Monday, November 1, 2010

Taib mungkin bubar DUN Sarawak bulan ini?

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Di sebalik spekulasi mengenai pilihan raya negeri Sarawak, penganalisis Dr Ong Kian Ming meramalkan kemungkinan ia diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang atas alasan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelihatan “lebih berminat” untuk membubarkannya bulan ini.

Bagaimanapun Ong juga memberitahu, meskipun Taib lebih “berminat” ke arah hujung bulan depan, tetapi maklumat diterimanya juga menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersedia untuk mengendalikan pilihan raya dalam tempoh itu.

“Kemungkinan ia akan diadakan hujung bulan depan adalah antara 30 hingga 40 peratus... kebarangkalian ini adalah berdasarkan tahap kesediaan untuk mengadakan pilihan raya jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan,” kata beliau.


“Sebenarnya, sukar bagi SPR untuk mengadakan pilihan raya dalam notis yang singkat,” hujah Ong pada sesi taklimat berkaitan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi serta pilihan raya negeri Sarawak di sini baru-baru ini.

SPR dipercayai telah bersiap sedia dari segi sumber manusia tetapi kemungkinan berhadapan dengan kekangan logistik jika DUN Sarawak dibubarkan bulan ini.

Latihan awal bagi pekerja-pekerja pilihan raya dikatakan telah diadakan pertengahan tahun ini.

Kini, SPR sibuk dengan urusan pengendalian pilihan raya kecil kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

DUN Sarawak dijadual untuk bersidang hari ini.

Ong berkata, sementara komponen Pakatan Rakyat (PR) Sarawak masih “bertelagah” dalam menentukan pembahagian kerusi, Taib (gambar) kemungkinan mengambil kesempatan itu dan juga suasana pemilihan pucuk kepimpinan PKR yang akan berakhir hujung bulan ini.

Proses pengundian pemilihan pucuk kepimpinan PKR secara berperingkat-peringkat bermula Jumaat ini.

“PKR dan DAP belum selesai memuktamadkan pembahagian kerusi masing-masing, malah PKR pula bercelaru dengan proses pemilihan dan kongres mereka.

“Saya berpendapat Taib akan menggunakan peluang ini (kecelaruan) untuk membubarkan DUN,” kata beliau.

Jelas beliau, sekiranya ia tidak diadakan sebelum awal Disember, kemungkinan besar pilihan raya negeri Sarawak hanya akan diadakan Mac depan.

“Jika diadakan Mac depan, pembangkang berpeluang memperoleh lebih banyak kerusi, kemungkinan boleh menafikan majoriti dua pertiga BN di DUN,” katanya.

Katanya, jika diadakan tahun ini PR boleh memperoleh sekitar 21 kerusi, kurang tiga untuk menafikan majoriti dua pertiga BN.

Mandat semasa DUN Sarawak akan berakhir Julai 2011. Sekiranya tidak dipanggil pilihan raya awal ia akan terbubar dengan sendirinya.

Di DUN Sarawak, BN memiliki 62 kerusi, Barisan Bersatu Sarawak (dua), Parti Keadilan Rakyat (satu), Parti Kebangsaan Sarawak (satu), DAP (enam) dan calon Bebas (satu).

Parti-parti komponen BN telah diminta mengenal pasti calon masing-masing sebelum Disember ini.

Awal September lalu, Taib berkata BN Sarawak sedang memuktamadkan senarai calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, beliau masih menunggu parti komponen BN negeri untuk membuat penilaian sendiri dan memuktamadkan calon mereka pada pilihan raya negeri berkenaan.

Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), tunjang BN Sarawak sebelum ini berkata, beliau telah mengenal pasti 70 peratus daripada calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Ong juga berkata, kecuali SUPP parti-parti komponen lain dalam BN juga belum bersedia dan rela jika pilihan raya negeri diadakan tahun depan.

Menjelaskan kedudukan SUPP, katanya, parti masyarakat Cina itu kelihatan tidak akan memperoleh sokongan majoriti pengundi Cina dan oleh itu tidak kisah bila pilihan raya negeri diadakan.

“Selain SUPP, parti-parti komponen BN yang lain sememangnya tidak bersedia, mereka gemar jika ia diadakan tahun depan, dilewatkan lagi,” kata beliau.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails