment perlu diberikan oleh pihak berwajib kepada wartawan. Batasan demi batasan yang dikenakan ke atas wartawan untuk menulis artikel-artikel yang dilihat tidak memihak kepada seseorang pemimpin hanya akan mengekang kreativiti dan aliran idea wartawan.

Sememangnya, semua manusia melakukan kesilapan dan dalam konteks ini, wartawan juga tidak terkecuali. Namun begitu, ini tidak bermakna mereka boleh dijadikan sebagai punching bag kepada kenyataan yang keluar dari mulut politikus.

Adalah diharapkan di masa hadapan para politikus lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan-kenyataan tertentu di khalayak. Walaupun dalam kebanyakan insiden pemimpin politik terlepas daripada dipertanggungjawabkan terhadap apa yang diluahkan, namun rakyat yang bertindak sebagai pengundi akan memerhatikan tindak-tanduk mereka dari semasa ke semasa.


Asal : Dilema wartawan — tulis pun salah, tak tulis pun salah!

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails