Saturday, November 13, 2010

Surat Terbuka Buat Mustaffa Kamil Ayub

Sebenarnya memang sudah jangkaan saya bahawa Sdr. Mustaffa Kamil Ayub, calon Timbalan Presiden PKR, tidak akan menarik diri, tetapi sebaliknya hanya akan terus melakukan protes dari dalam amat tepat. Saya amat kesal dengan sandiwara politik beliau.

Saya merujuk kepada memorandum yang dihantar oleh Saudara Mus kepada Presiden parti dan Pengerusi JPP pada 9 November 2010:

“Kami mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini. Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.”

Apakah yang dimaksudkan dengan “tindakan tegas”? Apakah pula yang dimaksudkan dengan “bertanding dalam protes?” Sahabatku, pilihannya hanya samada kita merestui proses pemilihan dan mengambil bahagian, atau kita menolak proses pemilihan dan mengundur diri.


Saya hanya dapat menafsirkan tindakan ini sebagai tidak lebih daripada sandiwara lakonan pentas politik dengan perkiraan bahawa rakyat adalah bodoh dan boleh ditipu sedemikian rupa.

Gesaan saya tempoh hari adalah meminta Sdr Mustaffa Kamil Ayub menarik diri demi menjaga integriti peribadi. Dengan apa yang dikatakan oleh beliau sebagai “tindakan tegas” tempohari, dan dengan apa yang dinyatakan beliau dalam sidang medianya hari ini, saya beranggapan bahawa Sdr Mus telah hilang peluang keemasan untuk bertindak meletakkan proses pemilihan parti kepada landasan yang betul. Mengapa harus terus berjoget jika alunan gendangnya sumbang? Mengapa harus terus menyanyi jika tidak seirama dan tidak senada?

Dalam memoradum beliau, Sdr. Mustaffa Kamil Ayub telah menyatakan terdapat banyak penyelewengan dan kepincangan dalam proses pemilihan parti dan beliau menuntut pemberhentian pemilihan parti dibuat atau JPP harus bersedia menghadapi tindakan yang lebih tegas.

Saya amat hairan dan sangat tidak jelas apakah yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti untuk memperbaiki keadaan sejak penyerahan memo pada 9 November sehingga menyebabkan Sdr. telah menukar pendirian?

Hanya satu rumusan yang adil untuk disimpulkan: saudara gelojoh pangkat dan kuasa. Saudara meletakkan kepentingan masa depan politik peribadi. ‘Ketakutan’ Saudara kepada Anwar Ibrahim dan Azmin melebihi kepentingan untuk mempertahankan prinsip dan nama baik parti. Membenarkan pemilihan parti diteruskan dan mengambil bahagian dalam pertandingan yang didakwa ada penyelewengan dan kepincangan adalah pelacuran prinsip politik. Saudara bukan lagi seorang pemimpin, dan Saudara sama sekali tidak layak menganggap diri Saudara sebagai seorang pemimpin.

Saya sedar Saudara telah ditawarkan jawatan Naib Presiden yang dilantik terus oleh Presiden jika kalah dalam pemilihan ini. Jika Saudara menarik diri maka akan terkubur karier politik dalam keADILan. Saya ulangi, ini adalah satu pelacuran prinsip politik. Dimanakah al-qudwah? Di mana al-amanah?

Saya ketawa dalam tangisan tatkala mengenangkan kehadiran Saudara pada sidang media Datuk Zaid Ibrahim pada hari Isnin lepas. Jelas Saudara hanya seorang haiwan politik yang, bak kata pepatah, pergi bagaikan panglima, balik bagaikan pondan.


Abdul Aziz Anon

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails